ONEXOX
BannerFans.com

Punca Jus betik, sup ketam & minuman isotonik hanya mitos ubat denggi tersebar dengan jayanya

on Friday, January 29, 2016



Kuala Lumpur: Minum jus betik, hirup sup ketam dan mengambil minuman isotonik adalah mitos semata-mata malah tidak membantu mengubati demam denggi.

Pegawai Perubatan Kanan Perubatan Am Hospital Seri Manjung Dr Hafizah Mohamed Haniba berkata, setakat ini tiada kajian saintifik yang membuktikan demam denggi mampu disembuhkan menerusi tiga amalan itu.

Beliau berkata, salah faham itu disebabkan maklumat yang disampaikan adalah dari mulut ke mulut sejak dulu sehingga dianggap berkesan dalam merawat penyakit berkenaan.

Katanya, daripada sudut perawatan moden, belum ada kaedah dan rawatan khusus untuk penyakit itu.

“Apa saja yang berkaitan dengan herba tradisional dan sup ketam adalah lebih kepada petua orang lama dan boleh dikategorikan sebagai rawatan sampingan, bukan rawatan sebenar.

“Sebenarnya, perlu ada kajian menyeluruh yang membabitkan sejumlah pesakit untuk memastikan kesahihan sesuatu herba dalam rawatan penyakit denggi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, daun betik bukan penawar demam denggi malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada individu yang mengamalkan pemakanan daun itu.

Dr Krishnan mendakwa, daun betik tidak mempunyai khasiat selain berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.

Selain itu, Dr Krishnan juga mendakwa, sistem imunisasi individu boleh terganggu sekiranya ia diamalkan.

Dr Hafizah berkata, bagi memastikan penyakit dapat diubati dengan cepat dan berkesan, pesakit sepatutnya minum air kosong sekurang-kurangnya 2.5 liter atau lapan gelas sehari.

Menurutnya, kebiasaannya pesakit denggi kurang selera makan dan mengalami perubahan pada salur darah sekali gus menyebabkan badan kekurangan air.

“Cukup sekadar air kosong saja untuk dijadikan alternatif rawatan penyakit denggi tidak berdarah, bukan air isotonik kerana kandungan paras gulanya yang tinggi.

“Bayangkan jika pesakit itu menghidap diabetes, pasti ia memberi kesan terhadap paras gula dalam badan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Hafizah berkata, persepsi masyarakat terhadap amalan itu perlu diperbetulkan, selain menasihatkan individu yang disyaki menghidap denggi supaya mendapatkan rawatan di hospital terlebih dulu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daun betik bukan penawar atau boleh mengubati denggi.

“Kajian yang dijalankan hanya menunjukkan ia (daun betik) membantu meningkatkan sel platelet,” katanya

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 1 comments... read them below or add one }

Anonymous said...

Saya pernah kena demam denggi, duduk di hospital selama sepuluh hari. Enam hari pertama platelets menurun tanpa henti. Hari ketujuh hirup sup ketam, kemudian hirup air daun betik, setelah diberi tip oleh beberapa orang yg pernah kena denggi sebelum itu. Penurunan platelets berhenti serta merta. hari kelapan mula naik semula. Terus minum air betik tapi setakat satu mangkuk sahaja kerana tak tahan terlampau pahit. Hari kesembilan paras platelets terus naik. Hari kesepuluh paras tersebut hampir mencecah paras biasa. Badan dah rasa sihat dan segar dan doktor benarkan pulang. Duduk hospital bayar, banyak jugaklah kena....nasib baik majikan yang bayar. Balik ofis, bos marah-marah sebab banyak kerja tertangguh....kunun!

Doktor memang selalu macam tu. Kalau ubat tu tak diiktiraf oleh FDA di amerika, dia kata mitos lah, tak proven lah, bahaya lah. Tapi kes denggi settle sebab hirup sup ketam dan minum air daun betik dah jadi satu kebiasaan, bukan di malaysia sahaja, tetapi di banyak negara lain di mana denggi berleluasa. Kalau efektif apa salahnya. Jangan minum berlebihan. Ia jadi racun kalau diambil berlebihan. Sepatutnya pihak berwajib buat lah kajian saintifik dengan segera untuk prove atau disprove keberkesanan sup ketam atau air daun betik ini. Dia kata tiada ubat untuk denggi. Kalau setakat bagi drip air garam baik duduk dirumah, tak payah bayar ribu riban.


January 30, 2016 at 8:35 PM

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved