Katanya, pertunjukan "I Love Kangkung" pada Rabu lalu adalah satu simbolik menuntut perdana menteri supaya lebih prihatin terhadap beban kehidupan rakyat jelata yang semakin berat akibat daripada kenaikan harga barang.
"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan menjemput perdana menteri untuk makan kangkung tidak membawa maksud untuk menghina sesiapa. Saya tidak faham mengapa Umno dan penyokong mereka menyamakan tindakan tersebut sebagai satu tanda penghinaan.
"Kenyataan kangkung yang dibuat Perdana Menteri telah menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan seolah-olah bersikap lari daripada tanggungjawab mengawal harga barangan.
“Dengan itu, seluruh media sosial serta media massa telah penuh dengan pelbagai komedi dan sindiran berasaskan kangkung untuk menyindir perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hari ini, Bernama melaporkan lebih 3,000 peserta menyertai perhimpunan mengecam tindakan biadab Lee dan sekumpulan penyokong DAP menyumbat kangkung ke dalam mulut patung menyerupai Perdana Menteri di sebuah pasar malam di Machang Bubuk pada Rabu.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perhimpunan itu bertujuan membantah tindakan menghina Najib dan merupakan amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab yang secara berterusan menghina Melayu dan agama Islam.
Lee berkata tindakan segelintir pihak yang menjadikan dirinya sebagai kambing hitam terhadap isu kangkung menunjukkan sikap tidak memandang serius kemarahan rakyat yang semakin panas.
Katanya, sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih, beliau perlu bertanggungjawab dan berani bersuara melalui acara itu yang mencerminkan pandangan awam.
"Kerajaan Persekutuan yang lama diterajui oleh Umno-Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan hutang negara meningkat setiap tahun, defisit kewangan dan akhirnya mangsanya adalah rakyat biasa yang perlu menanggung akibat tersebut.
"Pemimpin Umno-BN perlu memandang serius tentang masalah kenaikan harga barang dan mengenal pasti puncanya seperti amalan rasuah, ketirisan dan pemborosan oleh kerajaan persekutuan, pengurusan ekonomi yang lemah serta berpihak kepada syarikat besar," katanya.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang itu berkata akan teruskan mengadakan program komuniti untuk membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta kenaikan harga barang pada masa akan datang supaya suara rakyat dapat disalurkan melalui pelbagai medium.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment