ONEXOX
BannerFans.com

Saya bukan pengkhianat negara

on Saturday, May 31, 2014



NAMA Mohammad Izuan Ibrahim tiba-tiba popular. Kalau bukan kerana Jepun memenangi kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama dalam sejarah pertandingan, barangkali anak Malaysia ini tidak dikenali ramai.  

Kejayaan negara matahari terbit itu menewaskan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Siri Fort, New Delhi, India menyebabkan negara kempunan menamatkan kejuaraan Piala Thomas selama 22 tahun.

Izuan, anak kelahiran Kelantan merupakan jurulatih mendidik pemain perseorangan kedua Jepun, Kento Momonta yang menumpaskan Chong Wei Feng 21-15 dan 21-17 sekali gus mengutip mata pendahuluan 2-1 dalam perlawanan akhir tersebut.

Namun di sebalik kejayaan tersebut, Izuan dicop sebagai pengkhianat kerana membantu Jepun menumbangkan Malaysia. Apa pun, bekas pendidik ini tetap tenang berdepan situasi itu dan tidak melatah dilabelkan sedemikian.

Wartawan Sinar Harian Kelantan, Mazram Idzam Ridzal Mahmud dan Siti Fatihah Awang berkesempatan menemui Izuan untuk wawancara eksklusif ini.

Orang tak kenal siapa Izuan Ibrahim tetapi tiba-tiba nama saudara hangat diperkatakan. Sebelum ini, saudara seorang pendidik, kemudian letak jawatan, tak pernah jadi pemain badminton kebangsaan tapi tiba-tiba jadi jurulatih badminton. Itu merupakan satu perkara menarik dan tidak diketahui ramai.

 Izuan : Saya mula mengenali badminton sejak berumur tujuh tahun. Pada usia 13 tahun, saya berlatih bersama bapa Mohd Hafiz Hashim di Kelab Suara Muda. Setahun kemudian, saya dipanggil menjalani latihan bersama skuad Projek Kelantan.

Karier sebagai pemain badminton mula serius pada 2002 apabila saya berkelana dengan menyertai Kelab Profesional Nusa Mahsuri di Kuala Lumpur. Di situlah saya serahkan jiwa dan raga pada dunia badminton dan mula pasang impian menjadi jaguh dunia.

Namun saya terpaksa lupakan impian kerana ibu bapa mahu saya menyambung pelajaran. Sikap saya, apabila berkecimpung sesuatu bidang, saya cuba memahami persekitaran untuk disesuaikan dengan kehidupan peribadi. Jadi, saya melihat pekerjaan guru mampu memberi impak kepada sukan kerana saya mengambil jurusan bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur dari 2003 hingga 2005.

Justeru, saya hidupkan semula impian jadi jaguh dunia dengan  menurunkan ilmu kepada anak didik.

Izuan memilih haluan berbeza, berkelana ke Jepun. Apa dilakukan saudara setelah bermastautin di negara tersebut sejak tiga tahun lalu?  

 Izuan: Tanggungjawab pertama saya di sini adalah bekerja dengan Persatuan Badminton Ehime di Kepulauan Shikoku. Untuk makluman, Ehime akan menjadi tuan rumah sukan Jepun pada 2017.

Melalui wakil, mereka berhubung dengan Kelab Nusa Mahsuri yang sekian lama menjalin kerjasama dengan pemain-pemain dari Jepun. Hakikatnya saya tidak yakin memikul tanggungjawab ini kerana saya sedar, rakan-rakan di Nusa Mahsuri jauh lebih berkaliber dan berkualiti. Namun saya beranikan diri (berhijrah) dengan niat menambah ilmu setelah jurulatih di Nusa Mahsuri beri sokongan.

Saya tiba di Jepun pada Februari 2011. Namun agak mengejutkan, saya dipinjamkan ke Persatuan Badminton Jepun untuk melatih pasukan remaja bawah 13, 16 dan 19 tahun. Dari situ saya banyak gunakan masa secara sendirian dengan mendapatkan input daripada Datuk Misbun Sidek dan rakan-rakan di Nusa Mahsuri. Jadi saya gunakan sebaik mungkin pengalaman diberikan oleh Persatuan Badminton Japan selama setahun (2011 hingga 2012).

Kejayaan Jepun menjulang kejuaraan Piala Thomas buat pertama kali dilihat satu sejarah bagi negara matahari terbit itu. Tetapi di sebalik kejayaan tersebut, timbul dakwaan mengatakan Izuan sebagai pengkhianat negara (Malaysia). Sejauh mana Izuan berusaha menepis persepsi buruk tersebut ?

 Izuan: Sebelum perlawanan akhir,  saya telah mengemas kini status di laman Facebook tentang perkara ini. Cuma saya tertanya-tanya daripada aspek mana saya digelar pengkhianat. Majikan saya adalah Jepun dan amanah yang saya pikul ini adalah untuk Jepun.

Pasukan Jepun memenangi perlawanan hasil kerja keras mereka selama tiga hingga empat tahun terdahulu. Bukan hasil daripada saya menjual taktikal pasukan negara (Malaysia) dan sebagainya. Saya bukan pengkhianat negara, tetapi saya menerima segala pandangan buruk yang dilemparkan asalkan saya tidak hina di mata ALLAH SWT. Saya rasa tenang mencari rezeki untuk anak dan isteri di sini.

Kejayaan Izuan membantu Jepun mengejutkan banyak pihak. Adakah saudara bersedia pulang ke Malaysia dan berkhidmat bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya mendapat tawaran ?

 Izuan: Umur saya baru mencecah 30 tahun dan masih mentah dalam bidang ini. Kejayaan Jepun terutama Kento Momota yang pernah saya bimbing selama setahun, tidak boleh dijadikan penyebab untuk saya menerima mana-mana tawaran. Saya amat terharu sekiranya BAM mempercayai kebolehan saya dalam memimpin pemain kebangsaan atau pelapis.

Namun seperti saya beritahu, saya masih cetek pengalaman, adalah lebih baik buat saya untuk menimba ilmu sebanyak mungkin sebagai persiapan kerana saya sedar, bukan mudah menjadi jurulatih berkaliber yang mampu melahirkan jaguh dunia secara berterusan.

Sumber









PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved