Abd Karim (kanan) bersama keluarga menjaga Kamaruzzaman yang terlantar di wad HTJ selepas berjaya dibawa pulang dari Tawau atas bantuan Menteri Besar.
Walaupun sudah terpisah sejak empat tahun lalu, namun bagi Abd Karim Ab Samad, 64, dia tidak pernah putus asa membawa pulang anaknya, Kamaruzzaman Abd Karim, 40, yang lumpuh sebelah badan akibat diserang strok pada 7 April lalu.
Namun, wang pencen sebagai kakitangan Jabatan Bekalan Air Negeri Sembilan (JBANS) sudah tentu tidak mencukupi, lebih-lebih lagi untuk menampung kos rawatan dan penjagaan Kamaruzzaman.
“Anak saya perlu dibawa pulang dari Kampung Seri Puteh, Tawau selepas disahkan menghidap strok peringkat kedua sehingga lumpuh sebelah badan akibat terjatuh dalam bilik tidur selepas mandi pada 7 April lalu.
“Bagaimanapun, usaha tersebut terpaksa ditangguhkan sementara akibat kekangan wang,” katanya.
Menurutnya, Kamaruzzaman lebih mudah mendapatkan rawatan di sini berbanding di Tawau berikutan kediaman dihuni anaknya di sana merupakan sebuah perkampungan atas air yang jauh dari pusat kesihatan.
“Dia perlu jalani rawatan setiap minggu kerana mengalami beberapa lagi masalah kesihatan kronik seperti pendarahan dalaman di kepala, saluran jantung tersumbat, kerosakan buah pinggang kiri, gout kaki kanan dan tekanan darah tinggi,” katanya.
Namun, Abd Karim yang berasal dari Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini tidak menduga masalahnya itu mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 7 Jun lalu yang bertindak menanggung kos penerbangan bagi membawa pulang anaknya itu.
“Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar kerana sudi membiayai kos penerbangan sebanyak RM3,000 bagi membawa anak sulung saya kembali ke pangkuan keluarga di Semenanjung. Tanpa bantuan ini, sudah pasti Kamaruzzaman akan terus menderita di perantauan sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), dekat sini, semalam.
Menurut Abd Karim, selain Kamaruzzaman, dia juga perlu menyara empat cucu berusia antara tiga hingga 17 tahun menerusi perkahwinan Kamaruzzaman dengan bekas isteri pertama, termasuk seorang cucu di Tawau berumur kira-kira dua tahun hasil perkahwinan kedua.
“Saya perlu memikul tanggungjawab besar, memandangkan Kamaruzzaman yang sebelum ini pernah bekerja sendiri dengan pendapatan sekitar RM300 hingga RM500 tidak lagi berdaya mencari rezeki buat masa ini akibat penyakit dihidapi,” katanya.
Bagi mereka yang mahu membantu, boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun 1550-2900-003-633 (Maybank) atas nama Abd Karim Ab Samad.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment