SEREMBAN 6 Mei - Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan mengkaji faktor kekalahan di semua kerusi yang ditandingi calon dari MCA dan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Ini kerana kata Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, fenomena kebangkitan masyarakat Cina menolak calon MCA dan Gerakan ini sudah pun berlaku pada PRU-13 ini, walaupun terlalu awal untuk membuat konklusi mengenainya.
"Kita dapat melihat 'tsunami kaum Cina' sudah berlaku dengan penolakan mereka terhadap BN pada PRU-13 ini sehinggakan tiada wakil dalam kalangan mereka yang boleh dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco," katanya pada sidang akhbar khas di kediaman rasmi beliau di sini awal pagi tadi.
Negeri Sembilan memperoleh majoriti mudah selepas menang 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dimana hanya satu kerusi MIC di Jeram Padang dimenangi BN menerusi calonnya, L. Manickam dan selebihnya dimenangi calon BN dari UMNO.
Kesemua 14 kerusi ditandingi MCA dan Gerakan tewas kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Pas gagal memenangi sebarang kerusi di negeri ini.
Mohamad berkata, biarpun begitu BN tidak akan membiarkan masyarakat Cina diabaikan kerana dasar BN akan terus membela setiap masyarakat dalam negeri ini.
"Kita akan laksanakan 45 Aku Janji BN Negeri Sembilan. Masyarakat Cina akan kita bela bersama," ujar beliau lagi.
Beliau menambah, kemenangan ini adalah hasil kepercayaan rakyat terhadap BN dan ucapan terima kasih wajar diberikan kerana mengizinkan BN meneruskan mandat mentadbir negeri ini bagi tempoh lima tahun akan datang.
Mengenai kekalahan Pas, Mohamad menyifatkan parti itu adalah yang paling rugi kerana bersengkongkol dengan pembangkang untuk menumbangkan BN di negeri ini.
"Seperti yang saya katakan, Pas adalah yang paling rugi dan memang betul mereka kalah semua kerusi di DUN dan Parlimen. Yang menang banyak ialah DAP. Jadi pandai-pandailah huraikan maksudnya,'' kata Mohamad.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment