Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata mereka membuat persiapan rapi terutama pemilihan pemain dalam usaha untuk kembali semula dalam saingan Liga Super musim 2015.
Negeri Sembilan telah melengkapkan kuota empat pemain import iaitu kapten pasukan Haiti, Jean Marc Alexandre, bekas penyerang import Geyland United, Jozef Kaplan dari Slovakia, bekas pemain Terengganu Effa Owona Jean Emmanuel dari Cameroon dan bekas pemain Korea Selatan, Kim Jin Ryong.
"Walaupun berada dalam Liga Perdana musim depan tetapi itu tidak bermakna kita mengambil sikap sambil lewa kerana sasaran kita untuk kembali semula ke Liga Super," kata Hasan, yang juga Menteri Besar, kepada pemberita selepas majlis sesi pengenalan pegawai dan pemain di Seremban, hari ini.
Katanya beliau memang berhasrat mahu melihat pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Perdana serta juga mempunyai peluang yang sama dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.
"Prestasi kita pada tahun ini begitu buruk sekali sehingga terjurumus dalam Liga Perdana musim depan. Ini disebabkan oleh beberapa perkara yang kita sendiri kurang pasti dan kita begitu kecewa dengan prestasi pasukan kita pada musim ini," katanya.
Pada majlis itu, Mohamad turut mengumumkan beliau sebagai pengurus pasukan dengan dibantu tiga penolong pengurus iaitu Datuk Abd Halim Latif, Datuk Ab. Ghani Hasan dan Datuk Mohammed Najeeb Abdullah.
"Saya nak tebus semula maruah kita yang tercalar pada musim ini. Itu sebabnya saya mengambil keputusan untuk menjadi pengurus pasukan.
"Pemain yang baik akan kita berikan ganjaran setimpal manakala pemain yang tidak baik akan kita arahkan keluar daripada pasukan," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment