ONEXOX
BannerFans.com

Surat terbuka untuk pemimpin PAS

on Sunday, April 27, 2014

Sudah lama saya tidak menjenguk ke tempat ceramah PAS selepas PRU 13 yang lalu, bukannya apa PAS pun sendiri jarang mengadakan ceramah dan jika ada penceramahnya tidak ada yang betul-betul bagus seperti dulu.

Semua kelihatan muram, masam dan macam hendak basi. Penganjur pun teragak-agak hendak jemput siapa, silap jemput tidak balik modal lebih parah lagi kena top-up duit sendiri. Lebih baik pakat tonton Maharaja Lawak atau wrestling. Apakah PAS ketandusan isu atau tokoh hebat yang mampu menarik khalayak ke tempat ceramahnya?

Justeru apabila melihat poster ceramah umum di Ijtimak Kepimpinan PAS Terengganu pada 18 April lalu, saya tanpa bertangguh segera bertolak awal ke Kemasik bagi mendengar apakah isu terkini yang bakal didendangkan oleh dua tokoh ‘kontroversi’ pada Muktamar PAS yang lalu iaitu Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu dan lawannya Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Amar yang berkongsi pentas pada malam itu.



Nik Amar mengambil giliran awal daripada Mat Sabu dan dimulai dengan nasihat agar ahli patuh dengan arahan kepimpinan dan parti walaupun tidak semua perkara dipersetujui oleh semua orang. Bagi saya ini semua adalah isi bagi program dalaman bukannya untuk ceramah umum yang dihadiri oleh khalayak yang terbuka sebegitu. Kemudian barulah beliau beralih kepada tajuk yang hangat dibincangkan kini iaitu berkenaan hudud.

Yang mengejutkan saya ialah apabila beliau memaklumkan sebab timbulnya gesaan daripada PAS untuk membentangkan rang undang-undang persendirian ke Parlimen selewatnya Disember ini adalah sebagai menyambut ‘tawaran’ ataupun jalan yang dibuat oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata beliau kita hendak lihat setakat mana ikhlas Umno membuat tawaran tersebut. Kemudian beliau menambah lagi kita sudah tahu Umno tidak ikhlas tapi kita nak tengok setakat mana Umno bersungguh dalam bab ini.

Kemudiannya Mat Sabu mengambil tempat pula dengan memberikan tumpuan kepada isu ketelusan dan ketirisan dalam pentadbiran juga berkaitan desakan pembaharuan sistem pilihan raya yang mesti berterusan di samping gesaan rakyat untuk turun pada Himpunan 1 Mei nanti. Ternyata aura dan kehebatan beliau tiada ganti lagi setakat ini di pentas pidato dan sebagai daya penarik pendengar, syabas Mat Sabu.

Bagi saya apa yang dibawa oleh Mat Sabu tersebut adalah isu segar, bertepatan dengan kehendak semasa dan sesuai didengar dan dihadam oleh semua pihak. Ianya jauh berbeza dengan apa yang disampaikan oleh Nik Amar baik daripada segi gaya penyampaian mahupun isi disampaikan dan motif yang terselindung di sebalik ucapan beliau tersebut.

Justeru saya cuba memikirkan apakah rasionalnya beliau berkata sedemikian di depan khalayak sebegitu besar yang turut dihadiri oleh rakan Pakatan Rakyat lainnya. Kenyataan beliau PAS sudah mengetahui ketidakikhlasan Umno dalam bab ini tetapi meneruskan juga hasrat untuk membuat pembentangan di Parlimen mengundang seribu satu pertanyaan di benak saya, atau mungkin rakyat lainnya juga.

Langkah yang bakal dibuat oleh PAS ini sememangnya disokong 100% oleh Umno yang inginkan perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat (PR) dan ini dimaklumi oleh semua orang yang celik politik. PAS sudah pun tahu langkah ini bakal menemui jalan buntu tetapi mengapa perlu dirisikokan perkara ini dengan membuka ruang perbalahan dengan PKR dan DAP pula?

Timbul suara-suara pendekar Mustar di sana sini :”Jangan peduli apa kata PKR dan DAP, kita bentangkan sahaja di Parlimen, biar kita kalah PRU asalkan kewajipan kita terlaksana, kita tidak perlu menjawab nanti di depan Allah, sudah terlepas tanggungjawab”.

“Inilah peluang hendak lihat Umno berlaga dengan MCA dan komponen bukan Islam lain” dan pelbagai lagi kata-kata yang sebenarnya akan menerosok PAS ke penjuru yang lebih jauh dari kelompok masyarakat Malaysia. Apakah penyakit sebenar yang melanda PAS sekarang?

Kemudian terdengar pula kata-kata PAS sudah lama memerintah Kelantan maka bagilah peluang kepada PAS untuk melaksanakan hudud bagi mengurangkan kadar jenayah. Saya tidak bermaksud untuk menolak perlaksanaan hudud atau mana-mana arahan dan perintah Allah walau sekecil mana pun tetapi dalam suasana sekarang, dalam keadaan Umno semakin parah dan BN semakin hilang arah tujuan dan juga jentera kerajaan yang semakin kucar-kacir, hutang negara makin menggunung membawa negara ke ambang muflis, mengapa PAS pula membuat ‘U-turn’ di tengah laluan laju dan sekali lagi menjadi ‘Kambing Hitam’ sebagaimana isu 16 September yang lalu.

Alangkah baik sekiranya PAS memperkukuhkan persefahaman di kalangan komponen PR di kala negara semakin terjerat angkara ‘kebobrokan’ nafsu Umno dan BN. Alangkah indahnya persefahaman andainya sedari 2008 PAS menyusun program pemahaman secara tersusun akan keindahan dan kebaikan hukum-hakam Islam baik untuk rakan PR mahupun untuk ahli dan penyokong PAS sendiri. Saya tertanya-tanya berapa kali dibuat majlis dan program khusus atau terbuka untuk pimpinan PR dan ahli sejak 2008?

Jangan pelik sekiranya orang di bawah boleh mengkritik pimpinan PAS secara terbuka dengan komentar yang pedas dan panas seperti apa yang dibuat oleh pimpinan PAS Kelantan selama memerintah 23 tahun berhubung pemahaman berkenaan hudud?

Jelasnya 23 tahun memerintah PAS masih gagal memahamkan rakyat Kelantan sendiri hatta PRU13 pun hampir separuh rakyat Kelantan menolak PAS! Bukannya sepenggal terus tumbang seperti Kedah tetapi hampir jubli gangsa namun masih bergantung kepada pengundi luar sebagai jaminan kemenangan kepada berpuluh peti undi.

Sekiranya rakyat Kelantan meletakkan asas pemahaman kepada hudud dan undang-undang Islam sebagai faktor utama pemilihan kerajaan mereka, sudah tentulah tidak akan timbul isu lebih satu kerusi pada penggal yang sebelum ini yang membuatkan penyokong dan pendokong PAS di luar Kelantan pun sering semput dan tidak lena malam di waktu itu.

Rakyat juga celik minda dan pemikiran pada masa sekarang, bukan boleh dimomokkan begitu sahaja atas nama Islam semata-mata. Mereka melihat empunya diri yang berkata-kata, apakah yang dikata itu dikota? Apakah yang diucapkan itu sebagaimana perbuatannya?

Rakyat Malaysia akur dengan pergolakan yang berlaku di Kelantan sekarang. Sudah menjadi rahsia umum akan percakaran yang senantiasa membayangi perebutan tahta dan kuasa di negeri Cik Siti Wan Kembang ini namun dengan izin Allah ‘aura’ Nik Aziz berjaya membendung perkara tersebut sepanjang tempoh menerajui kerajaan.

Namun sebaik beliau ‘diturunkan’ daripada jawatannya, golongan ‘cas keting’ kembali bergiat aktif. Rakyat Kelantan sekarang menjadi pemerhati setia melihat gelagat dan kerja keras pasukan tertentu untuk melenyapkan legasi Datuk Husam Musa dari arena politik Kelantan selama-lamanya. Kemunculan isu hudud dan tekanan secara drastik dilihat bagi mengalih perhatian terhadap pergolakan dan percaturan yang semakin merosakkan jemaah dan perjuangan PAS.

Rakyat juga sedar kerisauan golongan kononnya pro ulama akan kehilangan ‘posisi’ masing-masing andainya PR menerajui negara. Logiknya begitulah, kalau PR menang antaranya sudah tentulah Husam akan dinaikkan kepada posisi yang tinggi sesuai dengan kemampuannya, justeru segala gerakan bagi menghalangnya harus bermula sekarang dan motif terbaik dengan melabelkan beliau sebagai barua Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Harus diingat golongan muda sekarang berbekalkan peranti moden cekap mengundur masa mengimbau kembali percaturan golongan ini semasa perbincangan kerajaan perpaduan sehinggakan sudah ada yang terbayang-bayang kerusi empuk bagi jawatan tertentu.

Di saat keadaan masih belum meruncing sampai ke tahap yang tidak boleh diperbaiki lagi, eloklah semua pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan perbincangan tertutup berkenaan isu ini. Fokuslah kepada misi utama menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional. Lantaklah apa Umno dan BN katakan termasuk daripada juak-juak dan macai mereka. – Ahmad Abdullah, Ahli PAS seumur hidup

Sumber






PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved