Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Ridzoni Sulaiman berkata dengan meminum air buah-buahan segar, ia dapat mencegah tubuh daripada mengalami dehidrasi pada bulan puasa ini.
Air buah-buahan ini mengandungi pelbagai jenis nutrien seperti vitamin, potasium dan glukosa, dan berperanan sebagai bekalan tenaga di dalam badan, katanya kepada Bernama baru-baru ini.
"Sebenarnya rasa letih, penat dan mengantuk bukannya disebabkan kekurangan makanan tetapi ia adalah disebabkan kuantiti air di dalam badan berada pada tahap rendah.
"Bila berlakunya dehidrasi, tubuh kita kehilangan air serta garam galian seperti sodium, potasium, kalsium, fosfat dan sebagainya, sebab itu air memainkan peranan penting di dalam tubuh kita," tambahnya.
Memandangkan bulan Ramadan kali ini jatuh pada musim Monsun Barat Daya dengan cuaca yang panas dan kering, serta diburuk dengan jerebu yang tidak menentu dan ramalan fenomena El Nino akan melanda Malaysia pada pertengahan tahun ini, maka adalah perlu bagi umat Islam memastikan bekalan air dalam badan sentiasa dijaga.
Ridzoni berkata selain meminum air buah-buahan, orang ramai perlu mengelak daripada meminum kopi ataupun teh pada bulan puasa kerana minuman itu mempunyai kesan deuratik.
Minuman tersebut akan merangsang pengeluaran air kencing, dan akibatnya, badan akan mengalami dehidrasi dan tekak menjadi sangat haus, katanya.
Sementara itu, Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Hairil Nizam Abdul Hamid turut bersependapat pengambilan air yang mencukupi amat penting dalam menghadapi musim panas ketika berpuasa.
Katanya, kekurangan air ini boleh menyebabkan tubuh menghadapi masalah kerana 70 peratus daripada komposisi tubuh terdiri daripada air.
"Tubuh badan memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari bagi memastikan sel-sel tubuh dapat berfungsi dengan baik.
"Apabila tubuh mengalami dehidrasi masalah utama adalah buah pinggang kerana bila tubuh kekurangan air, buah pinggang akan kecut yang boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, malah antara perkara lain yang boleh berlaku adalah pening dan pitam," katanya.
Tambah beliau, walaupun pengambilan air yang mencukupi dititikberatkan namun orang ramai turut dinasihat memakan makanan seimbang.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment