ULU KINTA: Pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas Bukit Aman untuk menyiasat kejadian pembunuhan Timbalan Pengarah Kastam Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pagi Jumaat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata tindakan tersebut adalah tindakan segera dan serta-merta pihak polis selepas menerima laporan kejadian.
"Saya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin dengan segera untuk menyiasat kejadian ini dan kita telah bertindak serta-merta," katanya pada satu sidang media, selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara dan penyampaian dana Tabung Wira Lahad Datu, di Markas Briged Utara, dekat sini, Jumaat.
Penyampaian anugerah dan sumbangan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Ismail insiden melibatkan pegawai penguatkuasa ini tidak boleh diterima kerana keberkesanan menjalankan tugas dan ia berlaku di Putrajaya.
"Dalam insiden ini seorang pegawai tinggi penguatkuasa telah menjadi mangsa dan saya tidak boleh ingat bila kali terakhir pegawai tinggi penguatkuasa menjadi mangsa jenayah semata-mata pihak penguatkuasa dapat menjalankan tugas dengan tegas dan penuh amanah," katanya.
Ismail berkata sehingga kini sebarang tangkapan belum dibuat tetapi pihak polis telah memanggil beberapa orang yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Beliau yang mengutuk perbuatan ini sekeras-kerasnya berkata kejadian seperti ini tidak harus dibiarkan berlaku terutama di Putrajaya yang menjadi pusat pentadbiran negara.
"Kita tak akan biarkan apa-apa kejadian berlaku. Saya akan tentukan siasatan dijalankan dengan terperinci dan akan cuba mencari mereka yang bertanggubgjawab," katanya.
Mengulas lanjut Ismail berkata laporan awal mendapati dua suspek menaiki motosikal dan melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki mangsa yang duduk di sebelah kiri bahagian hadapan.
Pihak polis percaya suspek melepaskan lebih daripada satu das tembakan dan laporan awal menyebut tembakan dilakukan di bahagian kepala, badan dan leher.
Dalam pada itu Ismail turut memberi jaminan akan berkerjasama dengan agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan.
Beliau menyeru sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat berkaitan pembunuhan tampil memberi kerjasama kepada polis.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment