Baru-baru ini tersebar satu video yang mana memaparkan seekor tikus bermain-main di sebuah rak makanan. Menurut kapsyen dari video tersebut, ianya dirakam di sebuah R&R milik Plus.
Bagaimanpun, setelah disiasat, dakwaan yang tersebar adalah palsu. Video yang tersebar sebenarnya dirakam di sebuah kedai di lapangan terbang Mumbai, India sekitar bulan April lepas.
Pihak Plus juga telah tampil menafikan dakwaan ini dengan mengeluarkan kenyataan rasmi di laman webnya. Menurut Plus, mereka tiada sebarang rekod kedai yang bernama "Muthood Plaza Snack Bar" di R&R miliknya. Berikut adalah kenyataan penuh dari pihak Plus.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merujuk kepada rakaman video seekor tikus yang didakwa terdapat di salah satu gerai di kawasan rehat PLUS sepertimana yang disebarkan menerusi media sosial dan pesanan WhatsApp pada ketika ini.
PLUS telah mengadakan siasatan serta-merta terhadap kandungan video tersebut. Berdasarkan rekod, tiada nama gerai, kiosk atau premis makanan di kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah atau stesen minyak di rangkaian lebuh raya PLUS menggunakan nama ‘The Muthoot Plaza Snack Bar’ sepertimana yang terdapat di dalam ‘viral’ rakaman video tersebut.
Oleh itu, kami amat kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebar dan menulis kapsyen lokasi video tersebut seolah-olah ia berlaku di salah satu gerai di kawasan rehat kami memandangkan ia boleh mencemarkan kredibiliti perkhidmatan lebuh raya kami yang mengutamakan kebersihan dan keselesaan di semua gerai makanan di lebuh raya kami. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu juga boleh mendatangkan kesulitan dan menjejaskan perniagaan pengusaha-pengusaha gerai di R&R kami.
Untuk makluman, PLUS sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia memantau serta memastikan kualiti, tahap kebersihan dan penyediaan makanan di gerai-gerai di lebuh raya kami. Pihak kami juga mempunyai jadual pembersihan, penyelenggaraan menyeluruh dan pemeriksaan berkala ke atas semua premis makanan dan minuman di rangkaian lebuh raya kami. Ini merupakan salah satu inisiatif kami dalam mematuhi piawaian dan kualiti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
PLUS memandang serius dakwaan seumpama ini dan mengambil segala langkah yang sewajarnya untuk membolehkan orang ramai terus menikmati kemudahan, keselesaan dan jaminan kebersihan di semua premis lebuh raya kendaliannya.
Diharap orang ramai tidak lagi berkongsi dakwaan palsu tersebut.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment