Namun kini masih ramai yang tidak mengetahui kewujudan sebuah tangki air usang yang dipercayai digunakan sebagai mendapatkan bekalan air kereta api wap.
Kedudukan tangki air itu berada di tepi tapak lama landasan kereta api, di belakang Balairaya Kampung Pelangai.
Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Datuk Paduka Dr Mohd Rosli Saludin berkata, kedudukan tangki air itu dikenal pasti selepas dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pelangai, Mohd Nor Othman.
Menurutnya, dia terkejut dengan penemuan artifak peninggalan sejarah di kawasan itu.
"Tangki berkenaan digunakan untuk menyalurkan air ke enjin wap atau enjin stim iaitu sejenis enjin pembakaran luar yang menggunakan tenaga haba.
"Ia wujud dalam wap lalu menukarkannya kepada tenaga mekanikal dan enjin wap berkenaan digunakan sebagai penggerak utama bagi kereta api," katanya.
Saludin berkata, penemuan itu memang ada kebenarannya apabila secara logiknya laluan dari pekan Kuala Pilah agak jauh iaitu 21.7 kilometer untuk sampai ke situ dan ia memerlukan bekalan air bagi meneruskan perjalanan ke Bahau.
“Maka, di sinilah, tempat kereta api wap mengisi bekalan air sebelum meneruskan perjalanan. Saya juga difahamkan, salah seorang penduduk kampung ini pernah memandu kereta api wap iaitu Ismail Mat Jan dan beliau menjadi orang Melayu pertama memandu kenderaan itu,” katanya.
Menurutnya, pasar Rabu juga wujud di kawasan ini pada masa dahulu malah menjadi tumpuan masyarakat kampung.
“Seperti yang dimaklumkan, pekan ini wujud sebelum pekan Juasseh. Dahulu penduduk daripada pelbagai kampung antaranya dari Sungai Dua, Sungkak, Jemapoh Hilir, Jemapoh Ulu, datang ke pasar Rabu.
“Tetapi kini tidak lagi, hanya menjadi pekan kecil. Sebaliknya, Pekan Juasseh lebih membangun dari tempat ini,” katanya.
Selain itu, Dr Mohd Rosli berkata, kewujudan nama Pelangai dilihat daripada dua versi.
“Satu versi, kata penduduk di sini, setiap petang, pelangi akan muncul. Hinggalah, mereka menyebut pelangi beberapa kali, lalu akhirnya, nama Pelangai terukir di bibir masyarakat.
“Bagi versi kedua pula, dahulu, Allahyarham Yamtuan Antah berkenan datang ke sini dengan membawa selendang berwarna pelangi. Selepas itu, bila selendang itu terjatuh, penduduk memanggil pelangi terjatuh…akhirnya, wujudlah Pelangai,” katanya.
Dalam pada itu, kawasan tersebut turut dikaitkan dengan kehadiran Allahyarham Yamtuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah.
“Allahyarham telah merasmikan kereta api wap dan sebab itu, Allahyarham sering berkunjung ke Pelangai.
“Malah turut berkenan mengurniakan 40 ekar (16 hektar )tanah kepada penduduk. Justeru itu, penduduk di sini dari suku batu hampar 40. Angka 40 diambil simbolik jumlah 40 ekar tanah,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment