GADIS kecil molek bernama Cecelyia Beby Rupawan, 26, yang berasal dari Kota Marudu, Sabah leka menatap paparan skrin pada tablet miliknya. Sesekali mimik mukanya kelihatan gusar seperti ada masalah yang sedang difikirkan.
Telahan tersebut ternyata meleset kerana gadis yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Kota Damansara, Selangor itu sebenarnya ligat memikirkan jawapan bagi menyelesaikan permainan paling popular masa kini iaitu Apo Bondo Eh Ni?
Pada mulanya, dia tidak begitu mengendahkan permainan tersebut sehingga terdapat ramai kenalan di laman sosial Facebook (FB) rancak berkongsi mengenai siri soalan Apo Bondo Eh Ni? sehingga menarik minatnya untuk mencuba.
BARISAN anak muda yang menerajui Fiction Labs.
“Permainan ini memang boleh buat orang obses kerana kadang-kadang jawapan yang dicari senang dan ada kalanya sangat mencabar. Bagaimanapun, saya hanya main permainan ini pada waktu lapang selepas tamat waktu bekerja.
“Bagi saya, ia sangat menyeronokkan kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. Adik dan kakak saya juga bermain permainan ini dan kami saling membantu seperti memberi pembayang jawapan,” ujarnya ketika ditemui di pejabat Fiction Labs Sdn. Bhd. (Fiction Labs) di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Gadis yang mesra dipanggil Beby itu meluangkan masa sehingga lima jam sehari bagi menyelesaikan soalan dalam permainan tersebut.
Sebelum ini, rakyat Malaysia pernah dilanda demam permainan Candy Crush dari King Digital Entertainment plc. daripada London, England dan Guess the Emoji keluaran Random Logic Games, Amerika Syarikat (AS).
Kini, aplikasi Apo Bondo Eh Ni? rekaan syarikat bumiputera ini berjaya mengungguli carta permainan percuma selepas lebih dua bulan dilancarkan di Play Store untuk pengguna Android.
Setakat ini, permainan tersebut sudah dimuat turun lebih 500,000 kali menerusi Play Store dan 60,000 kali di App Store Apple.
Tarikan
Seorang pekerja swasta, Mohd. Al Hafiz Mohd. Arabai, 27, berkata, tarikan utama yang ada pada permainan Apo Bondo Eh Ni? adalah menggunakan bahasa Melayu dan sesuai untuk semua peringkat umur.
“Kadang-kadang pengguna boleh mempelajari istilah-istilah baharu yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Ia secara tidak langsung menambah pengetahuan kami.
“Saya ada kawan-kawan berketurunan Cina dan India yang turut memuat turun aplikasi ini dan mereka mengaku banyak perbendaharaan kata baharu yang dipelajari memandangkan penguasaan bahasa Melayu mereka agak terhad,” jelas lelaki yang berasal dari Segamat, Johor itu.
Komunikasi mudah alih begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat masa kini sehingga mereka berasa tidak selesa tanpa telefon bimbit. Dahulu, fungsi paling popular pada telefon mudah alih hanya membuat panggilan dan menghantar khidmat pesanan ringkas.
Kini, telefon pintar menjadi alat pelbagai fungsi yang bukan sahaja digunakan untuk berkomunikasi tetapi sebagai alat bantuan belajar, sumber menjana pendapatan dan berseronok. Segala-galanya mungkin dengan pembangunan aplikasi telefon mudah alih.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Fiction Labs, Azrul Anuar Dul Hayati berkata, permainan tersebut berjaya menjadi aplikasi tempatan pertama bagi pasaran Malaysia yang paling banyak dimuat turun di Play Store dan tangga kelapan di App Store.
Membanggakan
EMOJI merupakan papan kekunci berkarakter yang terdapat pada telefon pintar dan tablet.
Ia bukan sahaja satu pencapaian yang membanggakan bagi anak tempatan tetapi berjaya membuktikan bahawa kreativiti rakyat negara ini setanding dengan pereka aplikasi antarabangsa.
“Tangga pertama tersebut dicapai berdasarkan populariti kekerapan pengguna bermain permainan ini dan jumlah tertinggi muat turun yang direkodkan.
“Terdapat juga data muat turun dari Indonesia, Singapura, Rusia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Asia Barat. Mereka mungkin rakyat atau pelajar Malaysia yang menetap di negara berkenaan,” jelasnya.
Menurut Azrul Anuar, ilham bagi permainan tersebut muncul semasa borak-borak kosong bersama keempat-empat rakan kongsi Fiction Labs pada waktu makan tengah hari.
Tidak terlintas dalam minda mereka agar Apo Bondo Eh Ni? mencipta fenomena baharu dalam permainan mudah alih.
“Idea datang tidak sengaja. Masa itu, kami sedang main permainan Guess the Emoji dan terfikir alangkah bagus kalau format permainan ini dibuat dalam bahasa Melayu.
“Fiction Labs mengambil masa selama seminggu untuk menghasilkan permainan ini. Ia melibatkan kerjasama pengatur cara komputer, pereka grafik dan pereka pengalaman pengguna,” ujarnya.
Bagi mengekalkan momentum keseronokan dalam permainan tersebut, ia diadakan secara berepisod supaya lebih dinamik dan pengguna tidak lekas bosan.
Episod terbaharu Apo Bondo Eh Ni? akan dikeluarkan dengan edisi khas hari raya.
Sebanyak 99 peratus daripada keseluruhan 530 soalan adalah dalam bahasa Melayu dan 1 peratus melibatkan istilah bahasa Inggeris seperti Pocket Rocket Man yang merujuk kepada pelumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang.
Soalan tersebut merangkumi simpulan bahasa, peribahasa, tajuk lagu, budaya dan adat setempat serta nama-nama figura awam di negara ini.
Permainan percuma seperti Apo Bondo Eh Ni? menjana pendapatan melalui pembelian syiling maya oleh pemain bagi menyelesaikan permainan dan menerusi bayaran per klik pada iklan-iklan yang dipaparkan dalam aplikasi tersebut.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 1 comments... read them below or add one }
Syok main ni... ianya versi melayu apps eng sblm ni
visit me http://mimpitidur.blogspot.com
June 19, 2014 at 9:17 PM
Post a Comment