Sehari selepas nahas di Lebuhraya PLUS yang mengorbankan seorang suri rumah berusia 50 tahun dan anak perempuannya, seorang saksi menceritakan rentetan kejadian kepada BH Auto secara EKSKLUSIF bagaimana tragedi itu berlaku melibatkan sebuah lori treler muatan berat menempuh beberapa buah kenderaan.
Bertugas sehari sebelum Hari Raya Aidiladha adalah merupakan satu perkara biasa bagi pemandu bas ekspres untuk memandu dengan lebih berhati-hati di kala kesibukan orang ramai pulang beraya ke kampong halaman.
Namun bagi pemandu bas ekspres Transnasional ke destinasi Kangar dengan membawa 37 penumpang selepas bertolak dari Ipoh pukul 11 pagi tiga hari lepas, Hamdan Haron masih lagi sukar melupakan tragedi yang disaksikannya di KM256.1 (arah utara) Lebuhraya Plus, tidak jauh dari Terowong Menora.
Menceritakan kisah nahas tragis tersebut kepada BH Auto, Hamdan berkata lalulintas di Lebuhraya Utara-Selatan adalah amat sibuk dengan kelihatan beberapa buah lori treler di lorong perlahan selepas melalui terowong.
Menurut Hamdan, ketika dia sedang memintas trak Hino berjalur putih dan merah serta treler kuning yang membawa muatan jubin mozek yang berada di lorong kiri, “tiba-tiba pemandu trak tersebut membunyikan hon dan memberi isyarat tangan kepada saya dengan begitu bersungguh.”
Hamdan menjelaskan bahawa pemandu lori itu membuat isyarat tangan yang bermaksud bahawa trak itu sedang mengalami masalah brek tidak berfungsi.
“Pemandu trak ini meminta kepada saya agar diberikan ruang untuknya masuk ke lorong saya iaitu lorong kanan. Dia juga menurunkan tingkap sambil mengatakan sesuatu,” kata Hamdan yang berasal dari Batu Gajah.
“Jadi saya mengurangkan kelajuan kenderaan untuk membenarkan treler kuning itu untuk menukar lorong dan berada di hadapan saya,” kata pemandu bas ekspres Transnasional ini.
“Tetapi trafik di hadapan kurang lancar di mana lima atau enam kereta sedang berada di hadapan dan sebuah trak putih juga berada di lorong kanan di hadapan trak Hino. Lalulintas agak perlahan kerana terdapat sebuah pasukan Plus Ronda sedang meletakkan kon trafik di lorong kecemasan untuk memberi pertolongan kepada sebuah kereta rosak. ”
Melihat kepada keadaan tersebut, Hamdan berasa tidak sedap hati dan berasa sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Ketika trak Hino sudah di depan saya dan memikirkan sebuah kenderaan berat menghadapi masalah brek, saya kurangkan laju dan menjarakkan diri. Beberapa saat kemudian, treler lori itu merempuh bahagian belakang trak putih,” kata pemandu bas ekspres yang berusia 47 tahun itu.
Hamdan berada kira-kira 20 kaki dari trak putih tersebut apabila ia rebah ke sisi di bahu jalan akibat hentaman oleh trak treler kuning tersebut.
Selepas itu, kata Hamdan, rempuhan berganda melanda beberapa buah kereta.
“Saya menyaksikan dengan ngeri bagaimana trak treler kuning tersebut yang sarat dengan muatan tidak dapat dikawal telah menerjah Proton Saga merah dan mengheret kereta itu sejauh sekitar 100 meter menuruni bukit dan pada masa yang sama ‘menolak’ lima buah kereta – Perodua Myvi, Mercedes, dua Proton Alza dan Honda City,” Hamdan mengimbas kembali.
Trak Hino tersebut dalam perjalanan menghantar muatan jubin ke Pulau Pinang dari Johor Bahru.
Pemandu bas masih trauma selepas menyaksikan kemalangan tragis
Sambil cuba menenangkan diri ketika bercerita kepada BH Auto, Hamdan menerangkan bahawa beliau berjaya mengawal bas dengan selamat walaupun terpaksa menempuh saki-baki serpihan perlanggaran bertebaran di lokasi nahas.
“Tetapi sehingga kini, masih jelas di ingatan saya rentetan trak tersebut ‘memanjat’ bahagian belakang Saga merah, terus ia melekat seperti lintah dan mengheret kereta itu menuruni cerun untuk beberapa saat dan ini adalah sesuatu yang saya tidak akan lupakan,” kata Hamdan yang berpengalaman 20 tahun mengendalikan kenderaan berat sebagai pemandu bas di kampus universiti dan juga sebagai pemandu trak trailer di laluan Ipoh-Singapura sekitar 90-an.
Hamdan berkata beliau akan membuat laporan sebagai saksi untuk membantu polis trafik dalam penyiasatan dan mahu membantu keluarga mangsa mendapat gambaran lebih jelas.
Ditanya adakah tragedi tersebut boleh dielakkan sekiranya Hamdan yang berada di ruang pemandu trak pada Sabtu lepas ketika saat genting kegagalan brek, dia berkata: “Jika saya adalah pemandu lori treler tersebut, saya mungkin mengambil pendekatan yang berbeza tetapi ia juga adalah satu perkara yang amat sukar memandangkan keputusan harus diambil di saat getir. ”
“Apa yang saya lihat pada Sabtu lepas adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan dan saya masih berasa trauma ketika ini,” kata pemandu Transnasional itu.
Norhayati Wook, 50, dan anak perempuannya Siti Yuslianis Roslan, 20, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kedua-duanya berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan kepala manakala ahli keluarga yang lain mengalami cedera ringan. Mereka dalam perjalanan ke Lenggong, Perak untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Menurut polis, nahas yang berlaku pada pukul 11:30 pagi itu sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Shahrim Tamrin.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment