ONEXOX
BannerFans.com

Bumbung tokong terbentuk nama ALLAH?

on Wednesday, October 9, 2013

PASIR PANJANG – Gara-gara penyebaran gambar di dalam laman Facebook, sebuah tokong di pekan Pasir Panjang, dekat sini dikerumuni lebih 200 penduduk sekitar, malam kelmarin.

Semuanya kerana sebuah laman Facebook memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang dikatakan terbentuk kalimah ALLAH, menyebabkan penduduk datang ke luar kawasan tokong berkenaan bagi menyaksikan sendiri dakwaan tersebut.

Seawal jam 8 malam lagi, mereka berpusu-pusu datang ke tokong berkenaan untuk melihat, sekali gus merakamkan gambar bumbung tersebut.

Tidak kurang juga, ada individu yang melalui jalan Pasir Panjang-Port Dickson ini turut memberhentikan kenderaan mereka untuk mengetahui cerita sebenar.



Berikutan itu juga, sepasukan polis terpaksa ditugaskan mengawal keadaan berikutan jumlah orang ramai bersilih ganti serta berkumpul di kawasan berkenaan.

Menurut Sin San Huo, 63, yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersebelahan rumah ibadah itu berkata, dia hairan melihat orang ramai datang dan berkumpul di depan bangunan itu.

“Saya telah lama menetap dan berniaga di sini, namun tidak pernah perasan tentang perkara itu. Malah, sebelum ini tiada siapa yang bercerita tentangnya. Entah bagaimana hari ini (kelmarin) tiba-tiba boleh wujud cerita semacam itu.

“Tokong ini berusia lebih 100 tahun dan jika tidak silap, bumbung didakwa membentuk tulisan jawi itu baru sahaja diubah suai kurang 10 tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Khairul Ali, 36, berkata, orang ramai datang untuk melihat sendiri selepas perkara itu tersebar di laman sosial.

“Pada pandangan saya, perkara ini berlaku bukan disengajakan mana-mana pihak dengan niat tertentu tetapi ia adalah satu kebetulan dan pastinya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

“Namun adalah wajar sekiranya pihak berkuasa terutamanya jabatan agama segera membuat penjelasan mengenai dakwaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti agama.





“Apabila terlalu ramai orang berkumpul dan tiada pihak memantau, kita khuatir akan berlaku pergaduhan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai hanya dapat melihat bentuk kalimah ALLAH itu pada waktu malam apabila mereka berada di kedudukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 meter daripada rumah ibadah tersebut.

Pada waktu siang, apa yang kelihatan pada bumbung itu hanyalah lekuk-lekuk seni bina bumbung rumah ibadah itu tanpa lakaran kalimah ALLAH.

Malah, jika lampu jalan berhampiran tokong itu dipadamkan, lakaran kalimah itu juga tidak kelihatan

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved