Muka baru dunia muzik rap tanah air bergelar Waris ini sama sekali tidak menyangka formulanya memperdagangkan genre itu bersama dialek Negeri Sembilan berjaya mencuri tumpuan.
Jika diamati profil kerjaya anak jati Rembau, Negeri Sembilan ini, Waris cukup hijau dalam muzik perdana. Usianya sebagai artis rakaman tidak sampai enam bulan tetapi pertaruhannya semakin meraih tempat dalam masyarakat.
Ketika pemilik nama sebenar, Muzzammil Alias, 24, ini bertandang ke Balai Berita untuk sesi fotografi sulung bersama RAP, baru-baru ini, dia mengakui impak yang dirasai sebagai anak seni tercetus bagai sekelip mata.
Waris berkata, mungkin pada dasarnya khalayak belum cukup kenal pada dirinya tetapi penangan lagu pertamanya, Rembau Most Wanted terbukti melonjakkan jenamanya di mata umum.
“Jika ditanya mengenai populariti, saya akui semakin dikenali terutamanya di sekitar negeri asal saya di Negeri Sembilan. Tapi saya rasa orang lebih kenal pada lagu Rembau Most Wanted sekarang. Penangan lagu itu membuatkan orang tercari-cari dan ingin tahu siapa penyanyinya,” katanya berseloroh.
Waris berkata, sebagai orang yang baru bertatih dalam lapangan ini, dia terpanggil untuk menjelaskan kekeliruan mana-mana pihak yang sering tersalah anggap mengenai identitinya.
Katanya, segelintir pihak kerap tersalah faham mengenai kewujudannya sebagai penyanyi kerana menyangka Waris itu adalah sebuah kumpulan rap.
“Selalu juga orang tersalah anggap dan menyangka Waris adalah sebuah kumpulan atau duo sebelum ini. Maklumlah saya ini pendatang baru dan khalayak lebih kenal pada lagu saya.
“Jadi atas kesempatan ini, saya mahu berkongsi dengan semua saya sebenarnya bergerak solo dan bukan berkumpulan.
“Individu lain yang sering bersama saya ketika beraksi adalah teman kolaborasi dan gandingan yang saya undang untuk memeriahkan lagu dan persembahan saja,” katanya yang menggunakan nama pentas Waris bermaksud anak kepada suku di Negeri Sembilan.
Berkongsi perjalanan singkat kerjayanya, pelajar tahun kedua bidang Kejuruteraan Awam di Uniten ini berkata, dia bertuah apabila hasrat bergelar penyanyi sejak dua tahun lalu tercapai selepas dilamar DJ Fuzz sebagai artis rakaman Mixology Music, awal tahun ini.
Justera, katanya, sebagai suntikan kelainan, dia mengambil keputusan menggabungkan elemen rap dan dialek negeri asalnya sebagai identiti dalam bidang ini.
“Dialek Negeri Sembilan itu memang saya gunakan hari-hari dalam keluarga. Jadi, saya cuba ketengahkan gabungan rap dan dialek itu memandangkan belum ada lagi orang yang cuba begitu di sini.
“Pada mulanya, saya memang belasah saja sekadar untuk mencuba formula itu tetapi tidak sangka pula ia menjadi dan diterima baik,” katanya.
Bagi Waris, konsep rap dengan dialek negeri itu juga adalah salah satu cara memartabatkan budaya bangsa dengan menggunakan platform muzik yang diterima ramai masa kini.
“Jujurnya saya bangga dengan penerimaan orang. Apabila ramai peminat dari Negeri Sembilan memuji usaha saya yang cuba mempopularkan dialek tempatan menerusi muzik rap, ia satu penghormatan buat saya.
“Formula begini adalah salah satu cara untuk saya selalu sedar diri dan tidak melupakan asal usul dan budaya sendiri. Insya-Allah saya akan terus berlagu dengan cara begini,” katanya.
Tambah anak muda yang mengagumi kumpulan Too Phat ini, gabungan rap dan dialek setempat yang diperjuangkan itu turut dipengaruhi arwah datuknya, Abd Rahman Bakar.
“Saya rapat dan dibesarkan arwah datuk yang kebetulan seorang pemain biola ketika hayatnya. Saya didedahkan kepada budaya Negeri Sembilan ketika membesar.
“Malah banyak kata-kata arwah yang pernah dikongsi dengan saya dulu memberikan inspirasi. Kalau diikutkan banyak bait katanya yang saya selitkan sebagai lirik dalam lagu. Dia adalah inspirasi dan perjuangan ini juga dedikasikan kepadanya,” tuturnya.
Bukan pengaruh negatif
Seperti nasib muzik rock dan dangdut yang sering dikaitkan dengan elemen negatif, genre pilihan Waris ini juga tidak terlepas daripada stigma serupa.
Katanya, walaupun masih baru, dia sudah diserang persepsi liar segelintir pihak yang menganggap perjuangannya itu membawa pengaruh negatif kepada masyarakat.
“Kebetulan ton suara dan imej saya sebagai penyanyi rap dekat dengan penampilan bintang rap dari luar yang sering dikaitkan dengan unsur negatif seperti jenayah, penyalahgunaan dadah atau alkohol dan seks.
“Hakikatnya saya bukan begitu. Janganlah ada yang salah anggap pula. Mungkin imej dan penampilan nampak seperti mereka tetapi perjuangan saya positif.
“Kalau diamati lagu-lagu saya, tiada unsur negatif atau memberontak pun. Sebaliknya, saya terapkan mesej kesedaran dan kehidupan menerusi muzik rap, itu saja,” katanya yang turut menjadikan kumpulan rap Wu-Tang Clan dan Mobb Deep sebagai rujukan.
Beralih pada perkembangan terbaru, Waris berkata, sambutan memberangsangkan khalayak pada Rembau Most Wanted menambah keyakinan untuk dia terus melangkah dengan lagu kedua iaitu Botingkek (menampilkan Juzzthin).
Katanya, jika Rembau Most Wanted adalah lagu pengenalannya sebagai artis, Botingkek yang mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan itu pula adalah sindiran kepada golongan hartawan agar hidup bersederhana dan merendah diri.
“Lagu ini saya hasilkan selepas berbincang dengan DJ Fuzz dan rakan duet Juzzthin. Lagu ini berdasarkan konsep yang diguna pakai kebanyakan penyanyi rap di mana mereka menggunakan kiasan lagu untuk menyindir pihak tertentu,” ungkapnya yang menyasarkan untuk tampil dengan album penuh pada hujung tahun ini.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment