"Nurse, nurse. Sibuk nak tengok kote pesakit lelaki." - Cham Cham.
"Memang nurse suka tengok kote..." - Cham Cham.
"Dah bukak bab cebok taik lap muntah segale da, kat sini aku nak kabo dengan hormatnye memang aku takkan puji korang lap or cebok taik segale, sebab tu memang keje ko, kat hospital kalau aku yang kene buat tu semua baik korang duk rumah je bangang, da tau stress jangan mintak jadi doktor ke nurse." - Eastcoast Gaijin
- - - - - - - - -
**Maafkan saya atas penggunaan kata-kata kesat untuk artikel kali ini.**
Sejujurnya, sebagai seorang jururawat, saya betul-betul rasa marah dan terkilan dengan komen-komen sebegini. Terus terang saya katakan, hampir setiap masa jururawat dihina dan dicaci, banyak lagi tohmahan yang lebih teruk daripada ini yang kami terima. Bukan sahaja didalam dunia maya ni, kat luar pun sama. Sampaikan tangan saya terketar-ketar nak taip artikel ini. Namun, apakan daya, orang macam saya sekadar mampu luah di sini sahaja. Bertindak sikit, nama terus ‘naik’. Tak bertindak langsung, nama dipijak. Maka artikel kali ini berbentuk agak kasar dalam sopan, sesuai untuk mereka yang berkasar dengan kami. Namun saya akan cuba ‘maniskan’ kata-kata saya.
Namun, macam mana pun, saya harap semua jururawat di Malaysia yang betul-betul merasakan apa yang saya rasa ni, dapat perjuangkan nama karier kita kehadapan biarpun dihalang dan dicemuh oleh orang-orang tertentu.
Tujuan artikel ini dikarang, tak lain dan tak bukan, untuk membersihkan semula nama #JURURAWAT. Artikel ini khas buat para pejuang kesihatan seperti anda dan teguran kepada seluruh warga netizen Malaysia, yang hebat tarian jarinya pada papan kekunci.
Disclaimer : Segala apa yang dikarangkan disini, adalah suatu pendirian, pendapat, pengalaman dan pemerhatian diri saya sendiri. Segala apa yang dikarang adalah tidak melibatkan sebarang individu ataupun organisasi lain terutamanya pihak KKM, SPA dan LJM khususnya.
1. JURURAWAT
Ramai yang tak faham tentang jururawat ini secara keseluruhannya. Apa yang depa tau, jururawat adalah kuli kepada doktor dan hamba / orang suruhan kepada pesakit / klien dan ahli keluarga. Pada saya, orang macam ni adalah orang yang layak saya gelarkan bodoh sombong. Depa tak tau apa pun pasal jururawat, namun depa secara bangganya nak melabelkan jururawat secara keseluruhan.
Jururawat tu, kata dasarnya datang daripada perkataan RAWAT. Kami ni adalah PAKAR DALAM MERAWAT. Tak pernah wujud lagi mana-mana bidang kerjaya atau professional yang layak untuk mendakwa atau mempunyai kepakaran dalam merawat, KECUALI JURURAWAT. Termasuk doktor. No offense, docs. Doktor sendiri tak mampu nak survive jaga puluhan pesakit tanpa kehadiran jururawat, akan tetapi seorang jururawat sahaja dah cukup nak jaga puluhan pesakit semasa ketiadaan doktor. I AM PROUD TO SAY THAT NURSES ARE THE REAL BACKBONE OF ANY HEALTH INSTITUTION.
Bila sebut pasal rawat, kita semua kena faham bahawa perawatan yang diberikan oleh seorang jururawat tu merangkumi pelbagai aspek, sebagai contoh ; kesihatan, pendidikan, kebersihan diri, rutin harian, pemakanan, gaya hidup, rehabilitasi, penjagaan dirumah, perancangan keluarga dan banyak lagi. Dan kami ada kepakaran, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam semua perkara ni.
2. SALAH FAHAM
Ramai yang sangka bahawa jururawat ini terdiri daripada kaum perempuan sahaja. Oleh kerana itu, netizen cukup suka nak perlekehkan jururawat perempuan daripada isu pakaian lah, isu aurat lah sampailah ke isu 'gatal nak tengok kote'. Walhal, depa sendiri tak tahu yang wujudnya kaum lelaki dalam bidang ini. Walaupun hanya memegang 1% daripada jumlah keseluruhan jururawat, jururawat lelaki (male nurse) memainkan peranan besar dalam membantu jururawat perempuan (staff nurse) dalam kerjaya ini. Dan para lelaki ini bukanlah seperti dalam drama murah televisyen, yang suka sangat gambarkan Male Nurse ni sebagai lelaki lembut atau pondan.
Dan untuk pengetahuan brader-brader yang bajet 'kote' depa tu besar sangat sampai kononnya tuduh jururawat 'gatal' nak tengok, sedar sikit bro. Melainkan pe-nis anda tu ada hypospadia (lubang kencing ada kat bawah shaft pe-nis), atau epispadia (lubang kencing timbul kat sebelah atas shaft pe-nis), atau berlaku phimosis (Google sendiri) sampai tahap pe-nis anda jadi gangrene, tak payah nak perasan. Besar mana pun pe-nis anda, tak ada seorang pun jururawat yang ambil kisah, asalkan tiub catheter dapat disumbat dalam lubang kencing tu. Kalau setakat besar, tapi catheter size 40Fr pun kencing berterabur lagi, takda guna.
To be honest, saya rasa brader-brader bajet sado kat luar sana, yang angkat dumbbell sambil mandi pun tak sehebat Staff Nurse kita. Bayangkan seorang SN yang dalam keadaan sarat mengandung, lagi seminggu nak due, masih mampu nak angkat pesakit seberat 200kg tanpa ada sebarang rungutan. SN yang berbadan kecil, yang anda panggil sebagai ‘ranting kayu’ ni, masih mampu nak buat 5 cycle CPR secara berterusan tanpa sebarang keluhan. Anda yang bajet sado, bajet macho dan bajet ayu tu, belum tentu dapat buat compression 100 beats per minit. Apatah lagi nak berdiri dan berlari-lari dalam wad Medikal yang 24 jam penuh dengan pesakit.
Truth be told, anda semua takkan mampu nak bertahan dengan tugas jururawat walaupun sekadar kerja 3 hari di wad.
3. SKOP KERJA JURURAWAT
Tak. Tolong faham yang tugas jururawat TAK TERMASUK mencuci najis dan urin pesakit, tak kira lah pesakit tu anda ke, mak ayah anda ke atau siapa sekali pun. Tak pernah lagi saya jumpa Pekeliling atau Peraturan Am rasmi yang mengatakan cuci berak dan kencing tu tugas hakiki jururawat.
Untuk pengetahuan netizen yang cukup hebat bertandang dipapan kekunci sekalian, BUKAN TUGAS SEORANG JURURAWAT UNTUK BASUH KENCING BERAK HANGPA.
Dan untuk pengetahuan anda jugak, jururawat sebenarnya SIMPATI terhadap anda atau ahli keluarga anda yang terbaring kat atas katil wad, tak mampu nak uruskan kencing berak sendiri. Sebab itu kami buatkan untuk anda. Sebab kami ni bersifat TIDAK MELAKUKAN KEMUDARATAN kepada pesakit. Itulah dia sifat NONMALEFICIENCE. Kalau nak diikutkan, tugas membersihkan pesakit, daripada mandi, basuh kencing berak, syampu rambut, menguruskan muntah adalah tugas seorang ahli keluarga kepada pesakit. Kalau mak ayah anda yang sakit, terlantar atas katil tu, adalah tugas anda untuk basuh kencing berak, mandikan depa. Sebab tu keluarga anda. Jangan pandai hantar wad, pastu tinggalkan depa macam tu je. Kalau anda betul-betul bukan anak derhaka, yang ada akal sihat, anda akan bantu mak ayah anda. Bukan kami.
Kalau nak kami bersifat professional dalam mematuhi skop kerja kami, betul-betul ikut skop tanpa seleweng sedikit pun, boleh je kami call anda semua yang tengah duduk goyang kaki menghadap Facebook kat rumah untuk datang ke wad setiap kali mak ayah atau ahli keluarga anda kencing berak dsb. Sebab tu bukan dalam skop kerja kami. Tapi kami buat jugak atas dasar simpati, atas dasar memahami, atas dasar ingin membantu.
"Takpa lah, kesian kat pesakit, nak tunggu anak-anak depa datang, entah sampai bila. Mak bapak sendiri pun buat-buat lupa."
Itu pun anda masih cukup bangga lagi mengutuk dan menuduh kami tak buat kerja yang sepatutnya dah jatuh tanggungjawab kepada korang selaku anak-anak / ahli keluarga pesakit. Sebab tu aku kata, bodoh sombong. Hina orang lain sebab tak buat tanggungjawab diri sendiri.
Sebab itu ada pepatah, seorang ibu mampu jaga 10 orang anak, 10 orang anak belum tentu mampu jaga seorang ibu. Last-last terkedek-kedek si anak cari jururawat sebab mak sendiri diarrhea. Anak macam mana ni?
4. AURAT PESAKIT
Yang ini paling best. Untuk pengetahuan anda semua, banyak sangat netizen mendakwa bahawa jururawat (dan doktor) sengaja nak tengok aurat pesakit, terutamanya bagi pesakit perempuan. Ada ke depa kata doktor dan jururawat sengaja nak tengok faraj isteri depa, walhal os dah bukak sampai 10cm, kepala bayi tak boleh nak push. Memang facepalm saya dibuatnya.
Untuk isu aurat, bagi seorang lelaki, adalah dari pusat ke lutut, tak kira yang melihatnya lelaki atau perempuan, kecuali mahram dia. Begitu juga perempuan, aurat dia seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan plantar atau dorsal bagi lelaki yang melihat, dan dari pusat ke lutut bagi sesama perempuan, kecuali mahram dia. (Tolong betulkan jika salah)
Ada ahli keluarga bising, katanya jururawat sengaja nak mendedahkan aurat pesakit (contohnya ketika basuh berak). Kata mereka, jururawat kena jaga aurat pesakit. Betul, tak dinafikan. Tapi kalau difikirkan balik, bukankah ahli keluarga pesakit tu sendiri adalah mahram bagi pesakit? Kalau betul-betul isu aurat adalah suatu permasalahan bagi mereka, kenapa tak mereka je yang tolong basuhkan berak pesakit tu? Bukankah dengan cara itu aurat pesakit akan terjaga dan jururawat dapat menjaga pandangan mereka daripada aurat pesakit? Kan lagi bagus macam tu??
Dah kalau mak ayah sendiri yang masuk wad, anda lah yang kena tolong basuhkan. Sekurang-kurangnya anda dah jaga maruah dan aurat mak ayah anda. Ini tidak. Bila time nak basuh berak (BO), time tu la anda sibuk nak keluar dari wad. Geli lah, tak biasa lah, malu lah. Macam-macam alasan anda bagi. Padahal tu mak ayah anda sendiri. Sibuk nak berhuhuhu di luar skrin padahal boleh je anda tolong masuk sekali, tolong mak ayah turning kalau tak pandai sekalipun. Anda tau tak setiap kali anda duk mengelak nak jaga mak ayah hangpa, depa menangis mengadu kat kami. Bayangkan anak yang ditatang sampai dah besar, dah berjaya dalam hidup, semudah itu je lupa kat mak ayah sendiri. Siap kata geli nak uruskan mak ayah. Wei, kalau depa meninggal, anda yang kena tolong bersihkan jenazah tau! Apa perasaan anda bila anda meninggal nanti, mak ayah dan anak-anak anak taknak tolong uruskan jenazah anda atas sebab geli dengan anda. Nak?
Begitu jugak dengan masalah dalam bilik labour room. Betul, memang anda boleh minta staf perempuan untuk kendalikan kelahiran anak anda di labour room. Tapi kalau keadaan dah darurat, nak taknak doktor yang on call atau on duty pada hari itu terpaksa masuk dan uruskan situasi. Dah nama lagi darurat. Kalau tak darurat sekalipun, ikut logik, semua staf hospital, baik lelaki baik perempuan sekalipun bukan mahram isteri anda. Kalau diikutkan, anda (suami) lah yang kena sambut anak tu, pasal si suami aje yang boleh tengok aurat isteri kan? Tapi ini soal keselamatan anak dan ibu. Nak taknak, staf yang ada kemahiran yang kena sambut. Lain la kalau anda dah ada kepakaran midwifery, ha anda boleh buat sendiri.
Bukan saya nak persoalkan isu aurat atau isu agama. Persoalan yang saya nak bangkitkan adalah, kalau isu aurat jadi suatu bahan untuk anda nak hina jururawat, baik anda sebagai ahli keluarga je yang uruskan soal aurat pesakit. Aurat pesakit terjaga. Maruah pesakit terjaga. Pandangan staf terjaga.
Tapi anda sekadar tahu bising, bising, bising dalam media sosial. Suruh buat laporan lanjut ke hospital yang berkaitan, taknak pulak.
Macam mana kalau suatu hari nanti, semua staf kesihatan cakap "Kami tak boleh nak uruskan pesakit. Kami juga nak jaga pandangan kami. Encik buatkan lah untuk keluarga Encik. Encik mahram mereka." Apa anda nak buat?
Kami jururawat ni sebenarnya kekurangan staf. Maka adalah sangat mustahil kalau nak bahagikan wad mengikut jantina, Male Nurse jaga pesakit lelaki, Staff Nurse jaga pesakit perempuan. Ratio pesakit lelaki dan perempuan juga adalah berbeza. Ada wad sekadar jaga 30 orang pesakit, ada yang jaga sampai 80 orang pesakit. Dan isu tak cukup staf ni bukan salah jururawat. Anda kena rujuk pada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Depa yang menggajikan staf. So jangan la nak salahkan staf, nak maki staf atas sebab tak cukup staf. Kalau anda rasa nak jadi penyelesaian masalah, mai join jadi jururawat. Kami mengalu-alukan sangat.
5. ISU "MAKAN GAJI BUTA"
First thing first, benda ini adalah suatu dakwaan yang sangat tak masuk akal. Anda hanya bayar RM1 untuk dapatkan rawatan dan RM3/hari untuk berada di wad. Dan pulangannya, anda balik ke rumah dengan kesihatan yang baik, dibekalkan satu beg plastik penuh ubatan, setelah berpuluh kali jalankan ujian darah, kencing, kahak, ujian diagnostik X-Ray, CT Scan dan dapat makan 3 kali sehari didalam wad, sambil menghirup 15L oksigen setiap minit. Anda ingat dengan RM1 tu, mampu membiayai segala perawatan yang telah anda jalankan di hospital? Anda ingat dengan RM1 tu anda boleh arahkan orang lain seperti kuli dan hamba anda?
Yang peliknya, anda sanggup habiskan berpuluh-beratus-beribu duit ke atas benda yang memudaratkan kesihatan anda, contohnya rokok, arak, pelacuran, seks rambang, makanan berlemak yang tak sihat, makanan fastfood, ubatan haram yang tak diiktiraf, semata-mata untuk kepuasan diri. Tapi masih bising bila kena bayar RM1 untuk dapatkan kesihatan yang baik? Bayangkan, berhabis beribu untuk cari maut, bayar RM1 untuk sihat pun dah bising bagai nak rak.
Dan nak tuduh anda "membayar" gaji kami melalui cukai? Bukan anda seorang yang bayar cukai, ok? Kami jururawat pun bayar cukai. Doktor dan semua staf kesihatan pun bayar cukai. Semua warganegara Malaysia bayar cukai masing-masing. Anda bayar cukai, lepas tu anda sakit, memang patut la cukai tu pusing balik untuk rawat diri anda dan gajikan staf kesihatan yang merawat anda. Sebab kami dah bekerja demi nyawa dan kesihatan anda. Kalau diikutkan logik, kami dan seluruh warganegara Malaysia ni sebenarnya yang dah rugi. Bayar cukai semata-mata nak selamatkan nyawa anda yang hisap 4 carton rokok sehari sambil lepak atas kerusi, obseskan diri. Bayar cukai untuk selamatkan anda yang jenis tak hargai nyawa sendiri. Tak hargai orang yang menolong anda. Jadi jangan memandai nak tuduh yang anda "menggajikan" kami. Sedar sikit yang seluruh warganegara Malaysia termasuk jururawat ni yang bayar cukai untuk anda terus hidup dan hidup dalam keadaan sia-sia dan memudaratkan.
Dan sedar sikit, kami dibayar gaji bukan untuk layan kerenah manjalitis anda, demand anda tu. Kami dibayar gaji untuk selamatkan nyawa dan kesihatan anda, tak kira apa jenis perangai yang anda ada. Kalau setakat bayar cukai dan demand lebih-lebih mengalahkan anak raja, kami pun boleh demand sebagai pembayar cukai untuk tak bazirkan duit cukai tersebut untuk rawat anda. Boleh je kan? Nasib baik lah jururawat seluruh Malaysia ni masih berfikiran waras dan rasional, tak merungut pasal 'cukai' anda yang 'besar gedabak' tu.
Dan satu lagi, kalau nak viralkan suatu gambar staf sedang 'makan gaji buta', alang-alang tolong viralkan sekali staf yang berlari-lari nak selamatkan nyawa anda tu. Dalam Facebook, masing-masing gempak nak cari kesalahan staf kesihatan, kononnya staf tidur berjam-jam lah, curi tulang lah. Padahal terlelap sekejap sementara tak ada pesakit atau tak ada masalah berlaku. Kami mungkin tak seperti anda, sebab kami manusia. Kami ada rasa penat, ada rasa letih, lapar dan dahaga. Ada rasa nak rehat sekejap, nak recharge. Kami bukan malaikat, tak rasa letih dan penat, tak perlu sumber tenaga pun. Anda ye la kot. Cukup bertuah la kalau kami dapat lelapkan mata sekejap walaupun 5 minit sementara ada peluang. Nak pergi tandas pun tak ada masa. Nak pergi teguk air masak pun terkial-kial cari peluang.
Lepas ni, viralkan lah jururawat yang berpeluh-peluh, menghela nafas pendek yang baru lepas commence CPR 1 jam pada pesakit. Yang termengah-mengah bagging pesakit tanpa ventilator. Barulah adil. Jangan yang negatif je anda nampak, yang positif anda tutup mata.
6. KALAU TAK SUKA, JANGAN JADI JURURAWAT
Bro. Dengar sini.
Kerjaya jururawat tu tak ada masalah sebenarnya. Biarlah penat, biarlah termengah sekalipun. Biarlah muka ni terpercik darah dan muntah sekalipun. Biar badan dipenuhi kencing dan najis sekalipun. Kami tetap suka dan tetap akan jalankan tanggungjawab kami pada pesakit, pada kerjaya, pada amanah dan ibadah kecil kami ni. Kerjaya jururawat tak sekali pun buat kami rasa menyampah pada situasi kerja kami.
Masalahnya terletak pada masyarakat yang sentiasa pandang hina pada kami, yang sentiasa mencaci cerca kami, yang sentiasa ada stigma buruk pada kami, yang sentiasa pandang negatif pada kami, yang tak pernah nak hormati dan hargai kami.
Ya, kami berhadapan dengan tugas yang melibatkan human relation antara jururawat dan pesakit. Namun, anda perlu sedar bahawa human relation berfungsi secara dua hala. Segala interaksi memerlukan kerjasama dari kedua-dua pihak. Tak dinafikan ada jururawat yang berperangai teruk, namun begitu juga situasinya dengan pesakit, atau ahli keluarga pesakit sendiri. Namun tak pernah pula saya dengar rungutan jururawat terhadap pesakit yang berperangai teruk sehingga diviralkan dalam media sosial ini.
Dan saya yakin, tak sampai 1% (lebih kurang 1600 orang) pun jururawat yang bersikap teruk seperti yang anda katakan ni. Seandainya ada 50 orang jururawat yang bersikap kurang ajar, tak adil lah untuk anda melabel kami SEMUA JURURAWAT MALAYSIA sebagai kurang ajar. 50 orang jururawat ini hanya merangkumi 0.03% daripada jumlah keseluruhan jururawat di Malaysia. Maka adalah tak adil, dan agak melampau jika anda nak label semua jururawat kurang ajar berdasarkan sikap dari 50 orang jururawat yang anda jumpa tadi.
- - - - - - - - - -
Terus terang saya cakap, dah beberapa kali saya cuba karang artikel ini secara baik, menggunakan perkataan yang baik-baik belaka. Namun, saya rasa saya tak dapat nak sampaikan mesej yang berkesan dengan cara itu. Kerana bagi saya, isu ini dah semakin melampau. Menghina satu-satunya individu yang sudi dan sanggup menjaga dan merawat anda serta ahli keluarga, bagi saya amat kurang ajar dan tidak bertimbang rasa.
Kami jururawat tak minta pun anda ucap terima kasih pada kami. Kami taknak pun anda berikan hadiah, ganjaran dan sebagainya kepada kami. Dan kami taknak pun wang ehsan anda tu. Kami cuma harap anda boleh hormati dan hargai kami sebagai individu yang mengambil berat tentang kesihatan anda walaupun tiada sebarang pertalian darah.
Kesimpulannya, tolong fahamkan diri anda berkaitan apa itu JURURAWAT dan apa tugasan mereka. Jangan sekadar pandai mengucap perkara jahil, kemudian sombong dan bongkak apabila ditegur.
Hormati kami, hargai kami. Maka kami akan hormati anda dan hargai anda.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment