Kebimbangan terhadap isu keselamatan di landasan Lapangan Terbang klia2 yang bernilai RM4 bilion timbul sekali lagi apabila pelanggan terbesarnya, AirAsia hari ini mengadu menghadapi masalah sistem pengurusan terminal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes dalam akaun Twitter miliknya pagi tadi ketika memberikan respon mengenai isu kerosakan mesin daftar masuk berkata; “Kami tidak boleh pakai mesin daftar masuk sendiri, tidak boleh promosikan jenama kami. Adakah ini satu bentuk kerjasama kepada penerbangan yang banyak menyumbang kepada pertumbuhan industri?”
Fernandez kemudian menambah: “Berulang kali saya katakan. Lapangan terbang Malaysia perlu sedar sistem penerbangan yang menjana perkembangan mereka. Mereka perlu bekerjasama dengan syarikat penerbangan, bukan membuli mereka”.
Beliau yang kelihatan kecewa terus meluahkan perasaan melalui Twitter dan menamakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
“@saifuddinabd Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) ada akses besar dengan pemimpin kerajaan dan sebab itu mereka hanya dengar sebelah pihak sahaja, dan mencorakkan AirAsia sebagai watak jahat.”
Fernandez turut membangkitkan persoalan terhadap Saifuddin: “@saifuddinabd antara ahli lembaga pengarah MAHB. Adakah mereka diberikan gambaran penuh? Ahli lembaga perlu adil dan objektif”.
Saifuddin dalam respon melalui Twitter kemudiannya berkata; “@tonyfernandes malangnya sesetengah individu dalam kerajaan tidak dapat melihat wujudnya kerjasama tulen apabila menjalankan perniagaan dengan masyarakat awam. Sebab itu ada unsur buli + kebodohan.”
AirAsia menghadapi kesukaran sebelum berpindah masuk ke terminal klia2 apabila membangkitkan persoalan mengenai keselamatan landasan yang berlekuk dan laluan teksi kepada c.
SEMENTARA itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) supaya memikul tanggungjawab terhadap permasalahan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2).
Tidak sampai sebulan klia2 beroperasi, AirAsia mengemukakan aduan terhadap masalah sistem pengurusan terminal di lapangan terbang bernilai RM4 bilion itu.?
“MAHB perlu bertanggungjawab terhadap isu dan masalah yang berlaku di klia2.
“Semasa kita panggil mereka sebelum ini, mereka katakan masalah tersebut boleh ditangani. Tetapi baru beroperasi sudah bermacam masalah yang timbul,” kata Nur Jazlan.
Untuk rekod, seminggu sebelum pembukaan rasmi klia2 pada 2 Mei lalu, pemeriksaan kemudahan yang dijalankan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) kemudiannya memberikan lampu hijau kepada MAHB untuk memulakan operasi.
The Malaysian Insider melaporkan laluan teksi dan parkir pesawat mendap secara perlahan-lahan disebabkan hujan lebat dan impak daripada ratusan pesawat yang mendarat dan berlepas di terminal baru itu.
Sumber daripada industri penerbangan memberitahu The Malaysian Insider bahawa terdapat ‘takungan air’ di pelantar lapangan terbang pada Ahad lalu selepas hujan turun dengan lebat.
Sumber juga memberitahu, wujud laporan daripada beberapa individu yang menaiki AirAsia Airbus berkapasiti 320 penumpang mengadu pesawat bergerak atas jalan berlekuk walaupun mempunyai sistem menghalang roda daripada berpusing.
AirAsia, sebagai syarikat tambang murah terbesar di Asia menyediakan 80% perkhidmatan kepada penumpang melalui penerbangan domestik, penerbangan serantau, dan antarabangsa dengan 400 penerbangan pesawat sehari.
Turut beroperasi adalah syarikat penerbangan Malindo Air, Cebu Pacific Air, Tiger Airways Singapore, Lion Air dan Mandala Airlines milik Indonesia.
Terminal itu mampu menampung kapasiti 45 juta penumpang setiap tahun, dibina untuk menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah berdekatan pusat kargo KLIA.
Pembinaan projek yang bermula sejak tahun 2009 itu mengalami kelewatan kerana masalah reka bentuk dan kerja-kerja tanah.
Kos pembinaan juga meningkat daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion yang menurut MAHB adalah disebabkan beberapa permintaan daripada AirAsia dan agensi lain.
PAC sebelum ini mempersoalkan kelewatan projek dan kos perbelanjaannya , termasuk geran RM100 juta yang diberikan kerajaan untuk sambungan laluan Express Rail Link (ERL) kepada terminal.
AirAsia pada mulanya pada 9 Mei lalu enggan berpindah atas alasan bimbang mengenai operasi penerbangan dan keselamatan, menyebabkan Putrajaya kemudiannya mengeluarkan arahan segera berpindah dan akan menghentikan pemeriksaan kastam dan imigresen di LCCT selepas tarikh tersebut.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment