ONEXOX
BannerFans.com

LMNS naik taraf Makam Tengkis

on Wednesday, May 15, 2013


JOHOL - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) menjalankan usaha murni dengan menaiktarafkan Makam Tengkis yang terletak di Kampung Sompoi Dingkir, dekat sini dalam usaha memulihara dan mengekalkan warisan bersejarah kerajaan negeri.

Pengarah LMNS, Drs Shamsuddin Ahmad berkata, kerja pemuliharaan makam ini akan dilaksanakan pada bulan ini.

"Kesepakatan sudah dicapai antara pihak LMNS bersama Datuk Bentara Jantan Baharuddin Mohammad Nor, Pemangku Penghulu Luak Inas dan Datuk Baginda Maharaja Mohd Yusof Yasin untuk menyelaras ketepatan fakta sejarah serta kerja pemuliharaan makam tersebut," katanya.



Mengulas lanjut berkenaan sejarah makam katanya, ia adalah berdasarkan daripada buku yang bertajuk 'Sistem Sosial Adat Perpatih di Luak Inas' terbitan LMNS.

Menurutnya, buku itu dihasilkan oleh Datuk-Datuk Adat Luak Inas Tengkis atau lebih terkenal dengan gelaran 'Senduk Emas'.

"Anak perempuan Datuk Penghulu Luak Inas yang kedua iaitu Datuk Bayan berkahwin dengan ketua orang Minangkabau di Seri Menanti bernama Khatib Akhir. Hasil daripada perkahwinan ini maka terjalinlah hubungan kekeluargaan di antara Luak Inas dan Seri Menanti.





“Catatan sejarah yang terdapat dalam buku ini menyebutkan bahawa Luak Inas yang dahulunya dihuni oleh Orang Asli sahaja sudah perlahan-lahan bersemenda dengan orang Minangkabau yang menganuti agama Islam,” katanya.

Katanya, Tengkis mempunyai kaitan erat dengan sejarah Luak Inas dan dikatakan orang yang pertama memeluk agama Islam dan mengembangkannya di Luak Inas pada waktu itu.

“Perkahwinan beliau dengan Khatib Akhir dikurniakan seorang anak lelaki bernama Naam yang menjadi Penghulu pertama di Seri Menanti. Anak perempuan Penghulu Naam bernama Cik Seni berkahwin dengan Raja Melewar yang merupakan raja pertama memerintah Seri Menanti.

“Dalam erti kata lain, Tengkis atau Senduk Emas adalah bonda kepada Penghulu Naam dan nenek kepada Cik Seni yang berkahwin dengan Raja Melewar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, melalui pemuliharaan makam ini juga merupakan usaha murni untuk menghargai dan mengenang jasa serta sumbangan Tengkis.

“Ia juga menjadi tempat rujukan untuk memperoleh maklumat berkaitan tokoh sejarah Luak Inas khususnya kepada para penyelidik dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Adalah diharapkan menerusi kerja menaiktarafkan dan pemuliharaan makam ini nanti akan memperkayakan lagi produk pelancongan yang berasaskan warisan bersejarah yang terdapat di Kuala Pilah,” katanya.

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved