ONEXOX
BannerFans.com

Wanita terkejut temui cicak, lipeh dalam sos cili di Seremban

on Thursday, August 14, 2014

SEREMBAN 14 Ogos - Apa perasan anda, apabila sos cili yang anda beli dan mahu digunakan bagi memasak hidangan ayam percik untuk dimakan bersama keluarga, mengandungi seekor cicak dan lipas.

Lebih menjijikkan sos cili yang dikeluarkan sebuah syarikat besar di negara ini itu, sudah berbau busuk sebaik sahaja tudungnya dibuka menyebabkan seorang wanita terkejut dan meminta bantuan suaminya untuk mengeluarkan bangkai cicak dan lipas dari botol berkenaan.

Wanita itu, Mawar Malinda Zakaria, 33, mendakwa, bangkai cicak sepanjang dua sentimeter dan lipas dalam sos cili yang dibelinya di sebuah kedai runcit turut itu mempunyai tanda sijil halal dan tertera tarikh 2 April 2015, dipercayai tanda tamat tempoh.

"Saya mahu memasak ayam percik pada 6.30 petang, Selasa lalu dan apabila dibuka (tudung botol itu), saya terkejut melihat bangkai cicak dan lipas itu, tiba-tiba terkeluar dari botol berkenaan selepas beberapa kali saya berusaha menuang sos yang seakan-akan tersekat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam kandungan sos cili itu, dia telah meminta bantuan suami untuk mengeluarkannya.

"Apabila dituang, ia memang sudah berbau busuk seperti bau bangkai," katanya.

Menurutnya, sos cili berharga RM3.70 itu dibeli di sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya empat hari lalu namun, dia tidak menyedari ada cicak dan lipas kerana kedudukannya terlindung di sebalik label botol sos.

Mawar Malinda yang merupakan kakitangan di Lembaga Muzium Negeri Sembilan dekat Jalan Sungai Ujong di sini berkata, dia dan keluarganya terutama tiga anaknya kini trauma dan enggan menggunakan produk itu lagi.

"Saya ada menghubungi bahagian perkhidmatan pelanggan syarikat terbabit bagi memaklumkan penemuan itu tetapi jawapan yang diberi tidak memuaskan tanpa mengambil kira perasaan saya sebagai pengguna.

"Dia mahu menggantikan saya sebotol sos cili yang baharu, itu sahaja," katanya sambil menegaskan akan membawa kes itu ke mahkamah melalui kes yang akan difailkan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Tambahnya, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit, ekoran kelalaian pengeluar bahan makanan tersebut dalam memelihara kualiti produknya.

Berikutan kejadian itu, Mawar Malinda membuat laporan di Balai Polis Senawang malam tadi berikutan perasaan kecewanya selepas menerima jawapan yang tidak memuaskan hati daripada bahagian pelanggan syarikat besar itu.

"Saya nasihatkan orang ramai lebih berhati-hati ketika memilih bahan perisa makanan dan periksa dengan teliti sebelum membuat pembayaran," katanya.



Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved