TEGURAN TERBUKA – PELAJARAN BUAT SEMUA
Selaku Marhaen yang tidak partisan, kami buktikan yang kami tidak berat sebelah, prejudis atau bersangka buruk hingga ke tahap menfitnah. Yang baik kami katakan baik, yang buruk kami katakan buruk, agar kita tidak jadi golongan munafik dan fasik yang tidak jujur dalam membuat penilaian. Kami hanya dedahkan setelah kami beri peluang yang cukup untuk pihak yang terlibat membuat pembaikan secara tertutup lalu kami ampunkan sahaja.
Kami dedahkan isu kali ini agar rakyat dan pemimpin negara tahu ada yang sangat ‘tidak kena’ dengan ‘orang-orang kepercayaan’ mereka yang kami lihat sangat lemah lagi tidak amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan. Jika wang negara yang diamanahkan, maka rakyat tidak akan merasa. Jika maklumat yang diamanahkan, maka maklumat dari rakyat ke atas atau dari pemimpin ke bawah juga akan turut dimanipulasi.
Demikian pentingnya ‘amanah’, salah satu sifat rasul yang membawa risalah Allah untuk membentuk akhlak umatnya. Kerana itu telah nabi SAW tegaskan bahawa “kehancuran akan berlaku apabila amanah tidak diserahkan kepada ahlinya”
KISAH SEKUMPULAN BANGSAWAN YANG HILANG PUNCA
Peristiwa kali ini dimainkan watak utamanya oleh seorang bangsawan yang berjawatan dalam sayap Pemuda UMNO di salah sebuah kawasan di negeri Kelantan. Beliau merupakan pendokong utama Social Enterprise Malaysia (SEM), sebuah NGO yang kononnya direstui oleh YAB Perdana Menteri sendiri untuk memperjuangkan keusahawanan sosial.
Teguran ini terpaksa disampaikan secara terbuka disebabkan beliau ini sudah tidak respon lagi melalui jalan hubungan kami yang biasa. Sebelum perhubungan terputus juga kata bicaranya sudah sangat berbelit-belit.
Atas kapasiti membangunkan model usahawan sosial, beliau ini telah mengambil RPWP sebagai sampel bagi sebuah rumah kebajikan yang berdiri sendiri melalui perniagaan wakaf. Ini kerana 100% keuntungan perniagaan yang kami jalankan adalah untuk RPWP bagi memastikan kelangsungan operasi RPWP, sebagai sebuah badan NGO yang tidak meminta-minta derma secara paksa. Tidak juga kami menolak sumbangan, bahkan sekali sekala ada kami tawarkan dan mengalu-alukan sumbangan tetapi tidak sampai peringkat meminta-minta secara mendesak.
Dari minat itu beliau menghubungi salah seorang co-founder kami Tuan Haji Saiful Nang (SN) sebagai salah seorang usahawan yang mewakafkan syarikat-syarikatnya kepada RPWP. Secara automatik syarikat beliau menjadi entiti syarikat wakaf yang bagus untuk dijadikan contoh. Pada mereka, ia dipanggil SOCIAL ENTERPRISE. Tambahan pula RPWP tidak mendapat sebarang peruntukan kerajaan atau pinjaman bank samada dalam perniagaan maupun kendalian operasi projek kebajikannya.
Mereka ini perlukan ‘model’ yang baik katanya kerana banyak usaha kerajaan telah gagal dalam usaha sebegini melalui agensi seperti MARA, PUNB dan sebagainya. Banyak peruntukan telah terbazir begitu sahaja. Soal dana tiada masalah kata mereka kerana kerajaan sanggup menyalurkannya tanpa berkira-kira, asalkan ianya mampu membuahkan hasil yang baik.
Pertubuhan mereka memang nampak gah. Kebanyakan anggotanya terdiri dari graduan-graduan luar negara yang dahulunya menyatu di UK menerusi Kelab UMNO. Mereka kembali ke Malaysia bersama jaringan yang sangat kuat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan. Selain dari itu panitia SEM ini dianggotai oleh bijak pandai bertaraf professor dan doktor yang masih aktif dalam akademik. Beliau yang kami maksudkan ini juga seorang pengusaha sebuah kilang yang khabarnya agak hebat juga.
Kelibat beliau dengan kereta-kereta mewah melambangkan kejayaan perniagaan yang cuba beliau paparkan. Tinggal di Kelab Golf terkemuka Tropicana dengan 2 orang isteri. Perwatakan beliau yang masih muda ini agak menarik dan penampilan peribadinya amat meyakinkan. Mungkin atas sebab itu juga beliau sangat rapat dengan YB Datuk Mustafa Mohamed (Tok Pa).
MUNGKIRNYA JANJI BANGSAWAN – PART 1
Langkah awal mereka ialah menjemput SN untuk memberi ceramah di bawah label SEM di Politeknik Port Dickson pada 18 May 2014. Beliau minta SN kongsikan model Wakaf Enterprise di RPWP dan bersetuju untuk memberikan token bagi membiayai perjalanan beliau dan ceramah yang diberikan.
Setiap hari SN mengabdikan diri bersama RPWP sehingga ke jam 3-4 pagi. Pada hari itu kami masih teringat beliau sedang keletihan kerana baru pulang dari sebuah ceramah di UTM Skudai dan terus sambung menghadiri syuro harian kami.
Khuatir akan terlewat sampai jika beliau tidur pada malam itu, maka SN membuat keputusan untuk bertolak jam 4 pagi itu juga. Jangkaan beliau jika sampai sana awal, beliau akan ada sedikit masa untuk tidur di masjid atau dalam kereta. Yang penting jam 9 pagi beliau harus berada di lokasi. Risau dengan kesihatan beliau yang pada ketika itu sedang mula demam, kami mengutus Irfan, seorang anak RPWP untuk pergi bersama menemani beliau.
Beliau akhirnya tidak tahan meneruskan perjalanan dan terpaksa tidur di lebuhraya Seremban - PD. Kami memahami komitmen yang diberikan oleh SN dalam usaha mempromosikan wakaf enterprise di kalangan orang Melayu Islam. Pada SN, jika konsep wakaf benar-benar dilaksanakan, Melayu Islam tidak perlu bergantung kepada senaraian awam, riba atau unsur syubahah untuk mendapatkan modal dalam pelbagai projek mega.
Setibanya di sana pada tepat jam 9 pagi, tiada kelibat seorangpun di lokasi. Sehinggalah jam 9.30 pagi barulah bangsawan wakil SEM (kami gelar HH) tiba bersama seorang Tengku dan beberapa orang panitia. Salah satu darinya ialah seorang wanita yang bergelar Professor dari Universiti Malaysia Kelantan. Ya.. Bangsawan benar mereka ini… tetapi tahap pengurusan mereka amat menyedihkan.
Tanpa rasa bersalah mereka katakan ada kesilapan pada pihak penganjur Festival Belia sehingga peserta 400 orang tidak dapat dihantar untuk sessi ceramah SEM itu. Begitu lemahnya perancangan dan perlaksanaan program mereka. SN masih bertindak professional dan tidak melatah sehingga dari sebuah ceramah akhirnya bertukar menjadi sebuah perbincangan yang baik. Tidak pasti juga jika memang ini yang mereka sengaja aturkan.
Dalam perbincangan itu SN kemukakan juga idea dan konsep yang telah dilaksanakan di RPWP. Kami menyokong usaha mereka mewujudkan lebih banyak wakaf enterprise yang mampu membangunkan masyarakat dan ekonomi umat Islam itu sendiri kerana Allah. Perbincangan 3 jam itu berakhir dengan kesemua sekitar 8 orang ahli korum perbincangan itu memutuskan untuk mengatur lawatan ke RPWP 2 minggu berikutnya, iaitu 2 Jun 2014.
Pada hari bekerja berikutnya, pihak pejabat Saiful Nang Academy (syarikat wakaf) yang menguruskan jadual undangan ceramah SN telah membuat banyak panggilan telefon untuk menghantar invois bagi yuran professional SN seperti yang dijanjikan. Yuran itu juga adalah dana wakaf sepenuhnya kepada RPWP. Malangnya usaha itu tidak berhasil sehingga berulang-ulang kali pada hari-hari lainnya sampailah ke hari ini. HH pula terus buat-buat lupa.
Seterusnya sebelum 2 Jun 2014, SN sering bertanyakan tentang hasrat mereka melawat RPWP dan semuanya mengatakan ok. Bahkan HH merencanakan untuk hadir bersama team dari Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Ahmad Maslan, seorang timbalan menteri.
Jika pelajar universiti atau pelajar sekolah nak datang lagikan kami buat persiapan, inikan pula ada kenamaan yang nak hadir. Cuma peliknya golongan bangsawan ini suka berjanji namun buat tak tahu sahaja selepas itu. Acapkali kami tanyakan untuk kepastian sehinggalah hari terakhir dan HH masih dengan yakin mengatakan program lawatan itu diteruskan.
Lawatan mereka pada 2 Jun 2014 untuk melihat model perlaksanaan wakaf enterprise di RPWP dijadualkan jam 2 petang. Sekitar jam 12 tengahari, setelah semua persiapan dibuat, beliau hanya menjawab "rasanya kena tunda lawatan ini" tanpa alasan yang munasabah diberikan. Kami akur, sekalipun semuanya telah disahkan sehari sebelumnya dan persiapan telah dibuat.
Kami terkilan di situ kerana ada pembaziran dari juadah yang kami masak lebih untuk tetamu yang dikhabarkan sekitar 20 orang namun akhirnya TIDAK DATANG LANGSUNG. Satu lagi kelemahan nyata kewibawaan pengaturan program mereka.
MUNGKIRNYA JANJI BANGSAWAN – PART 2
HH minta program 2 Jun itu ditunda pula ke bulan Ramadhan untuk majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf RPWP bersama Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan. Kali ini beliau secara rasminya mengesahkan KEHADIRAN SERAMAI 80 ORANG dan akan berlaku penyerahan sumbangan kepada RPWP. Tambah beliau, dari kita tempah makanan di hotel, lebih baik RPWP yang masak dan mereka bayar sahaja kepada RPWP.
Mungkirnya janji untuk membayar token bagi jemputan ceramah SN dan pembatalan sehingga menyebabkan pembaziran juadah pada 2 Jun membuatkan kami lebih berhati-hati untuk belajar dari kesilapan. Kami membuat follow-up dan sentiasa mengemaskini kedatangan terkini agar tidak berlaku lagi pembaziran. Proses itu berlaku sehingga pada hari sebelum majlis.
Sehari sebelum lawatan, Timbalan Menteri Ahmad Maslan sekali lagi menarik diri atas urusan yang tiada justifikasi. Pada tengahari itu juga team dari Universiti Malaysia Kelantan yang diketuai oleh seorang Professor berdarah kerabat pula menarik diri. Mengetahui timbalan menteri tidak jadi hadir, maka HAMPIR KESEMUA rombongan yang mahu meraikan anak yatim itu ikut menarik diri.
APALAH GUNA DATANG BERBUAT BAIK KEPADA ANAK YATIM JIKA KEBAIKAN ITU TIDAK DILIHAT OLEH TIMBALAN MENTERI ATAU WAKIL JABATAN PERDANA MENTERI. BUKAN BEGITU KAH WAHAI AHLI SOSIAL ENTERPRISE???
Akhirnya, dari 80 ahli rombongan yang dikatakan akan hadir pada petang itu, HANYA 2 ORANG SAHAJA yang tiba, iaitu HH dan seorang Tengku. Itupun sejurus sebelum azan maghrib. Inilah bangsawan-bangsawan yang telah mempermainkan anak-anak yatim yang masing-masing telah bersiap menanti sejak petang.
Lebih memalukan, dengan tidak ada rasa bersalah, kedua-duanya terus meninggalkan majlis selepas berbuka puasa dan berucap berapi-api. Pembayaran bagi tempahan masakan yang dijanjikan untuk santapan lebih 200 orang, iaitu termasuk untuk sajian 80 orang ahli rombongan mereka yang tidak hadir itu di SENYAPKAN begitu sahaja.
SN selaku koresponden kami sentiasa menghubungi beliau untuk membuat tuntutan ke atas kos penyediaan juadah yang dijanjikan. Pelbagai alasan diberikan, termasuk katanya sudah signed cek tetapi ada pada secretary, secretary terlupa nak bank-in cek dan berbagai lagi. Akhirnya terus hubungan diputuskan. Whatsap yang biasanya rancak sudah tidak berjawab lagi dan secara rasmi HH yang mewakili Social Enterprise Malaysia (SEM) mengabaikan semua mesej seterusnya.
KESIMPULAN
Inilah bangsawan-bangsawan yang mendapat hasil negara lebih awal dari apa yang marhaen akan perolehi. Namun begini rupa sikap mereka yang sangat acuh tak acuh, tergamak mempersendakan bahkan sanggup memakan harta anak-anak yatim tanpa mereka sedar.
Kami simpati terhadap SN yang terlalu merasa bersalah kerana team SEM ini datang dari kenalan SN sendiri.
Inilah yang dipanggil pejuang Melayu Islam melalui wadah UMNO. Golongan inilah yang dikatakan bersemangat untuk membela usahawan Melayu dan membangun Ummah... berapi-api menggelar mereka adalah NGO terbesar, tertinggi dan terpenting dalam menaungi seluruh badan NGO dan Enterprise Melayu di Malaysia. “Semua NGO lain mesti merujuk kepada mereka”, kata mereka dengan bangganya semasa berucap (ada rakamannya).
Mereka akhirnya hanya pandai bercakap untuk menerima sorakan. Tetapi akhlak mereka lebih hina dari anjing yang memakan bangkai rakannya yang mati. Luahan hati masyarakat marhaen, anak yatim dan asnaf ini menjadi aura doa kepada Allah melalui para malaikat yang tidak berkepentingan dan sekalian umat manusia.
Seperti mana kes Shangri La, mengapa kami bertangguh, kes bulan Jun tapi baru sekarang kami dedahkan? Kerana kami mahu beri mereka peluang yang cukup untuk memperbaiki keadaan. Setiap yang bersalah tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya bahkan harus diberi peluang BERTAUBAT. Kami terpaksa dedahkan agar pihak atasan tahu TABIAT orang kepercayaan mereka dan marhaen juga tahu untuk tidak turut TERKENA.
Semoga cerita ini menjadi iktibar dan pelajaran kepada kita semua.
WARGA PRIHATIN
**Yang masih tidak mampu mengesan dari artikel di mana harta anak yatim yang diguna ialah dua kali pesanan juadah yang tidak berbayar... juga bayaran pemergian SN untuk berceramah bagi memenuhi undangan mereka.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment