ONEXOX
BannerFans.com

Maut digilis lori amang

on Wednesday, September 10, 2014

KUALA PILAH – “Masih terngiang-ngiang kata-kata terakhir arwah, apabila dia beritahu, suruh ikut dari belakang kerana takut melalui jalan itu dan berhajat untuk belanja saya minum di stesen minyak Petronas di Beting, sedangkan sebelum itu kami sudah makan bersama,” kata rakan karib mangsa, Aliff Haiqal Razali, 19.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi, di Kilometer 5 Jalan Kuala Pilah-Bahau, mangsa, Abd Rahman Ibrahim, 19, dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Jemapoh maut di tempat kejadian apabila motosikal Modenas Kriss yang ditunggangnya hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan sebelum dilanggar dan digilis sebuah treler.

Sementara itu, pemandu treler yang membawa muatan amang (bijih besi), Mohd Najib Rashid, 37, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kata Aliff, dia tidak menyangka hajat arwah untuk belanjanya satu tin air minuman itu menjadi petanda bahawa rakan karibnya akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Lebih kurang jam 12 tengah malam semalam, arwah menghubungi saya untuk keluar makan di Pekan Kuala Pilah. Kami pergi secara berasingan dan berjanji akan bertemu di kedai makan yang dimaksudkan.

“Arwah kelihatan ganjil apabila menjadi seorang yang pendiam dan selesai makan, arwah mengajak saya pulang tetapi dengan tiba-tiba arwah berkata dia terlalu takut untuk pulang ke rumah dan menyuruh saya mengekori dari belakang," katanya.

Aliff memandu keretanya mengekori arwah dari belakang dan rasa pelik sedangkan laluan itu biasa dilalui arwah untuk ke rumahnya di Kampung Sungai Tawang, Pelangai.

Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba, motosikal ditunggang arwah hilang kawalan kerana terlanggar lubang menyebabkan arwah melambung lalu memasuki laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama, sebuah treler dari arah Bahau ke Kuala Pilah tidak perasaan arwah sudah terbaring di atas jalan, melanggar dan menggilisnya.

“Kejadian itu amat pantas, saya pun tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya mampu menyebut kalimah ALLAH. Dalam keadaan sedih, saya menghampiri arwah dan melihat keadaannya," katanya.

Abang arwah, Mohd Adam Ibrahim, 27, berkata, pemergian adik bongsunya itu, merupakan kehilangan besar buat ahli keluarga.

“Kami sekeluarga reda di atas pemergian arwah," katanya.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pelangai selepas solat Zohor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian.



Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved