Muhammad Ikwan Ishak muncul wira Negeri Sembilan apabila meledak gol kemenangan menerusi jaringan padang pada minit ke-45 bagi membantu pasukannya mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Terengganu.
Ketua jurulatih Negeri Sembilan, S. Chandran merupakan insan yang paling gembira sebaik siren penamat dibunyikan kerana pencapaian terbaik sebelum ini hanyalah sekadar meraih pingat gangsa pada Sukma 1998 lalu.
Beliau menyifatkan anak-anak buahnya sebagai seorang pejuang yang tidak pernah kenal erti putus asa menundukkan Terengganu sekali gus merealisasikan impian menggunung mara ke pentas final pada temasya kali ini.
"Kami bermain mengikut tempo Terengganu pada awal permainan tetapi kami bangkit mengubah corak itu mengikut perancangan kami. Semangat juang yang dipamerkan membantu kami menewaskan juara bertahan (Terengganu).
"Saya sangat gembira dan bangga dengan kejayaan ini. Sokongan dan motivasi yang tidak pernah putus diberikan sepanjang perlawanan Sukma kali ini menjadi kunci utama kejayaan kami.
"Kami mendapat peluang keemasan ini sekali lagi selepas 16 tahun (pingat gangsa). Saya harap para pemain saya dapat bermain habis-habisan menentang Perak (aksi final) esok (hari ini)," katanya kepada Kosmo! semalam.
Pada aksi tersebut, juara Kumpulan B itu terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi kapten, Ganeisha Tamil Chelvam seawal minit keempat sebelum Mohamad Khairul Anuar Zakaria menyamakan kedudukan buat Terengganu pada minit ke-18.
Biarpun skuad bimbingan Nik Rozemi Nik Mohamed itu bangkit mengasak kubu Negeri Sembilan selepas jaringan Ikwan, namun kedudukan 1-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Sementara itu, satu lagi pasukan pilihan, Perak menempah tiket ke pentas final selepas menewaskan Pulau Pinang 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti setelah terikat seri 2-2.
"Kali terakhir kami memenangi pingat emas ialah pada tahun 1992. Biar apa yang terjadi esok (hari ini), kami akan berikan tentangan habis-habisan untuk mengulangi kejayaan itu lagi.
"Saya akui Negeri Sembilan pasukan yang hebat tetapi bagi Perak, kami tidak gentar bertemu sesiapa sahaja. Ini kerana kami sudah bersedia untuk aksi final," jelas pengurus pasukan Perak, Hakimi Abdul Hamid.
Gambar hiasan
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment