ONEXOX
BannerFans.com

NS Food Trail 2013 promosi keunikan Negeri Sembilan

on Thursday, June 27, 2013

SEREMBAN 26 Jun - Peserta kembara Negeri Sembilan Food Trail 2013 amat teruja dengan kepelbagaian aktiviti yang disediakan serta tempat menarik dilawati sekitar Seremban, Kuala Pilah dan Rembau dekat sini baru-baru ini.

Urus Setia program, Nurul Syaqqeera Noor Azizan berkata, seringkali Negeri Sembilan terlepas pandang daripada menjadi destinasi pelancongan pilihan khususnya dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, melalui program berkenaan, secara tidak langsung dapat membuang tanggapan orang ramai bahawa negeri ini tidak mempunyai tempat menarik untuk dilawati.



''Biasanya Negeri Sembilan tidak dijadikan destinasi pelancongan utama kerana pelancong lebih suka berkunjung ke Kuala Lumpur atau ke bahagian selatan seperti Johor Bahru dan Singapura.

"Sebenarnya kita mempunyai banyak tempat tinggalan sejarah yang masih dijaga baik untuk tujuan mempromosikan aktiviti pelancongan seperti Istana Lama Seri Menanti dan Teratak Za'aba di Kuala Pilah," katanya.

Jelasnya, selain berpeluang merasai pelbagai masakan tradisional negeri ini melalui program tersebut, dia turut rasa gembira dapat berkunjung ke tempat pembuatan kristal di Rembau yang menawarkan produk kristal pada harga berpatutan.

Sementara itu, jurugambar, Mohd. Farhan Che Hassan, 26, berkata, makanan kegemarannya sepanjang program itu ialah Sate Tulang Jelebu yang ditawarkan di Senawang.

"Rasanya unik dan tidak pernah saya cuba sebelum ini. Selalunya kita makan sate daging atau sate ayam, ternyata pemilik restoran ini mempunyai idea yang kreatif untuk menggunakan sendi-sendi tulang ayam untuk dibuat sate.

''Selain itu, kami dibawa melawat Jelita Ostrich Farm di Jalan Pantai di sini dan menyaksikan sendiri burung unta yang diternak di sini, malah kami juga disajikan dengan sate burung unta yang enak," ujarnya.





Tambahnya, sebagai anak jati Negeri Sembilan dia berasa bertanggungjawab untuk mempromosikan kelebihan yang terdapat di negeri ini kepada pelancong dalam dan luar negara.

"Siapa lagi yang hendak mempromosikan tempat kita kalau bukan kita sendiri. Sebagai rakyat Negeri Sembilan, kita patut berasa bangga dengan kelebihan yang terdapat di negeri kita sendiri,'' ujarnya.

Bagi seorang lagi peserta, Onny Izwan Pulkiem, 24, peluang untuk melawat tempat menarik yang terdapat di Negeri Sembilan dan merasai masakan tradisonal Negeri Sembilan adalah pengalaman yang amat berharga untuk dirinya.

"Saya amat tertarik dengan kuih-muih yang pelik dan tak pernah saya jumpa sebelum ini sebagai contoh, kuih apam Johol dan koci labu. Rasanya juga amat unik.

"Di samping itu, kami semua dapat merasai cara makan duduk bersila sambil dihidang dengan lauk pauk masakan tradisonal negeri ini seperti masak lemak tempoyak dan sambal taucu tenggiri," jelasnya.

Katanya, pengalaman itu amat berharga untuknya yang juga merupakan penulis majalah masakan, Rasa.

 Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved