Kuala Lumpur: “Saya muat naik aksi Gwiyomi di YouTube hari ini (semalam) sebagai hadiah hari jadi buat ibu tersayang, (Zaitun Abdul Wahab, 50) yang jatuh pada hari sama,” kata Mohd Farizul Mohd Kassim, 20, atau lebih dikenali sebagai Bobo, 20, dalam kalangan teman rapatnya.
Bobo berkata, dia menghasilkan video satu minit itu sebaik mendapat permintaan rakan yang mahu dia meniru gerakan jari artis Korea, Joon Il Hoon selepas video lagu Sayang nyanyian Shea dihasilkannya mendapat sambutan luar biasa, dengan jumlah penonton mencecah lebih sejuta.
Aksi Bobo dalam klip video Sayang itu turut diajuk Johan Raja Lawak hingga mencuit hati penonton ketika Anugerah Bintang Popular Berita Harian, baru-baru ini.
Mendapat bantuan Kiaostudio, katanya, dia pada mulanya tidak mengetahui rutin gerakan jari Gwiyomi hingga terpaksa mengingati gerak berdasarkan klip video di YouTube.
“Saya tak tahu sebenarnya apa itu Gwiyomi dan terpaksa menonton beberapa kali di YouTube untuk mengingati rutinnya.
Pada mulanya kekok, maklumlah hendak mengikut gaya comel dengan rupa saya yang biasa tentulah susah.
“Namun tidak mahu mengecewakan permintaan ramai orang dan menggembirakan peminat (di laman sosial), saya sediakan Gwiyomi versi sendiri. Harap semua berpuas hati kerana ia spontan. Apa yang tergerak di hati ketika itu saya buat saja,” katanya.
Tidak mahu dicop sebagai gila publisiti, Bobo berkata, niatnya ikhlas berkongsi minat dengan rakan yang menggemari aksi parodi atau ‘miming’.
“Saya tak pernah terfikir hendak berada pada kedudukan sekarang dan sebelum ini saya banyak lakukan pelbagai parodi lagu.
“Semuanya bertujuan melepaskan tekanan dan berseronok. Apabila mendapat respons baik daripada mereka yang menonton aksi saya, saya terima ia sebagai satu penghormatan dan penghargaan,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment