Empat pelajar Universiti Malaya (UM) yang mengadakan bantahan semasa kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke universiti itu mempersoalkan tindakan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada mereka.
Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM, Fahmi Zainol berkata surat tunjuk sebab sewajarnya diberikan kepada pelajar yang mengajukan soalan kepada Obama kerana perbuatan mereka memalukan universiti.
"Kami beranggapan UM iaitu timbalan naib canselor silap menghantar surat tunjuk sebab tersebut yang sepatutnya diberikan kepada mahasiswa yang mengajukan soalan.
Peserta demonstrasi berkumpul di Universiti Malaysia ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke universiti itu bulan lalu. Gambar fail The Malaysian Insider.Peserta demonstrasi berkumpul di Universiti Malaysia ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ke universiti itu bulan lalu. Gambar fail The Malaysian Insider.
"Tindakan merekalah ternyata memalukan nama UM dengan soalan yang tidak melambangkan keintelektualan mahasiswa UM," katanya pada sidang media di Kompleks Perdanasiswa UM di Kuala Lumpur, hari ini.
Semasa sesi soal jawab Obama bersama pelajar Asean di Dewan Tuanku Canselor UM pada 27 April lalu, sekumpulan pelajar mempamerkan plakad membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan isu pergolakan Mesir.
Berikutan tindakan provokasi itu, seramai empat mahasiswa menerima surat tunjuk sebab yang memerlukan mereka menjawab surat berkenaan dalam tempoh tujuh hari, jika tidak tindakan tatatertib akan diambil.
Fahmi berkata apa yang dilakukan pihak UM dengan mengeluarkan surat tunjuk sebab berkenaan merupakan tindakan ‘lebih sudu dari kuah’ kerana kedutaan Amerika Syarikat sendiri tidak mengambil tindakan terhadap mereka.
Katanya, HEP juga menyalahgunakan kuasa dengan menghalang kebebasan bersuara, berpersatuan dan hak mahasiswa.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengemukakan saman setelah mendapatkan nasihat dari pihak peguam terhadap UM.
“Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) perlu dikaji semula sama ada masih relevan atau sebaliknya. Kerajaan tidak perlu takut dengan mahasiswa. Kami bukan penjenayah,” katanya kepada pemberita yang hadir.
Ketika ditanya bagaimana jika pihak universiti mengambil tindakan lebih drastik selepas ini, Fahmi berkata: “Tiada masalah kerana kami memperjuangkan konsep keadilan dan kami rela digantung jika ribuan mahasiswa lagi masih disekat suara.
“Perjuangan lebih penting daripada kepentingan peribadi. Biarlah mahasiswa bebas bersuara untuk menjamin masa depan negara,” katanya.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment