Tambah mengecewakan apabila melihat raut muka suami yang masam kerana lebih gemar menikmati masakan rumah yang disediakan pihak isteri.
Chef selebriti terkenal tanah air, Datuk Ismail Ahmad atau lebih mesra ditegur dengan nama Chef Ismail menyatakan wanita berkerjaya perlu bijak merancang bukan sahaja daripada sudut masa tetapi meliputi juga jenis masakan yang hendak disediakan bagi tempoh seminggu supaya dapat melancarkan kerja dapur.
“Perancangan masa penting, tambahan pula untuk mereka yang bekerja di bandar kerana kesesakan jalan raya ada kalanya mengambil masa berjam-jam apabila semua mahu tiba di rumah sebelum waktu berbuka,” katanya.
Oleh itu, Chef Ismail menasihatkan golongan wanita supaya melakukan prapenyediaan dalam tugasan memasak supaya hidangan lengkap dapat disediakan dalam masa singkat tanpa menjejaskan rasa dan kualiti masakan.
Antara persiapan yang perlu dibuat ialah membersihkan ikan, ayam, daging, undang atau sotong sebelum dimasukkan ke dalam bekas bersih dalam kuantiti ‘sekali makan’ dan disimpan dalam peti sejuk beku supaya proses cair beku mudah dilakukan apabila perlu.
“Masa cuti hujung minggu pula dimanfaatkan dengan mengupas siap bawang merah, bawang putih, halia dan mengisar cili kering. Memasak ini mudah cuma penyediaan bahan sahaja yang boleh jadi remeh dan memakan masa.
“Jika rajin, boleh sediakan sediakan pes masakan seperti rendang, kari, asam pedas atau pes makanan bergoreng seperti mee goreng untuk disimpan di peti sejuk dan apabila perlu, senduk dalam kuantiti kecil,” tambahnya lagi.
Bagi menu sayuran pula, mereka digalakkan memilih sayuran bukan berdaun seperti labu, kekacang, bunga kobis, brokoli, terung dan lobak merah yang lebih tahan lama supaya tidak perlu kerap singgah ke kedai untuk membeli selain bahan-bahan itu siap dipotong sebelum disimpan.
“Mungkin ada wanita yang penat di dapur kerana mahu mengejar waktu berbuka, namun memberi makan kepada anggota keluarga yang berpuasa amat besar ganjarannya apatah lagi ‘air tangan’ isteri dianggap sebagai pengikat keluarga,” ujarnya.
Pengusaha katering Siti Rahimah Diaudin memberitahu beberapa kuih-muih juga boleh disediakan lebih awal khususnya kuih jenis bergoreng seperti karipap, popiah, samosa dan kuih keria.
“Kuih jenis talam yang tidak bersantan seperti kaswi dan sagu boleh disediakan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk. Begitu juga kuih sagu gula melaka dan apabila perlu, hanya masak santan dan air gula melaka untuk dicurahkan ke atas kuih,” katanya.
Bekas pengajar jurusan kulinari kolej swasta itu menyatakan wanita bekerjaya boleh menyediakan juadah bersantan seperti kari atau rendang dalam kuantiti banyak semasa hari cuti sebelum dimasukkan ke beberapa bekas kecil sebagai bekalan masa mendatang.
“Hanya pastikan masakan telah sejuk sebelum dimasukkan dalam peti sejuk beku, dan tuliskan tarikh makanan dibuat. Semua ini memudahkan tugas pada hari bekerja. Masakan seperti kari juga lebih sedap apabila disimpan lama kerana rasanya lebih sebati,” tambahnya lagi.
Walaupun terdapat banyak produk makanan sejuk beku di pasaran, juadah yang dimasak sendiri pasti dinanti-nantikan kerana rasanya menepati selera dan bahan-bahan yang digunakan terjamin daripada segi kualiti.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment