ONEXOX
BannerFans.com

Rahsia di Sebalik Pangkal Nama Menurut Islam

on Wednesday, May 7, 2014



BAYANGKAN dengan jumlah penduduk Malaysia kini yang menjangkau 26 juta orang, pastinya ada 1,001 jenis nama yang menjadi kebanggaan individu mahupun keturunan di dalam sesebuah keluarga.

Namun, di sebalik nama glamor atau pelik yang cuba didaftarkan dalam sijil kelahiran, tidak semua nama sebenarnya boleh diberikan kepada anak dengan sewenang-wenangnya.

Sebagai contoh nama yang tidak digalakkan didaftarkan dalam sijil kelahiran ialah seperti Bulat, Buang, Pungut atau juga Tumpang, di samping nama gelaran keturunan bagi yang layak saja.

Syed, Sharifah, Nik,Wan, Raja dan Tun adalah antara nama gelaran istimewa yang diberikan oleh jalur keturunan seseorang, di mana ia begitu dijaga supaya kemuliaan nama gelaran itu kekal terpelihara ke generasi akan datang.

Ada juga keluarga dalam kelompok ini yang sensitif untuk memilih di kalangan mereka saja bila membabitkan soal perhubungan, jodoh hinggalah ke gerbang perkahwinan, semata-mata untuk memelihara keturunan dan nama gelaran berkenaan. Cara sedemikian dilakukan bukan semata-mata `memilih bulu’, sebaliknya ditekankan kerana ingin memastikan zuriat keluarga mereka masih lagi memegang nama gelaran keluarga.

Walaupun berbau `agak perkauman’, masyarakat hari ini sedar dan bersikap terbuka dengan senario perkahwinan sesama gelaran sebagai kesinambungan kepada budaya dan susur galur keturunan.

Namun, di sebalik keistimewaan nama gelaran ini, ada juga masyarakat yang bertindak ‘menggugurkan’ atau dengan lebih tepat lagi menukar nama gelaran yang dimiliki dengan nama biasa.

Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor, berkata Jabatan Pendaftaran tidak menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk menukar identiti seseorang sekiranya nama asal mereka mempunyai maksud yang kurang baik.

“Tetapi, tidak sewenangnya seseorang untuk menukar nama. Sebagai contoh mereka perlu mendapat pengesahan surat dari Jabatan Agama Islam atau mana-mana pertubuhan agama dianutinya sebagai bukti menyokong permohonan pertukaran nama berkenaan.

“Di samping itu, individu berkenaan juga perlu mengangkat sumpah yang mengesahkan tindakannya untuk menukar nama baru, sebelum kes berkenaan dirujuk ke Jabatan Pendaftaran untuk tindakan susulan,” katanya kepada i-Kon.

Beliau berkata, sebaik proses mengangkat sumpah selesai, individu terbabit sendiri perlu hadir untuk mengisi borang pindaan butiran membawa sekali butiran peribadi seperti kad pengenalan asal dan kelahiran. Katanya, sebaik segala proses pertukaran nama selesai barulah permohonan pertukaran nama disahkan oleh Jabatan Pendaftaran dalam tempoh tertentu.

Ditanya mengenai permohonan individu yang inginkan gelaran nama tertentu seperti Syed, Sharifah, Wan, Nik atau sebagainya, Jainisah berkata, gelaran nama keturunan itu tidak boleh diberikan sebarangan kecuali jika ia dapat dibuktikan menerusi susur galur keturunan dalam keluarganya.

“Sebagai contoh, Nik dan Wan. Nama ini tidak boleh didaftarkan individu yang tiada kena mengena dengan keturunan nama ini.

“Mengenai nama unik pula, kebanyakan permohonan nama sedemikian didaftarkan di Sabah dan Sarawak yang mempunyai banyak etnik kaum,” katanya yang menyatakan Jabatan Pendaftaran Negara tiada halangan bagi seseorang yang ingin mendaftarkan nama asalkan ia tiada maksud yang tidak baik.

Apa yang pasti, tidak kiralah pangkal nama individu itu kedengaran ‘pelik’ seperti Puteh, Khamis, Tumpang, Pungut mahupun Buang atau juga nama gelaran keturunan seperti Tunku, Tengku, Syed, Syarifah, Wan, Raja dan Nik kerana yang pasti keperibadian dan tingkah laku lebih mendapat perhatian.

Syed/Sharifah = Dosa/pahala berganda?

BENARKAH ini? Seorang rakan dari keturunan Syed, Sharifah berkata, keturunan Syed/Sharifah, kalau buat baik, pahala akan digandakan, begitu juga jika membuat dosa. Semuanya dikira double!

Mengapa? Entahlah, jawabnya tetapi kata rakan tadi, inilah yang diperturunkan kepadanya oleh keluarga. Adakah kerana mereka keturunan pewaris nabi, maka segala-galanya dikira `lebih’?

“Tidak. Tiada beza keturunan Syed, Sharifah dengan orang Islam yang lain. Dosa, pahala yang diterima sama saja seperti umat Islam yang lain walaupun mereka keturunan Rasulullah.

“Dalam hadis ada menyebut, Rasulullah pernah menyatakan kepada Fatimah bahawa baginda tidak mempunyai hak untuk membantu anaknya itu biarpun haknya sebagai Rasulullah,” kata Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Maznah Daud.

Begitu juga dengan anggapan keturunan ini mendapat dua syafaat di akhirat. Reputasi keturunan ini memang diakui dan kemuliaan keluarga mereka terjaga tetapi tidaklah sehingga mereka mendapat kelebihan ini. Jika mereka tidak beribadat dan tidak patuh pada ajaran Allah, mereka tetap menerima seksaan Allah yang keras.

Satu lagi perkara yang paling sinonim dengan keturunan ini ialah perkahwinan sesama keturunan. Banyak kes, perhubungan tidak direstui keluarga kerana anak-anak memilih calon di kalangan `orang biasa’. Hakikatnya, kata Prof Madya Maznah, walaupun mereka diakui kemuliaan keturunannya, tidaklah hingga golongan ini tidak boleh berkahwin dengan orang biasa.

Jika disorot sejarah silam, Baginda Rasulullah juga mengahwini orang biasa, malah seorang isterinya Sofiah adalah daripada bangsa Yahudi. Malah anak-anak baginda juga berkahwin dengan orang biasa. Seperkara lagi yang dikaitkan dengan keturunan ini ialah mereka tidak boleh menerima sedekah atau zakat.

Apa ada pada nama?

MEMILIKI nama dengan gelaran istimewa pasti memberi kelebihan, dan tidak kurang juga ‘tekanan’ khususnya bagi wanita yang dikatakan perlu bertemu jodoh dikalangan keturunan mereka semata-mata.

i-Kon cuba ‘menyelami’ identiti mereka yang mempunyai pangkal nama istimewa yang tidak dimiliki sebarangan orang dan berkongsi pandangan mengenai identiti mereka, asal usul keturunan dan pendapat mereka mengenai perkahwinan dalam keturunan mereka.

Nik Norma

PENUNTUT Ijazah Doktor Falsafah University of Canterbudy, New Zealand, Nik Norma Nik Hasan berbicara mengenai nama keluarganya yang mempunyai pangkal nama Nik di hadapan. Kata Nik Norma, dalam susur galur keluarganya mempunyai banyak gelaran nama dalam keluarga seperti Tengku, Tunku, Engku, Raja, Tuan, Che dan Nik, sekali gus mewarnai keturunan keluarganya.

Namun, beliau sendiri tidak dapat memastikan yang gelaran Nik pada nama keluarganya adalah dari kalangan keluarga di raja walaupun neneknya mempunyai gelaran Tengku. “Saya mewarisi nama Nik daripada ayah iaitu Nik Hasan Nik Yusuf walaupun ibu saya tidak mempunyai gelaran Nik.

“Apa yang saya difahamkan, gelaran Nik akan lupus dengan sendiri jika wanita bergelar Nik berkahwin dengan lelaki ‘biasa’,” katanya. Namun, katanya ada juga lelaki Nik yang tidak meneruskan tradisi meletakkan pangkal nama Nik pada anak mereka seperti yang dilakukan oleh bapa saudaranya. Apakah asal usul Nik?

“Dari apa diceritakan kepada saya, pada zaman Puteri Saa’dong (di selatan Thailand), ada seorang raja memerintah tidak memiliki cahaya mata. Justeru, raja berkenaan mengambil anak angkat lelaki.

“Seorang diperoleh dari buluh betung manakala seorang lagi daripada mulut ikan sebelah. Jadi, gelaran nama Nik ini diberikan kepada mereka sebagai membezakan dengan gelaran kerabat di raja lain,” katanya yang sehingga hari ini tidak pernah menikmati hidangan rebung dan ikan sebelah kerana kepercayaan yang mengatakan keturunan Nik tidak boleh menikmati kedua hidangan berkenaan.

Nik Norma berkata, dari kajian dari buku yang dilakukannya, ada juga pendapat yang mendakwa gelaran Nik berasal dari nama Tengku sekitar kurun ke-18 hingga ke-19 dan diteruskan sehingga kini. “Malah, ketika kakak saya ingin bersalin dia dikehendaki membentang kain kuning kerana dikatakan mudah ketika bersalin,” katanya yang gembira kerana memiliki gelaran Nik dan berharap dapat meneruskan tradisi nama gelaran itu kepada anaknya pada masa akan datang.

Aida

BERBEZA pula dengan Aida S Kadir, 36 yang tidak meletakkan nama Sharifah di pangkal nama, sedangkan bapanya adalah dari keturunan Syed. Nama sebenar bapanya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir.

Kata Aida, susur jalur keturunan gelaran Syed dalam keluarganya ialah Sheikh @ Syed Abdul Kadir bin Sheikh @ Syed Omar bin Tunku Syed Abdul Rahman al-Qadri (Pembesar Linggi Negeri Sembilan) – pembesar Melayu zaman British.

Namun, bapanya juga tidak meletakkan nama Syed dengan alasan tidak mahu menunjuk-nunjuk kelebihan dan keistimewaan nama dimiliki keluarganya itu. Bagaimanapun, kata Aida, dua abangnya mengangkat sumpah untuk mendapatkan semula gelaran Syed dengan alasan untuk memelihara keturunan Syed pada generasi akan datang.

“Dari cerita bapa, saya dari keturunan al-Qadri dari Riau Sumetera, suku sakat yang membuka Negeri Sembilan. “Walaupun saya tidak memegang gelaran Sharifah, dua anak kembar saya yang berusia dua tahun dinamakan Putri iaitu Putri Maryam Idez Azlisham dan Putri Khadijah Idez Azlisham,” kata anak keempat dari lima beradik ini.

Info JPN

JPN hanya membenarkan nama yang panjangnya sehingga 94 aksara sahaja.Ini termasuklah nama bapa, perkataan bin, binti, a/l, a/p atau anak, koma dan sengkang.

Pendaftaran nama anak perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari dan boleh dikenakan denda RM5 bagi pendaftaran lewat iaitu antara 15 hingga 42 hari.

Pertukaran nama ini hanya boleh dilakukan dalam tempoh setahun saja selepas pendaftaran nama anak.

NAMA YANG DITEGAH ATAU DILARANG

Nama gelaran yang dianugerahkan kerajaan

Tun, Tan Sri, Datuk, Datin, Puan Seri, Dato Seri, Datuk Paduka, Datuk Patinggi, Datuk Wira Jaya, Datuk Bentara Dalam, Datuk Bentara Luar.

Nama pangkat atau jawatan

Haji, Nabi, Imam, Rasul, Mufti, Ketua Menteri, Kadi, Perdana Menteri, Gabenor, Sarjan, King, Hakim, Permaisuri, Guru, Ustaz, Shahbandar, Ustazah.

Gelaran keturunan

Syed, Sharifah, Tunku, Tengku, Nik, Wan, Raja

Nama profesional

Doktor (Dr), Ir (Engineer), Professor, Akauntan, Audit, Diplomat

Nama kepahlawanan

Mahaguru, Pahlawan, Pendekar, Panglima, Bomoh, Pawang, Dukun, Satria

Nama lucah atau yang lucah bunyinya

Nonok, Bontot, Bola Besar, Kote, Faraj, Shahwat, Zina, Kopek, Pundek, Punat, Khalwat, Zakar, Kulup, Coli, Liwat

Nama-nama buruk

Buruk, Malang, Sial, Derita, Haram, Pungut, Hapak, Baruah, Bunting

NAMA YANG TIDAK SESUAI

Nama binatang atau serangga

Babi, Monyet, Keldai, Rimau, Lipan, Buaya, Belalang, Semut, Ular

Nama buah-buahan, sayursayuran, tumbuhan, makanan

Ciku, Pisang, Keladi, Kucai, Terung, Karet, Serai, Jintan, Kunyit, Halia, Bawang Merah, Kelapa, Santan, Lidi, Nasi, Bubur, Ketupat, Laksa, Sirap, Cendol, Lempeng, Daun.

Nama-nama lucu

Kecut, Kutai, Kuyok, Boyak, Kudung, Pendek, Panjang, Tinjau, Apek, Lonjong, Kuding, Tunggal, Sinon, Ketiak, Leper, Kemek, Janggut, Tanduk, Kerepot

Nama-nama kejadian alam

Gunung, Salji, Suria, Pelangi, Awan, Bintang, Bulan, Guruh, Petir, Panas, Hujan, Bumi, Langit, Gelombang, Laut, Batu, Angkasa Nama-nama alat perkakas lSenduk, Piring, Mangkuk, Cawan, Katil, Tilam, Garpu, Tingkap, Pagar, Lesong, Berus, Parang, Tajak, Golok

Nama-nama warna

Hitam, Putih, Jingga, Merah, Coklat, Kuning

Nama-nama huruf atau angka atau gabungan kedua-duanya

D, K, P, Z, 001, 007, K 7, K 4, Zerozero Seven

Nama perhiasan atau pakaian

Cincin, Subang, Anting-anting, Mutiara, Benang, Kain, Baju, Rantai, Seluar, Kasut

PERKATAAN ARAB YANG MAKNANYA TIDAK ELOK

Narul (neraka), Zaniah (penzina perempuan), Zani (penzina lelaki), Khinzir (babi), Zakar (kemaluan lelaki), Faraj (kemaluan perempuan), Wati (persetubuhan).

NAMA INDIA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Ammakannu, Andayan, Annachi, BatumalaiBotha, Baby, Ettikkan, Idache, Idayan, Kalavani, Kali, Karuppan, Kathammah, Madasamy, Mottayan, Muthammal, Mukayi (Mookayee), Mooli, MachappuPapa, Prayasamy, Periyannan, Sadachi, Sigappi, Sinnayee, Sengan, Satan, Sembu Setty, Thambi, Kulli, Thangachi, Udukayee, Uthandy, ValuVellayan, Valoo.

NAMA CINA YANG TIDAK ELOK MAKNANYA

Hokkian

Ah Chaw (ular), Ah Goo (kerbau), Ah Gong (orang gila), Ah Kooi (hantu), Ah Loo (keldai)

Kantonis

Ah Seh, Ah Nyau, Sor Chai, Ah Kwai

Mandarin

Ar Ser, Ar New, Ar Ngong, Ar Kwe, Ar Loo







PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 1 comments... read them below or add one }

Miss Brenito said...

bukan nik tuh sebenarnya pengasuh diraja ker?


May 7, 2014 at 7:49 PM

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved