Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perancangan perlu supaya tidak timbul sebarang masalah berkaitan penyaluran barangan bantuan kepada penduduk terjejas banjir seperti yang berlaku sebelum ini.
''Tahap kesiapsiagaan amat baik dan kita banyak belajar musim banjir lalu berkenaan sistem penyampaian bantuan. Dahulu JKM kena bawa macam-macam, tapi di negeri ini kita sudah kenal pasti sesetengah kedai di Gemas dan Bahau yang mangsa boleh terus ambil barang.
''Daripada kita mengharapkan bantuan dari Seremban, berlori-lori datang tapi akhirnya bila nak sampai di tempat tersebut banjir berlaku dan bekalan makanan, pakaian dan sebagainya terputus," katanya selepas pelancaran konvoi 'Ops Banjir' Pemuda UMNO Negeri Sembilan di pekarangan Wisma Negeri, di sini hari ini.
Jelasnya, kedai runcit panel telah dilantik bagi memastikan penduduk terjejas banjir menerima barangan keperluan dengan cepat dan tidak menunggu saluran makanan daripada kerajaan negeri.
Mengulas mengenai bantuan banjir, Mohamad menjelaskan, seramai 120 ahli Pemuda UMNO negeri menyertai konvoi selama sehari itu yang melibatkan 12 buah kenderaan pacuan empat roda dalam misi bantuan kemanusiaan ke Kuantan, Pahang.
Menurutnya, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) juga menyalurkan bantuan 14,400 botol air dengan menggunakan 5 buah lori yang akan menghantar bantuan ke Kuantan dan Kemaman, Terengganu.
''Di peringkat kerajaan negeri pun kita akan hantar beberapa kakitangan kerajaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir secara berperingkat selain bantuan yang dihulurkan oleh beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO).
Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Tampin, Ridzuan Ahmad berkata, Negeri Sembilan merupakan negeri pertama yang menghantar bantuan kerahan tenaga kepada rakyat di Kuantan bagi membersihkan rumah-rumah yang dilanda banjir.
''Program ini tercetus apabila Pemuda UMNO merasakan ini adalah misi kemanusiaan dan kita lupakan seketika tentang parti UMNO atau Pas. Kita mengambil inisiatif membantu rakyat di Pahang yang dilanda bencana banjir untuk membersihkan rumah mangsa dan kita mensasarkan 20 hingga 30 rumah untuk dibersihkan," katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment