ONEXOX
BannerFans.com

Ketua Polis Negara Baru, Anak Jati Negeri Sembilan, Komited, Berdedikasi

on Thursday, May 16, 2013


KUALA LUMPUR: Hari ini menandakan hari terakhir Tan Sri Ismail Omar berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Majlis perpisahan serta penyerahan tugas jawatan Ketua Polis Negara daripada Ismail kepada timbalannya Tan Sri Khalid Abu Bakar berlangsung di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pagi tadi.

Seperti yang dilaporkan di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, majlis disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Keselamatan Kementerian Dalan Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim.

Turut dilangsungkan adalah majlis penyerahan tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) daripada Khalid kepada TKPN baru, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah isteri Ismail, Puan Sri Suriati Md Sobri dan keluarga, serta mantan-mantan tertinggi PDRM termasuk Tan Sri Norian Mai dan Tun Mohammed Hanif Omar.



Khalid dilantik sebagai KPN menggantikan Ismail yang bersara wajib berkuatkuasa 17 Mei.

Khalid sebelum ini berkhidmat sebagai TKPN bermula 14 April 2011. Perlantikan beliau pada ketika itu berikutan TKPN Tan Sri Husin Ismail bersara wajib.

Khalid juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, dan juga Ketua Polis Selangor.

Berasal dari Seremban, Khalid dilahirkan pada 5 September 1957. Merupakan anak jati Negeri Sembilan, beliau menyertai pasukan polis sebagai inspektor pelatih di Pulapol pada usia 19 tahun.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Imran Ibrahim dan mereka dikurniakan empat cahaya mata; Darwina, Juwiza, Khairul Amri dan Khairul Amir.

Imran, anak kelahiran negeri Kedah, juga aktif di dalam Persatuan Keluarga Polis (Perkep).





Sebuah artikel di Utusan Malaysia pada tahun 2011 yang mengupas kehidupan Imran telah menyifatkan beliau seorang yang mudah bergaul dan 'low-profile'.

Beliau memberitahu Utusan ketika itu, kehidupan sebagai isteri anggota polis berjawatan tinggi menyebabkan beliau sentiasa berjauhan dengan suami, namun beliau menyedari akan pentingnya tugas dan tanggungjawab suaminya pada negara.

Khalid juga merupakan salah seorang anggota tertinggi PDRM yang gemar berhubung dengan rakyat menerusi laman sosial dan ini boleh menjadi pemangkin mendekatkan lagi rakyat dengan PDRM secara keseluruhannya.

Selain dari komited terhadap kerjayanya sebagai seorang anggota polis yang berdedikasi tinggi, Khalid juga menggemari aktiviti menaiki superbike.

Beliau juga merupakan timbalan president 1 Gabungan Persatuan Superbikers Malaysia (Federation of Superbikers Association Malaysia atau SAM).

Pada tahun 1991, Khalid menyambung pelajarannya dalam bidang Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Kerjaya beliau diteruskan bersama PDRM pada tahun 1995 sebagai timbalan ketua CID Johor.

Pada tahun 1997, Khalid diberi kepercayaan mengetuai Jabatan Anti-Narkotik Kedah.

Perkhidmatannya terus dihargai apabila dilantik menjadi Ketua Polis Negeri Sembilan pada tahun 2005, diikuti pada tahun 2007, beliau diberi tanggungjawab menggalas tugas sebagai Ketua Polis Selangor.

Khalid turut terlibat sebagai Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat semasa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada tahun 2008.

Pada majlis sambutan Maulidur Rasul negeri Selangor pada tahun 2010, Khalid menerima anugerah Khalid al-Walid, disamping turut menjadi penerima anugerah darjah kebesaran dari Sultan Selangor, Kelantan, dan Kedah, juga Darjah Seri Setia Tuanku Mukhriz Negeri Sembilan.

Selasa lalu, Bernama telah melaporkan perlantikan Khalid rata-ratanya disambut baik dengan harapan beliau dapat meningkatkan lagi imej dan keupayaan pasukan polis.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye yakin pelantikan Khalid adalah tepat berlandaskan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan beliau dalam menjalankan tugas selama ini.

Penganalisis jenayah terkenal, Datuk Akhbar Satar turut menyuarakan keyakinan terhadap Khalid kerana kejayaannya menangani jenayah di Selangor semasa menjadi ketua polis negeri itu.

Bermula esok, tugas Khalid akan bermula secara rasmi sebagai KPN Malaysia yang ke-10.

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 2 comments... read them below or add one }

Admin said...

Ptt bilo dgr dio cakap ado bunyi nisimilan eh


May 16, 2013 at 5:04 AM
Anonymous said...

setuju 3x... patut ade bunyi n9.. boleh dengar skit2.


May 16, 2013 at 5:18 AM

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved