"Saya tidak memberi tekanan kepadanya kerana dia mungkin melarikan diri daripada saya," kata Kamar.
Menurut Kamar, dia diberi masa 40 minit untuk menemui Aishah setelah dibawa menaiki kenderaan Scotland Yard menuju ke satu lokasi rahsia petang Khamis lalu.
"Apabila sampai, saya pergi kepadanya dan kami berpelukan. Kami terus berpelukan dan saya menangis teresak-esak selama lima minit.
"Dia meletakkan kepala saya pada bahunya dan saya tidak dapat berhenti menangis," kata Kamar.
"Adik saya menitiskan air mata tetapi dia tidak menangis seperti saya," ujarnya.
Mata Kamar berkaca ketika dia ditemu bual akhbar Daily Telegraph. Kamar seorang wanita bertubuh kecil dengan mata bersinar dan berwajah lembut.
"Saya menangis kerana berasa lega dan kecewa. Saya marah, saya sedih, saya kecewa," jelasnya.
Menurut Kamar, adiknya kemudian berkata: "Awak datang dari jauh hanya untuk memarahi saya?"
Kata wanita warga emas itu, dia menangis semula apabila mendengar jawapan Aishah.
"Saya rasa bersalah kerana apabila saya bertemu dengannya, saya menzahirkan rasa tidak setuju saya tetapi itulah yang terpendam di dalam diri saya selama ini," kata Kamar.
"Mengapa dia boleh melakukan sebegini kepada kami?," Walaupun Kamar mahukan jawapan, dia dilarang daripada menyoal masa silam adiknya.
Aishah, Josephine Herivel, 57 dan Rosie Davies, 30 tinggal di sebuah kediaman yang diuruskan oleh pengikut Mao, Aravindan Balakrishnan dan isterinya Chanda yang didakwa mendera mereka secara fizikal dan mental selama bertahun-tahun.
Pasangan suami isteri itu ditangkap kerana disyaki melakukan paksaan dan perhambaan domestik. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
Sejak bertahun-tahun terpisah, Kamar tidak pernah mendapat berita daripada adiknya. Dia tahu Aishah telah memutuskan hubungan dengan tunangnya, Omar.
Dia juga berhubung dengan salah seorang adik-beradiknya, Mohamad yang menetap di barat bandar raya ini.
Kamar juga tahu bahawa Aisyah gagal dalam peperiksaannya selain mendengar khabar angin bahawa dia telah menyertai Forum Pelajar Malaysia dan Singapura, yang merupakan sebuah pertubuhan ekstremis.
"Kami telah banyak kali cuba menghubunginya," kata Kamar.
"Kami meminta rakan-rakan di London untuk mendapatkan Aishah. Apabila saudara lelaki saya keluar mencarinya, Aishah enggan menemuinya. Itu merupakan titik tolak hubungan kami terputus langsung," jelas wanita tersebut.
Kamar yang merupakan seorang pesara guru adalah antara segelintir anggota keluarga Aishah yang masih hidup.
Ibu bapa adik-beradik itu sudah meninggal dunia, begitu juga tujuh daripada 12 saudara mereka.
Dia sentiasa menjadi pelindung kepada adiknya, lebih-lebih lagi pada waktu ini.
"Dia sungguh kecil ketika kanak-kanak. Ketika itu, dia amat rapat dengan saya dan saya sentiasa melindunginya," kata Kamar.
"Jika dia mempunyai kerja yang banyak, saya akan membantunya. Kami belajar di sekolah rendah convent dan kami kerap bertukar pakaian seragam kerana saiz badan kami sama," tambahnya.
Apabila Aishah pertama kali datang ke England, dia telah merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh empat atau lima tahun.
"Saya kemudian telah berputus asa kerana Aishah tidak pulang," katanya sedih.
"Saya mempunyai empat orang anak dan 11 orang cucu. Kesibukan itu sedikit sebanyak mengubat hati saya tetapi alangkah baik jika saya dapat berkongsi kegembiraan ini dengan adik saya. Dia tidak mengenali suami saya," jelas Kamar.
Pada detik pertemuan mereka, Kamar menunjukkan gambar perkahwinannya dan memaklumkan kepada Aishah bahawa ibu mereka telah memanggil namanya semasa dia sedang nazak.
Aishah, katanya, ialah seorang yang lemah lembut dan mudah terpengaruh.
Sisi tersebut mungkin digunakan oleh Balakrishnan untuk menarik Aishah menyertai gerakannya. Lelaki itu juga memujuk adiknya untuk mencabut dan membuang cincin tunangnya ke dalam Sungai Thames.
Pada pertemuan tersebut, Aishah memberitahunya bahawa dia mempunyai beberapa rakan di sini yang menjaganya.
"Apabila saya bertanya tentang agamanya, dia memberitahu dia mempunyai beberapa rakan yang alim dan menjawab 'keperluan saya mencukupi'," kata Kamar.
Menurut wanita itu, dia gembira kerana adiknya mempunyai rakan-rakan yang dapat menjaganya.
"Saya rasa Aishah lega kerana terlepas daripada seksaan itu tetapi dia bukan seorang yang akan menunjukkan rasa sedih," jelas Kamar.
"Dia tidak gembira tetapi berpendapat perjuangan itu (gerakan Mao) adalah sesuatu yang betul. Saya berpendapat kita perlu menghormati kehidupannya," tambahnya.
Adik-beradik itu bercakap menggunakan bahasa Inggeris kerana Aishah sudah lupa bagaimana untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
Sebelum berpisah, adik-beradik itu membuat tiga janji yang setiap satu dimeterai dengan berjabat tangan.
"Pertama dia akan pulang ke rumah kami suatu hari nanti, kedua, dia akan membaca al-Quran dan ketiga dia akan mengutus surat kepada kami," ujar Kamar.
"Saya tidak mahu kehilangannya lagi," tambah wanita itu.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment