Seperti biasa, cemuhan demi cemuhan dilemparkan kepada Proton di atas pengeluaran model ini. Saya suka untuk memberi pandangan berdasarkan beberapa fakta berikut:
1- Saya kurang senang mendengar kritikan serta cemuhan terhadap Proton ini, tatkala pada masa yang sama apabila Kia mengeluarkan model seakan Audi, ramai yang memuji, juga tatkala Honda mengeluarkan model Accord 2011 yang seakan Audi, ramai juga yang memuji dan membelinya. Bahkan Mazda 6 tahun 2013 juga mirip Lexus, tiada pula yang mencemuh. Mentaliti sebegini wujud sifat dualisma, di mana berlakunya tindakan pilih kasih dalam kritikan.
2- Proton Suprima S adalah satu contoh model yang direka sendiri. Tidak meniru hasil orang lain. Namun bagaimanakah prestasi jualannya? Tidak memberangsangkan. Pengkritik tetap membandingkan Proton dengan Honda, Kia Rio dan seumpamanya. Tapi apabila model yang dikeluarkan mirip Honda, mereka mengutuk pula. Perkara ini saya membuatkan saya tidak faham.
3- Ramai pengkritik tidak memahami hakikat industri automotif yang ‘super-kompetetif’. Kilang Mitsubishi di Australia pada tahun 2006 pernah ditutup selama empat minggu kerana tiada permintaan. Majikan lama saya, Ford Australia di Geelong baru-baru ini telah mengisytiharkan mereka akan menutup kilang mereka mulai tahun 2016 kerana mengalami kerugian yang cukup besar, di mana mereka telah mengumpul kerugian sebanyak AUD$600 juta sejak 5 tahun kebelakangan ini. Ford telah bertapak di Australia selama 90 tahun, jadi bagaimanakah pula agaknya Proton yang hanya 1/3 usia berbanding Ford Australia berdepan dengan cabaran ini?
4- “Rebadging” atau penjenamaan semula bukanlah sesuatu yang aib dalam industri automotif. Pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors (GM), telah melakukan strategi ini terhadap puluhan model kenderaan mereka. Cuba bandingkan Chevrolet Tahoe dengan Cadillac Escalade, dan Chevrolet Lumina dengan Holden Redline, kita akan nampak jelas bahawa perbezaannya hanya pada lambang jenama dan hiasan dalaman. Benar, jenama-jenama ini di bawah satu syarikat yang sama iaitu GM, namun dari sudut strategi, tidak ada bezanya antara kedua ini. Bahkan kritikan yang sama tidak pula diberikan kepada Perodua di atas strategi mereka “rebadging” model Myvi dan Daihatsu/Toyota, hanya kerana mereka ada kerjasama rasmi dengan Toyota. Model Perdana yang baru ada kerjasama dengan Honda bahkan Saga yang pertama dahulu pun ada kerjasama dengan Mitsubishi. Kritikan yang “pilih kasih” menyebabkan Proton menjadi ibarat “punching bag”. Buat apa pun dikira salah.
5- Mungkin yang terbaik ialah tutup sahaja Proton, agar tidak ada lagi “punching bag” tempat melepas geram dan kemarahan. Mungkin yang terbaik ialah rakyat Malaysia hidup seperti negara Timur Tengah yang hanya menjadi pelanggan kepada jenama-jenama kereta terbaik dunia. Tak payah susah-susah buat kereta sendiri.
Namun saya rasa seandainya Proton ditutup, akan wujud laungan kemarahan yang baru iaitu “Mengapa Malaysia tidak ada kereta sendiri?”
Akhir kata, saya mengharapkan satu perubahan dalam mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Buat pengetahuan semua, saya sendiri tidak pernah membeli Proton, tetapi saya mengambil sikap berpada-pada dalam kritikan dengan mengetahui besarnya cabaran syarikat kecil Proton dalam persaingan industri automotif dunia. Dengan cabaran masa kini, Proton tak “bungkus” pun dah kira mujur.
Ya betul, jika anda tidak menyukai Proton atau merasakan Proton tidak sesuai dengan gaya hidup anda, tak perlulah membelinya. Tindakan anda tidak membeli Proton telah pun memberi mesej jelas “Saya tak suka Proton”. Namun, yang saya kecewa ialah sikap sesetengah insan yang sudahlah tidak membeli Proton, malah melemparkan cemuhan dan kebencian yang amat kepada Proton, sehinggakan orang yang asalnya ingin membeli Proton pun tak jadi membelinya. Ini ibarat mencurah cuka ke dalam luka.
Engr. Hj Norzafry B Norhalim
Mantan Presiden Pembina
Norzafry adalah seorang jurutera muslim berjiwa besar, merupakan graduan kejuruteraan di sebuah universiti di Australia. Kini berkhidmat di salah sebuah syarikat besar di Arab Saudi. Pernah menjadi Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) bagi tahun 2011/2012.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 2 comments... read them below or add one }
1. Itu bkn mirip.tetapi mmg accord yg dibubuh logo proton
2. Kia mendapatkan sentuhan pereka audi. Bukan ambil kereta audi bubuh logo kia.
3. Yg membandingkan antara model suprima dgn jenama popular lain ialah harganya. Pada pendapat pengguna, Buatan malaysia dijual kepada rakyat sepatutnya murah.lagipun ini kereta kita.
4. Rebadging x salah jika proton bersifat indipendent. Xmendapat keistimewaan drpd kerajaan. X membawa nasionalism dlm perniagaan.
5. Sebab itu perodua rebaging passo dan mira org xberapa nak kisah.sebab dia bukan otomotif utama. Dia sekadar penyeri industri.
Proton bole selamat dgn menjual rebaging kereta. Tapi adakah ini visi dan misi utama proton? Semata2 mengutip wang dan menyelamatkan poket?
December 12, 2013 at 2:21 AM
Kenapa saudara karim menyokong rebadging perodua tetapi mengutuk rebadging proton?apakah maksud saudara perodua sbg penyeri? Fikirlah
December 12, 2013 at 12:36 PM
Post a Comment