Malah, pasangan berkenaan kini dalam proses membangunkan kawasan seluas dua hektar di Jenang, Marang untuk membina Yayasan Kucing Umi Hurairah bernilai RM1.5 juta bagi dijadikan hab setempat menempatkan semua kucing milik mereka yang dijangka siap pertengahan tahun depan.
Dr Abdul Manan Embong, 60, berkata, minatnya memelihara kucing secara serius bermula pada 2006 dengan jumlah 20 ekor sebelum meningkat kepada ratusan ekor selepas beliau membawa pulang kucing terbiar dari merata tempat terutama yang ditemui di tepi jalan, longkang, pasar dan semak.
“Saya minat memelihara kucing kerana ia haiwan jinak dan manja selain disukai ramai di serata dunia, malah Nabi Muhammad SAW sendiri pun memelihara kucing sehingga banyak disebut dalam hadis dan sirah.
“Saya mahu tunjukkan pada orang ramai, kucing juga makhluk Tuhan yang mempunyai perasaan dan ingin hidup seperti manusia serta ia juga mempunyai penyakit dan memerlukan rawatan untuk sihat, jadi tidak wajar didera dan dicerca sama sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.
Katanya, peristiwa tidak dapat dilupakannya apabila menemui seekor kucing terbiar di Taman Tamadun Islam, di sini, pada 2011 dan beliau memberikan sekeping keropok kepada haiwan itu kerana kasihan melihatnya yang keletihan.
“Apa yang menghairankan, kucing itu tidak memakan keropok diberikan, tetapi menggigitnya membawa ke suatu tempat dan saya terus mengekorinya sebelum kucing berkenaan memberikan makanan itu kepada tujuh ekor anaknya.
“Saya kemudian mengambil kucing itu dan semua anaknya pulang ke rumah serta merawat dan menjaga anak-anaknya seperti kucing peliharaan lain.
“Bagaikan ada hikmah tersembunyi apabila kucing yang diberi nama Mak Jah ini lain daripada yang lain apabila menjadi ibu susuan kepada anak kucing lain yang ditinggalkan ibu,” katanya.
Menurut Dr Abdul Manan, pelbagai nama diberikan kepada setiap kucing peliharaan dan masing-masing ada kisah tersendiri seperti nama Longkang kerana dijumpai dalam longkang, Siang kerana ditemui pada waktu siang selain beberapa lagi nama unik lain seperti Asmara, Pengiran, Megat, Mat, Mak Som, Mak Mak dan banyak lagi.
Katanya, beliau mengenali setiap kucing dimiliki dengan sifat tersendiri haiwan terbabit dan menariknya, kucing yang dipanggil namanya akan datang kepadanya tanpa diikuti kucing lain seolah masing-masing memahami sistem komunikasi yang digunakan.
Pakar etnologi itu berkata, beliau mempunyai buku rekod setiap kucing dimilikinya.
Katanya, beliau akan membawa kucing yang sakit ke sebuah klinik veterinar di Batu Burok, di sini, untuk mendapat rawatan dan pernah membelanjakan antara RM1,500 hingga RM3,500 untuk membedah kucingnya yang sakit di sebuah klinik pakar veterinar di Kuantan, Pahang.
“Petua saya untuk menjinakkan kucing adalah dengan memberikan makanan berkhasiat dan memberi minum air suling yang dicampur dengan air zam-zam dan fosil air mani gajah yang mempunyai zat Docosahexaenoic Acid (DHA) untuk mengubah minda negatif kepada positif,” katanya.
Menurutnya, beliau bersama isteri, Hasnah Mohd, 60, serta dua pembantu akan membersihkan kucing peliharaan serta memberikannya makan dan rawatan mengikut tiga sesi dalam sehari.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment