Kebakaran kira-kira 5.40 petang kelmarin dipercayai berpunca daripada litar pintas kedai kopitiam milik Voon Heng itu menyebabkan sederet 20 kedai papan berhampiran di pekan Air Mawang, dekat sini, musnah sama sekali, sekali gus melumpuhkan aktiviti pekan kecil berkenaan.
Voon Heng berkata, semasa kejadian, dia sekeluarga berada di rumah ibunya dekat Taman Clonlee, Tampin bagi menyambut Tahun Baharu Cina.
Dia hanya menyedari kebakaran itu apabila dihubungi adik perempuannya petang itu memberitahu kedai miliknya terbakar.
“Sejurus menerima panggilan, saya terus bergegas pulang ke Air Mawang bersama abang.
“Tapi, sampai di lokasi kejadian, saya lihat lima kedai sudah hangus terbakar. Sepasukan bomba dan penyelamat baharu tiba di sini," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan kedai kopitiam peninggalan ayahnya sejak 1945 itu musnah dan dianggarkan kerugian mencecah RM250,000.
Voon Heng bagaimanapun berkata, dia sedang menunggu siasatan bomba sama ada kebakaran itu berpunca dari api tempat sembahyang di kedainya atau litar pintas.
Sementara itu, saksi kejadian, Chon Siang Seng, 44, berkata, ketika itu dia dan keluarga sedang menonton televisyen.
“Kedai saya bersebelahan kedai Voon Heng. Waktu itu, saya ada terbau seperti tayar terbakar tetapi setelah memeriksa di bahagian belakang, tiada apa-apa yang mencurigakan.
“Selang beberapa minit, saya terlihat api melalui jaring besi di sebelah atas kedai. Saya panggil jiran terdekat untuk cuba memecah tingkap rumah Voon Heng tetapi tidak berjaya," katanya.
Menurutnya, keadaan angin kencang dan cuaca panas menyebabkan api merebak pantas, ditambah deretan kedai itu dibina daripada papan.
“Kami tidak berjaya selamatkan harta benda, sebaliknya melihat perkakas rumah hangus dijilat api,” katanya turut mengalami kerugian besar.
Dalam pada itu, kedai milik Md Jasmi Md Zali, 35, merupakan satu-satunya kedai terselamat dari kebakaran itu.
“Waktu kejadian, saya dan keluarga sedang berehat di kedai dan tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising. Apabila saya keluar, kedai di bahagian tengah terbakar dan orang ramai berusaha memadamkan kebakaran.
“Kedudukan kedai saya berada di tepi sekali dan sempat jua menyelamatkan barang-barang seperti pakaian dan dokumen penting,” katanya menjalani perniagaan menjual santan kelapa selama tujuh tahun di situ.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment