Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad sebulat suara dalam keputusan mereka bahawa bukan semua amalan atau cara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. mengikat umat Islam dari segi undang-undang atau agama, malah ada yang bukannya menjadi pilihan dan untuk diikuti.
Dalam penghakiman bertulisnya, Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed berkata, bahawa daripada pandangan Islam, amalan memakai serban bukannya satu perkara besar, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak bawah umur.
Daripada apa yang saya dapat pastikan, al-Quran tidak menyebut mengenai pemakaian serban. Saya tahu bahawa Rasulullah memakai serban. Tetapi baginda juga menunggang unta, membina rumahnya dan masjid daripada tanah liat dan berbumbungkan daun kurma dan menggosok gigi menggunakan sugi.
Adakah itu bermakna bahawa menunggang unta itu satu amalan lebih alim daripada bergerak menaiki kapal terbang? Wajarkah dipilih bahan dan cara serupa yang digunakan oleh Rasulullah untuk membina rumah dan masjid seperti di zaman baginda? kata Abdul Hamid dalam penghakimannya yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kamaruddin Kamsun.
Soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah, termasuk Abu Jahal, memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesar dalam masyarakat itu, berbuat demikian, kata Abdul Hamid.
Katanya, serban bukan hanya dipakai oleh orang Arab.
Orang lain yang tinggal di padang pasir seperti kaum Afghan dan Parsi juga memakai serban, katanya.
Malah, sesiapa sahaja yang pergi ke Mekah akan dapati bahawa sehelai kain, biar atas nama apa sekalipun untuk menutup kepala dan muka daripada panas matahari, cuaca kering dan debu, amat berguna.
Sekarang ini, berdasarkan reka bentuk dan cara memakainya, serban melambangkan bangsa pemakainya, umpamanya sama ada mereka itu orang Arab Saudi, Afghan, dari Sudan, dari Oman dan sebagainya. Serban telah menjadi sebahagian daripada pakaian rasmi negara ini.
Apa yang turut menarik ialah sehingga sekarang ini pun tidak ramai daripada mufti kita dan hampir tiada hakim Mahkamah Syariah memakai serban, kata Abdul Hamid.
Pelajar-pelajar itu, Meor Atiqulrahman Ishak serta Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad Johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur, masing-masing berumur 11, 9 dan 8 tahun ketika itu, membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 2004 yang mendapati guru besar sekolah berkenaan mempunyai kuasa untuk menyingkir mereka daripada sekolah kerana enggan menanggalkan serban.
Menerusi penjaga dan bapa mereka, Syed Ahmad Johari Syed Mohd, mereka menyaman guru besar itu, Fatimah Sihi, selain menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai defendan.
Pada 6 Ogos 1999, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Mohd Noor Abdullah membatalkan arahan penyingkiran ketiga-tiga pelajar itu, yang dibuat pada 10 November 1997, kerana mendapati Fatimah tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
Keputusan Hakim Mohd Noor bagaimanapun diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 22 November 2004.
Dalam penghakiman hari ini, Hakim Abdul Hamid berkata, persoalan yang timbul ialah sama ada Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 yang melarang pemakaian serban oleh pelajar sebagai sebahagian pakaian seragam sekolah, melanggar atau tidak Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Pada pendapat saya, sama ada sesuatu amalan itu sebahagian atau bukan sebahagian daripada sesuatu agama itu bukanlah satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan. Saya lebih suka kepada pendekatan berikutnya.
Pertama, mesti ada agama. Kedua, mesti ada amalan. Ketiga amalan itu adalah amalan agama berkenaan.
Setelah semuanya dibuktikan, mahkamah perlu pula menimbang mengenai pentingnya amalan itu kepada agama. Di sinilah persoalan sama ada amalan itu berbentuk wajib atau bahagian yang penting kepada agama itu atau ia tidak menjadi relevan, katanya.
Beliau berkata, jika amalan itu berbentuk wajib atau menjadi sebahagian penting agama itu, mahkamah perlu memberinya lebih perhatian, dan jika tidak, serta berdasarkan tahap pentingnya, mahkamah tidak perlu sangat mengambil kira.
Larangan bagi amalan yang wajib seharusnya dilihat secara lebih serius lagi berbanding larangan kepada amalan yang sunat. Walaupun jika kita menerima pendapat bahawa memakai serban adalah sunat, ia tidaklah setaraf solat sunat, katanya.
Hakim Abdul Hamid berkata, faktor kedua yang diambil kira oleh mahkamah adalah sejauh mana larangan itu dibenarkan oleh peraturan.
Dilarang
Pelajar-pelajar itu dilarang memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Mereka tidak dilarang memakainya pada masa yang lain. Malahan, di sekolah, mereka tidak dilarang memakai serban ketika bersolat.
Patutkah mereka dibenarkan memakai jubah semasa bermain bola sepak kerana amalan Rasulullah ialah memakai jubah?” katanya.
Lagipun, kata Hakim Abdul Hamid, tidak ada apa-apa yang menyekat perayu daripada berpindah ke sekolah lain, umpamanya ke sekolah pondok, yang membenarkan mereka memakai serban.
Kita tidak boleh ketepikan sistem pendidikan kita yang membantu membentuk minda kanak-kanak Malaysia membesar menjadi rakyat Malaysia. Tokoh-tokoh pendidikan kita perlu diberi pujian dan rasa hormat kerana merangka beberapa peraturan sekolah demi kepentingan semua pelajar, masyarakat dan negara akhirnya.
Lihatlah kepada tiga perayu ini. Semasa zaman mereka membesar, apabila mereka sepatutnya hadir ke sekolah dengan berdisiplin dan menghormati guru, mereka disuruh menghabiskan zaman itu dengan cara yang berbeza daripada pelajar lain, tidak mengendahkan peraturan sekolah, mengingkari guru, menentang pihak berkuasa, semata-mata kerana Syed Ahmad, yang disifatkan oleh hakim yang mengendalikan kes itu sebagai angkuh, yang mahu ketiga-tiga perayu itu memakai serban ke sekolah kerana serban itu adalah lambang keluarganya.
Mengambil kira semua faktor ini, saya dapati Peraturan-Peraturan Sekolah 1997 tidak melanggar Perkara 11 (1) Perlembagaan, kata Abdul Hamid.
Hakim Abdul Malek Ahmad dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim, yang bersidang bersama-sama dengan Hakim Abdul Hamid, bersetuju dengan keputusan itu.
Perayu diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin dan Muhammad Firdaus Zakaria manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Azizah Nawawi mewakili responden.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment