ONEXOX
BannerFans.com

Semuanya telah terjawap! Punca. Luahan sayu. Semuanya. Najib 1 - 0 Mahathir.

on Thursday, April 9, 2015



EDISI Khas Soal Jawab Bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - menjelaskan isu yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi program yang disiarkan di televisyen pada pukul 10 malam Khamis, Perdana Menteri memperincikan beberapa persoalan dan kritikan berkaitan isu semasa dan politik.

SOALAN (S): Bagaimana pula dengan pandangan Tun Mahathir yang mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan tewas dalam pilihan raya akan datang.

PERDANA MENTERI (PM): Itu pendapat peribadi Tun Mahathir. Apa yang kita dalam parti rasakan bahawa dalam soal kejayaan kepada Umno dan BN bergantung kepada kekuatan kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi sesuatu kenyataan sekiranya kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak berbalah, sesama kita, tak ada unsur sabotaj dalam parti, saya yakin InsyaAllah kita boleh menang dalam PRU-14 akan datang.

S: Ada juga pihak yang berpendapat bahawa kritikan yang datang daripada pelbagai pihak terutamanya daripada Tun Mahathir, mungkin tak akan berhenti. Bagaimanakah Datuk Seri bercadang untuk menangani perkara ini dalam perjalanan menuju Wawasan 2020? Adakah ia akan memberi kesan kepada Datuk Seri?

PM: Saya merasakan bahawa apa yang saya patut lakukan ialah teruskan sikap saya, maknanya saya terbuka, setiap kritikan itu saya akan pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata pentadbiran saya tak melakukan sebarang kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah perfect, tak ada manusia yang tak ada buat kesilapan, kepincangan.

Jadi maknanya saya bersedia untuk melakukan penambahbaikan. Tetapi kalau saya merasakan bahawa apa yang saya buat itu mendapat sokongan daripada parti, rakyat maka saya akan teruskan dasar-dasar saya sebab pada hakikatnya penentuan hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu tapi oleh rakyat dan parti.

S: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri sendiri mempunyai perhubungan yang cukup erat dengan Tun Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan krtikan daripada Tun Mahathir, bagaimana Datuk Seri melihat Tun Dr Mahathir, adakah pandangan kepada beliau sudah berubah?

PM: Saya akan timbang apa-apa krtikan Dr Mahathir, tetapi saya ingin menyatakan bahawa hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan.

Saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti dan bukan bererti bahawa saya tidak hormat mana-mana individu tetapi itu soal individu. Tapi hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya kepada parti dan rakyat.

S: Apa hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat secara keseluruhannya supaya dapat keluar dari kemelut ini dan bawa negara ke tahap yang lebih baik?

PM: Pada saya kita mesti lihat yang penting, soal big picture. Soal masa depan dan hala tuju, kita jangan benarkan sesuatu isu itu yang digembar-gemburkan seolah-olah ekonomi negara kita sudah hancur atau kita bermasalah hingga tak boleh ditangani. Itu tidak benar sama sekali.

Kita mesti yakin bahawa kita pada hala tuju yang baik, benar dan positif. Dalam pada itu, kalau ada apa-apa kelemahan kita akan perbaiki, kita perbetulkan. Sebab mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang perfect, mesti ada kelemahan.

Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect. Zaman saya pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita mempunyai sikap yang terbuka...kita betulkan keadaan supaya hari esok lebih baik daripada hari ini.

SOALAN (S): Bagaimanakah Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berduka cita ini.

PERDANA MENTERI (PM): Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan satu tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri. Lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai...dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisyen dan amanah. Begitu juga Allahyarham Datuk Poad sebagai setiasusaha sulit saya telahpun menjalankan tugasnya dengan baik.

Namun walaupun saya tetap dalam kesedihan, tetapi kehilangan mereka itu, pemergian mereka itu menguatkan lagi iltizam saya untuk terus menjalankan tugas saya memimpin negara kita dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.

EKONOMI

S: Kita dapati baru-baru ini, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan yang kita hadapi secara global dari segi ekonomi. Bagaimanakah Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dari segi memantapkan lagi ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

PM: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masanya. Berikutan dengan kejatuhan harga minyak, agak begitu drastik merudum hingga kepada paras separuh daripada masa-masa sebelum ini.

Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat pengubahsuaian kepada kedudukan fiskal negara supaya dengan langkah-langkah yang lebih proaktif, kita dapat menjamin bahawa fundamental negara masih kukuh, ini yang saya nak tekankan.

Meskipun harga minyak jatuh, tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi. Kita masih boleh menarik pelaburan, masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.

KRITIKAN DR MAHATHIR

S: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha yang dibuat oleh kerajaan dari segi memantapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Tapi dalam pada itu Datuk Seri, ada juga pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri. Saya ingin khususkan kepada kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimanakah Datuk Seri melihat kritikan ini?

PM: Saya tetap menghormati Tun Mahathir seperti mana saya menghormati semua rakyat Malaysia. Saya terbuka kalau sekiranya ada mana-mana pihak mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya. Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu.

Tapi perlu saya tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden Umno dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, saya bertanggungjawab kepada parti. Itu saya nak tegaskan, apa pun pendapat mana-mana individu, pada kesudahannya saya akan bertanggugjawab kepada rakyat dan parti.

PENGENALAN GST

S: Kita ambil contoh pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April. Ada juga pihak yang beranggapan mungkin dari segi timing GST diperkenalkan itu kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?

PM: Sebenarnya tak ada masa yang sesuai...yang dikatakan sesuai nak perkenalkan GST. Tetapi kalau kita lihat pada keseluruhannya antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST...harga minyak dah jatuh. Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah daripada masa-masa yang lalu. Satu, rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia.

Yang kedua kerajaan telah buat persedian yang begitu lama. Soal GST ini sejak tahun 80an lagi, bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan. Dari segi makronya sesuai, masanya sebab kerajaan perlu kepada kewangan tambahan. Sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak sudah jatuh.

Jadi amat sesuai kita perkenalkan sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan, barang-barang keperluan rakyat di zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000, tak pernah mana-mana negara yang buat cara sedemikian. Dan ini bukan cukai tambahan, ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST).

Selain daripada itu kita juga tambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga peratus dan kita juga kurangkan cukai korporat satu peratus.

Jadi pakej kalau kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat kerana kita nak pastikan pelaksanaannya. Ini pokoknya, pelaksanaan dari segi penguatkuasaannya. Kalau ada pihak yang komplen ia bukan pengenalan GST, sebenarnya pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua. Ada yang mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan kurang misalnya harga kereta dikurangkan, ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga. Ada yang kedai kain yang kata mereka akan absorb GST dan sebagainya. Jadi yang kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga yang tidak bertanggungjawab.

S: Kita faham bahawa barangan yang menjadi kegunaan harian yang utama bagi rakyat Malaysia dikecualikan daripada GST. Tapi ada juga kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka pergi ke kedai untuk makan makanan orang Malaysia...misalnya satu nasi lemak, roti canai atau teh tarik juga dikenakan GST. Kalau nak beli kicap, tomato dan sebagainya, sos pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimanakah GST ini tidak membebankan rakyat sedangkan mereka keluar makan hari-hari di kedai kopi pun kena GST.

PM: Kalau pihak itu tak sepatutnya mengenakan GST, tolong laporkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK). Di sini letaknya kuasa pengguna, kita mesti tahu bahawa kita ada kuasa. Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan atau kedai-kedai makan apa pun, kita boleh pilih. Jadi mana kedai yang tidak bertanggugjawab, sengaja menaikkan harga lepas itu menyalahkan pihak kerajaan, kita jangan pergi ke kedai itu sebab ada banyak kedai lain. Kedai alternatif lain banyak.

Keduanya, kita mesti lapor kepada KPDNKK dan Kastam. Jadi buatlah, gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun mereka yang mengeksploitasi keadaan ini akan kehilangan pembeli.

BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA

S: Saya nak kaitkan kembali antara pemberian BR1M dan GST. Seperti yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir juga, bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau...tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan satu kaedah berkesan untuk diambil oleh kerajaan. Apa pandangan Datuk Seri?

PM: Ia bukan handout sebenarnya. BR1M ini merupakan social safety net yang dicadangkan oleh jawatankuasa fiskal, bukan saya sendiri tapi jawatankuasa yang terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal, maknanya subsidi pada minyak kita nak kurangkan sebab banyak ketirisan, banyak pembaziran, banyak pihak yang tak layak dapat subsisidi mendapat faedah subsisi.

Jadi kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan beberapa peringkat. Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan balik kepada rakyat.

Jadi kalau rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka adalah timbal balas dalam bentuk BR1M. Bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 kebawah sekarang ini kita tambah sedikit kepada RM4,000, tapi pendapatan RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafah sebenarnya, soal social safety net yang bukan sahaja Malaysia tapi banyak negara lain amalkan dalam pelbagai kaedah.

Soalan (S): Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada menyebut tentang kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur dan sedia maklum bahawa sebenarnya mahkamah sudah membuat keputusan kes ini yang sudah berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang mengatakan siapakah yang memberi arahan kepada pegawai polis yang terbabit untuk membunuh Altantuya. Jadi kita rasa perkara ini pelik sebab kes ini sudahpun berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini?

PERDANA MENTERI (PM): Ini cerita 2008, dah lama dah. Sebenarnya saya dah melafazkan sumpah. Wallahi wabillahi wataallahi...tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008 bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Dan pihak polis telah menjalankan siasatan, pada masa itu Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dah melaporkan dan Ketua Polis Negara pada masa itu dah buat kenyataan bahawa saya tidak terlibat dan tak ada bukti sama sekali yang telah timbul bahawa saya pernah mengenali Altantuya, tak ada langsung, tak ada gambar, tak ada tulisan tak ada apa...tak ada saksi dan sebagainya.

Mahkamah sudah putuskan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah hari ini kita nak persoalkan integriti mahkamah yang kita pertahankan selama ini.

S: Difahamkan sebelum ini Datuk Seri pernah bertemu dengan Tun Dr Mahathir sendiri mengenai beberapa isu, adakah beliau bertanya dengan Datuk Seri soal kes Altantuya ini?

PM: Tidak secara langsung, tapi kita pernah sekali berbincang. Tapi dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam soal Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia, walaupun saya sebagai Perdana Menteri, tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang ke rumah saya.

Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri.

S: Dia faham apabila Datuk Seri berjumpa dan memberi penerangan kepada dia (Tun Dr Mahathir), tapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?

PM: Dia ada satu, dua perkara yang dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta buat jambatan bengkok menggantikan tambak Johor yang ada sekarang ini. Saya dah beri pandangan atas hal ini dan sebagainya. Jadi saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu agak sihat kalau kita ada perbezaan pendapat.

Tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti dan kebanyakan perkara-perkara ini saya bawa dalam Kabinet. Kabinet yang putuskan.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved