Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Datuk Norhayati Omar berkata, Bazar Ramadan Melang di sini yang dianjurkan Gerakan Belia 4B Kuala Pilah dengan kerjasama Majlis Daerah Kuala Pilah itu antara peluang kepada belia menceburi bidang perniagaan yang digalakkan oleh kerajaan.
Beliau yang juga Exco kerajaan negeri berkata, penganjuran bazar Ramadan itu menjadi medan latihan kepada belia yang baharu memulakan perniagaan membina pasaran dan rangkaian supaya mereka boleh memulakan perniagaan yang lebih besar pada satu masa nanti.
"Kerjasama baik ditunjukkan oleh Majlis Daerah Kuala Pilah yang memberi kepercayaan kepada persatuan belia menguruskan bazar Ramadan ini diharap berjaya menghasilkan peniaga belia yang berjaya pada masa akan datang.
"Dari segi sambutan di kalangan belia pula amat menggalakkan kerana borang permohonan tapak bazar Ramadan ini habis diedarkan pada minggu pertama sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Melang dan upacara simbolik penyerahan lesen perniagaan serta apron kepada 52 peniaga baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Belia 4B Kuala Pilah, Muhammad Azwan Marukom berkata, tujuan utama penganjuran bazar Ramadan yang telah memasuki tahun ketujuh diadakan itu adalah untuk memberi peluang kepada ahli yang bernaung di bawah persatuan berniaga.
Katanya, beliau turut berterima kasih kepada ahli jawatankuasa Gerakan Belia 4B Kuala Pilah, Majlis Daerah Kuala Pilah dan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut.
"Kerjasama ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dan berjaya mencapai objektif melahirkan usahawan belia," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment