Seorang mangsa, Roslina Abu Hassan, 48, berkata, sebelum ribut berlaku, dia terkejut apabila tiba-tiba ada kabus putih menyelubungi bahagian atas rumahnya.
Menurutnya, dia segera keluar dari rumah setelah suaminya, Onn Jaafar, 51, menyuruh dia melarikan diri.
"Saya cepat-cepat keluar apabila suami menjerit suruh saya lari dari rumah," katanya ketika ditemui di kediaman pusakanya di Kampung Dusun, petang kelmarin.
Katanya, sepanjang menetap di situ sejak kecil, kejadian itu adalah yang pertama dialaminya.
Seorang penduduk Taman Bukit Ria, M S Chellayee, 43, berkata, dia bersama empat anak berusia lapan hingga 17 tahun duduk berpelukan ketakutan dalam rumah.
"Sebelum angin kencang, rumah kami ditimpa hujan batu dan sejurus lepas itu, bumbung diterbangkan angin kemudian air hujan masuk ke dalam rumah," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Razali Bakar berkata, buat masa ini, dianggarkan 76 kediaman dari lima penempatan terjejas di mana 37 daripadanya Taman Clonlee; Taman Bukit Ria (29); Kampung Batu Belang (empat) dan Taman Mutiara serta Kampung Dusun (tiga).
“Selain itu, kerja pembersihan pokok tumbang mula dibersihkan sejurus selepas kejadian dengan kerjasama anggota bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Majlis Daerah Tampin.“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sedang meneliti jumlah kerugian dan menghulurkan bantuan bersesuaian bagi membantu mangsa ribut," katanya.
Sementara itu, di Seri Mendapat, Melaka, 32 rumah dari tiga kampung dalam Dun Sungai Rambai turut dilanda ribut dalam kejadian 6.15 petang, kelmarin.
Seorang mangsa, Azhar Baran, 58, berkata, dia hanya mampu menyebut kalimah ALLAHUAKHBAR, SubhanaALLAH ketika melihat bumbung rumahnya tercabut.
Menurutnya, dia tidak menyangka sejurus menolak masuk motosikal ke dalam rumah, zink di dapur rumahnya diterbangkan angin.
“Saya sangat terkejut, selama 25 tahun tinggal di sini, ini kejadian pertama rumah kami dilanda ribut dan bernasib baik tiada cedera,” katanya.
Ketua Umno Cawangan Kampung Lanchang, Nor Azmi Mahmood berkata, jumlah mangsa ribut di kawasan itu kecil, namun keprihatinan pelbagai pihak terutama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Daerah Jasin menyalurkan bantuan amat dihargai.
Menurutnya, bekalan elektrik yang terputus hampir 10 jam selepas kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus akibat dihempap pokok dipulihkan kira-kira jam 4 pagi semalam oleh pihak TNB.
Setiausaha MKN Daerah Jasin, Azizul Adzran Mahmor berkata, penduduk yang terlibat termasuk sebuah rumah di Kampung Paya Lebar, lima rumah di Kampung Lanchang dan selebihnya di Felcra Lembah Kesang.
Katanya, jumlah kerosakan yang dialami mangsa dianggarkan RM24,000 dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment