Seorang individu telah mengaku dirinya pernah menyertai latihan ala ketenteraan bersama seorang pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tahun 90-an yang terbabit dalam gerakan militan di Syria bagi melawan kerajaan Syria yang dipimpin Bashar Al-Assad.
Individu yang tidak mendedahkan namanya itu berkata kumpulan militan itu sukar dikesan tujuannya pada mulanya kerana menjalani latihan menggunakan sukan menembak seperti paintball.
“Kami dilatih oleh beberapa individu yang cekap mengendalikan senjata dan mereka mendakwa bertugas dalam pasukan keselamatan. Kami akan dipanggil berlatih dengan pemuzik itu atau beberapa rakannya secara percuma kerana latihan itu dibiayai oleh seorang ahli perniagaan dari luar negara dengan kos antara RM10,000 hingga RM20,000 bagi satu sesi.
“Pada mulanya kami seronok kerana menyangka latihan ini hanya untuk suka-suka. Lagipun segalanya dibiayai dan kami hanya perlu bayar duit minyak kereta sendiri dan duit makan. Tetapi, lama-kelamaan saya menjadi cuak kerana latihan itu semakin serius termasuk diterapkan elemen jihad.
“Saya juga hairan kerana latihan yang dijalankan juga lama-kelamaan seperti latihan Unit Tindakan Khas (UTK) kerana kami diajar cara berperang, meleraikan dan memasang senjata, bagaimana cara untuk bersembunyi dan lain-lain lagi,” katanya.
Selain itu, individu itu turut mendedahkan kumpulan militan itu mencari calon yang sesuai untuk dipilih pergi berjihad ke negara bergolak.
Latihan itu juga didakwa menggunakan senjata tiruan yang diubahsuai seperti senjata sebenar AK-47, MP4, Glock, bom asal dan bermacam-macam jenis senjata lagi.
Individu itu mendakwa latihan ala ketenteraan itu akan dijalankan di lokasi terpilih pada hujung minggu iaitu di kawasan ladang kelapa sawit di Selangor dan Johor, bangunan lama di Pahang dan hutan di Kelantan.
Tambahnya lagi, latihan yang dijalankan selama dua hari pada hujung minggu disertai bilangan peserta antara 40 hingga 500 orang termasuk wanita berusia 19 tahun ke atas.
Individu itu juga mendakwa selain pemuzik tersebut, turut kelihatan dalam kumpulan itu beberapa bekas artis termasuk penyanyi dan pemain gitar kumpulan rock terkenal.
“Dalam kumpulan itu selain pemuzik tersebut saya kenal beberapa lagi, yang turut pergi berjihad mereka terlalu taksub untuk mati syahid,” tambahnya lagi.
Individu itu berkata mengambil keputusan menjauhkan diri daripada kumpulan tersebut setelah diajak untuk pergi berjihad dan mati syahid dan terpanggil berkongsi pengalaman itu kepada media.
“Mereka tidak mengajak semua. Hanya yang terpilih. Orang yang tidak dipilih memang tidak tahu apa apa. Selepas itu baru saya faham apa sebenarnya tujuan latihan.
“Dan apabila berita mengenai rakyat Malaysia pergi berjihad di Syria keluar media saya terpanggil berkongsi pengalaman saya,” ujarnya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment