Menurut Khairy, cadangan tersebut yang mensasarkan 183,486 individu yang langsung tidak membuat sebarang pembayaran pinjaman walaupun sudah melewati alam pekerjaan dalam tempoh yang lama, adalah relevan.
"Saya rasa cadangan terkini daripada PTPTN ini masuk akal. Lain lah kalau grad baru yang susah nak cari kerja menjadi sasaran," ujar Khairy menerusi laman sosial Facebook miliknya.
Dalam perkembangan terbaharu, PTPTN dikatakan akan mengenakan tindakan lebih tegas dalam usaha mengutip semula pinjaman dengan menyenaraikan peminjam tegar dalam CCRIS.
Difahamkan, pada peringkat permulaan CCRIS akan dikenakan terhadap peminjam tegar yang langsung tidak menjelaskan pinjaman berjumlah RM1.2 bilion sejak 1998 hingga 2010.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihak PTPTN ada menemui beliau dan menjelaskan tentang kebimbangan badan itu untuk terus menyalurkan bantuan kepada golongan pelajar pada masa hadapan jika peminjam tidak melunaskan hutang mereka.
“Mereka (pihak PTPTN) tahu ramai grad baharu yang masih tidak dapat tawaran kerja yang tetap. Pada masa yang sama mereka risau sebab apabila peminjam tidak membayar balik hutang PTPTN, tabung untuk memberi pinjaman kepada pemohon baharu semakin kurang. PTPTN hanya boleh diteruskan jika peminjam membayar hutang mereka. Barulah pinjaman baharu dapat diberi kepada orang lain," katanya lagi.
Khairy turut mempertikaikan tindak tanduk peminjam yang walaupun sudah menjawat jawatan tinggi namun masih liat untuk membayar hutang.
"Kalau tengok statistik di bawah, ada peminjam yang patut mula bayar pada tahun 2000, 14 tahun yang lepas, yang tak bayar satu sen pun!
"Apabila ditanya tentang peminjam tersebut, pengurusan PTPTN kata ada yang sudah menjadi pegawai kerajaan dengan jawatan tetap yang masih lagi tidak mula membayar balik pinjaman PTPTN mereka," katanya.
Khairy turut bertanya kepada pihak PTPTN sama ada peminjam akan terlepas tindakan CCRIS jika mereka hanya membayar RM100 berkata, "itu pun dah cukup sebab sekurang-kurangnya mereka tampil untuk membuat bayaran setelah bertahun-tahun tidak menjawab surat menyurat PTPTN."
Penyenaraian CCRIS ialah sebuah sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan semua maklumat kredit peminjam mengikut laporan disediakan oleh institusi kewangan.
Individu yang disenarai dalam CCRIS berdepan kesukaran kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan pelbagai urusan berkaitan institusi kewangan.
Menerusi sistem itu, institusi kewangan atau bank akan menilai dan menganalisis setiap pinjaman, baki pinjaman, rekod bayaran balik serta jumlah tunggakan termasuk bilangan bulan, sekali gus mempengaruhi permohonan atau jumlah pinjaman yang akan dibuat.
PTPTN sebelum ini memperkenalkan pelbagai langkah pembayaran semula, termasuk potongan gaji dan pengeluaran akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, peminjam yang berdepan masalah pembayaran dibenarkan menjadualkan semula hutang dengan bayaran serendah RM50 sebulan
Khairy sebelum ini membantah cadangan penyenaraian CCRIS tersebut berikutan kekangan kewangan yang dihadapi akibat kos sara hidup yang meningkat.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment