Kuala Lumpur: Sekian lama membujang, anak tunggal Allahyarham Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, Aliff Omar Ali (gambar), 32, selamat mengikat pertunangan dengan doktor gigi, Sharifah Nur Athirah Syed Azmi, 28, di kediaman keluarga pihak perempuan di Shah Alam pada 23 Ogos lalu.
Perkara ini disahkan ayah kandungnya, Ali Bakar, 60, kepada Harian Metro, semalam yang merestui pilihan anak sulungnya itu.
Bagaimanapun Ali enggan memperkatakan secara terperinci mengenai majlis pertunangan sebagai menghormati permintaan Aliff yang lebih suka bersikap sederhana atau ‘low-profile’.
“Sebagai ayah, saya hanya boleh mengesahkan perkara itu (majlis merisik dan pertunangan) dan bersyukur kerana Aliff sudah bertemu pilihan hatinya. Maaflah saya tidak dapat bercakap panjang lebar kerana ia atas permintaan Aliff sendiri. Sama-samalah kita mendoakan yang terbaik buat mereka,” kata Ali.
Difahamkan, majlis itu berlangsung secara sederhana dan tertutup dengan dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak. Pada majlis itu, isteri Ali, Zalinda Haron, 40, yang juga ibu tiri Aliff, menyarungkan sebentuk cincin berlian ke jari Nur Athirah.
Sementara itu, sumber terdekat dengan keluarga pihak lelaki berkata, Aliff dan Nur Athirah sudah dua tahun berkenalan selepas diperkenalkan keluarga masing-masing dalam satu majlis. Malah, arwah Sharifah Aini juga pernah bertemu calon menantunya itu dan merestui hubungannya dengan Aliff.
“Cuma kita sedih apabila arwah Sharifah Aini pergi dulu sebelum sempat melihat Aliff mendirikan rumah tangga. Namun arwah sentiasa mendoakan kebahagiaan Aliff dalam apa juga keadaan,” kata sumber itu.
Ketika ini Aliff sudah kembali ke kota Madinah bagi meneruskan pengajiannya dalam bidang perundangan islam yang masih berbaki kira-kira dua tahun lagi. Aliff pulang ke Kuala Lumpur Jun lalu untuk menghabiskan cuti semester selain menjaga arwah ibunya yang ketika itu mulai sakit.
Aliff turut berada di sisi arwah ibunya ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada 5 Jun lalu di Hospital Pakar Damansara dan kemudian mengimamkan sembahyang jenazah di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment