ONEXOX
BannerFans.com

Yamtuan lahir rasa dukacita terhadap insiden MH370

on Saturday, April 12, 2014

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan dukacita terhadap kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Baginda bertitah, seluruh rakyat di negeri ini amat prihatin dan menzahirkan rasa dukacita terhadap insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370 pada 8 Mac lalu.

“Beta berharap keluarga penumpang serta anak-anak kapal yang terlibat agar tabah menerima dugaan dan ketentuan tersebut,” titah baginda dalam pada Majlis Perasmian Istiadat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-13, di Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Turut berangkat sama, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Undang Luak Yang Empat.



Dalam pada itu, Tuanku Muhriz berasa sukacita kerana prestasi ekonomi negeri yang baik diikuti oleh pengurusan kewangan negeri yang cekap dan berhemah.

“Pada akhir tahun 2013, kerajaan di bawah kepimpinan Memanda Beta telah sekali lagi berjaya mencatatkan lebihan dalam akaun hasil disatukan berjumlah RM86.137 juta. Pencapaian ini berjaya dikekalkan sejak tahun 2010.

“Beta juga bersyukur kutipan zakat menunjukkan prestasi yang semakin baik dari tahun ke tahun. Tahun 2013 menyaksikan pertambahan sebanyak 14.2 peratus berbanding kutipan pada 2012,” titahnya.

Baginda bertitah, kecemerlangan itu turut diikuti pengiktirafan oleh Jabatan Audit Negara kepada enam jabatan peringkat negeri melalui Anugerah 4 Bintang Indeks Akauntabiliti dalam tahun 2012.





“Beta difahamkan selama 12 tahun berturut-turut Kerajaan Beta telah mendapat pengiktirafan Sijil Audit Bersih dari Jabatan Ketua Audit Negara.

“Ini membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Memanda Beta tidak sahaja berusaha keras meningkatkan hasil negeri malahan memberi keutamaan kepada amalan pengurusan kewangan yang cekap dan perbelanjaan berhemah,” titah baginda.

Tuanku Muhriz turut mengingatkan agar amalan berintegriti hendaklah terus dipelihara dan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencemar perkhidmatan awam melalui perbuatan rasuah.

Sumber



PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved