ONEXOX
BannerFans.com

Ghaib 'teroka' Villa Nabila

on Monday, November 18, 2013

Johor Bahru: “Dalam keadaan terlalu gelap dan hanya menggunakan lampu telefon bimbit untuk bergerak, saya melihat kelibat kanak-kanak berlari sebelum seorang daripada remaja perempuan menjerit lalu histeria,” kata Man, 16, remaja yang cuba membongkar misteri Villa Nabila, banglo tinggal di Jalan Skudai, di sini, tengah malam Sabtu lalu.

Tindakan sekumpulan 30 remaja terbabit bagaimanapun mencetuskan masalah apabila seorang daripada mereka, Mohammad Izzat Izuddin Husin, 16, dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejak malam berkenaan.

Malah, kehilangan mangsa dikaitkan dengan kediaman yang terkenal dengan pelbagai cerita mistik sehingga mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan orang ramai.

Man berkata, sebelum kejadian dia berkumpul bersama 29 remaja lain termasuk perempuan di sekitar bandar raya, sebelum semua bersetuju memasuki dan menjelajah banglo berkenaan.



“Rombongan kami ke Villa Nabila hanya untuk suka-suka dan langsung tidak takut kerana bergerak dalam kumpulan besar.

“Bagaimanapun, apabila tiba di pekarangan rumah berkenaan kami mula berasa seram sejuk kerana kawasannya terlalu gelap dan masing-masing hanya menggunakan lampu telefon bimbit.

“Kami kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan dengan masing-masing meninjau rumah induk di belakang dan rumah tamu di depan,” katanya.

Menurutnya, semua berjalan dengan senyap dan apabila mereka memasuki sebuah bilik di tingkat dua rumah induk, tiba-tiba dia melihat kelibat kanak-kanak berlari melintasinya.

“Pada masa sama, seorang remaja perempuan yang mengikut kami tiba-tiba menjerit lalu rebah di atas lantai.

“Dia terus histeria menyebabkan kami terpaksa membawanya keluar bangunan untuk menyelamatkan diri kerana bimbangkan keselamatan masing-masing.

“Kami kemudian membawanya ke Masjid Ayer Molek dan bernasib baik kerana seorang jemaah dipercayai ustaz membaca doa serta mententeramkan remaja perempuan itu,” katanya.

Man berkata, dia tidak menyangka seorang daripada remaja yang mengikut rombongan berkenaan dilaporkan hilang.

Menurutnya, dia tidak pasti sama ada remaja lelaki itu hilang ketika berada di rumah berkenaan atau di luar kerana tidak mengenali mangsa.

“Kami pergi beramai-ramai, namun tidak mengenali semua orang.

“Kebanyakan daripada kami hanya mengenali atas dasar kawan atas kawan termasuk remaja perempuan berkenaan.

“Apapun, saya berharap remaja lelaki itu ditemui secepat mungkin,” katanya.

Seorang lagi remaja, Junaizi Rafizi, 13, berkata, kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, dia menemui rakan dan kenalan rakannya di pusat bandar raya ini, sebelum diajak ke banglo terbiar itu.

Menurutnya, mereka berjalan secara berkumpulan dan tiba di banglo berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk merasai pengalaman luar biasa kerana ia dikaitkan dengan pelbagai cerita mistik.

“Saya difahamkan mangsa berada di kumpulan sama, namun saya tidak perasan kerana tidak mengenalinya.

“Kami naik ke tingkat atas dan turun dengan selamat. Cuma ada kejadian mengerikan ketika kumpulan lain memasuki sebuah bilik di villa itu menyebabkan kami semua menjerit dan lari menyelamatkan diri.





“Memang benar ia pengalaman menakutkan dan kami hanya berada di dalam rumah itu dalam tempoh kurang setengah jam sebelum pulang dengan selamat,” katanya.

Ibu Mohammad Izzat Izuddin, Norhayati Mohamad, 38, berkata, dia bimbang keselamatan anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Mohammad Izzat Izuddin pada jam 3.30 petang Sabtu lalu di rumahnya di Jalan Teratai Kuning, Kampung Hajah Hasnah, Majidee, di sini.

“Pada keesokan hari, saya baru sedar anak tidak pulang ke rumah dan hingga kini tidak menerima sebarang maklumat mengenainya.

“Saya dimaklumkan anak saya bersama rakannya ke Villa Nabila, namun hanya dia seorang tidak pulang ke rumah,” katanya.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved