Mungkin berita mengenai perpisahan tersebut tidak begitu mengejutkan ramai pihak tetapi keputusan yang diambil oleh Johan untuk melepaskan Lana selepas sebulan menjalinkan hubungan sedikit sebanyak mencalarkan kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
Banyak cakap-cakap nakal mula kedengaran mengenai Johan yang dianggap seperti artis yang ‘lapar’ publisiti dan sering menggunakan kisah cintanya sebagai tiket untuk meraih perhatian orang ramai.
Dia juga dilihat seperti bersifat keanak-anakan dan tidak serius dalam menilai soal cinta.
Ketika cuba untuk menghubungi pelakon berusia 27 tahun itu, penulis berasa sedikit terkilan kerana panggilan telefon yang dibuat hanya dibiarkan tidak berjawab.
Johan sebaliknya hanya menjawab beberapa soalan secara ringkas melalui mesej yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp.
Jodoh di tangan Allah
“Sebagai seorang pelakon yang berkecimpung dalam industri ini, saya mempunyai ramai kawan. Ada yang saya anggap sebagai teman biasa dan ada juga yang rapat dengan saya. Kenalan yang rapat bukan bermakna hubungan kami lebih daripada itu.
“Dalam perjalanan yang masih jauh, sudah tentu saya akan bertembung dengan perkara-perkara sebegini. Ia seperti menjadi pengajaran kepada saya dalam menempuhi masa akan datang.
“Jodoh dan pertemuan di tangan Allah, sudah tentu saya tidak dapat lari daripada takdir ini,” jelasnya menerusi WatsApp yang dibalas kepada penulis.
Ketika ditanya mengenai apakah status sebenar wanita itu dihatinya, Johan menyatakan, dia hanya menganggap Lana sebagai kawan biasa.
“Selama ini, saya tidak meletakkan sebarang taraf ketika berkawan dengan Lana. Apa yang pasti sekarang, status saya dan Lana hanya kawan biasa sahaja.
“Apa yang saya boleh katakan juga, soal masa depan dan hubungan cinta, saya serahkan semuanya pada takdir Allah. Semua keputusan terletak ditangan-Nya,” jelas Johan lagi.
Bukan cari publisiti
Dalam pada itu, Johan yang kini sedang sibuk dengan teater Bahayanya Wanita di Istana Budaya memberitahu, dia langsung tidak berniat untuk menjaja kisah hubungan cintanya untuk meraih publisiti.
Malah, dia menolak dakwaan menyatakan dirinya merupakan artis yang dahagakan perhatian sehingga sering melakukan tindakan di luar jangkaan.
“Percayalah, walaupun saya memerlukan publisiti, saya tidak bermaksud mempergunakan hubungan cinta saya untuk tujuan dikenali orang ramai.
“Insya-Allah selepas ini, saya tidak akan terburu-buru dalam mencari jodoh. Namun, kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Sebagai manusia, kita hanya merancang tetapi Allah sahaja yang layak untuk menentukan,” ujarnya lagi.
Johan barangkali lupa. Sewaktu pertama kali tersebar berita tentang hubungan tiga harinya bersama Lana, dia memberitahu media bahawa telah melamar Lana dan merancang untuk menikahi wanita itu pada tahun depan.
Justeru, apabila dia menyatakan tidak meletakkan sebarang taraf atau menganggap Lana sebagai kekasih sepanjang tempoh mereka intim selama sebulan lalu, ia memberi gambaran betapa mudah benar Johan membuat keputusan dan berubah hati.
Sekadar rekod, sebelum ini, Johan juga pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita lain termasuk Izreen Azmida, Nabila Huda dan Shila Amzah.
Bagaimanapun, apabila hubungan mereka putus, Johan memberi alasan yang sama iaitu jodoh itu rahsia Allah.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment