Kelihatan dua remaja yang selesa menggunakan tandas awam di Kuala Ibai kerana bersih walaupun perlu membayar 50 sen untuk menggunakannya.
KUALA TERENGGANU – Masih ramai yang memandang ringan soal kebersihan tandas awam dan meletakkan sepenuh tanggungjawab menjaga kebersihan kepada tukang cuci dengan alasan telah menjelaskan bayaran untuk menggunakan kemudahan awam itu.
Selain itu, kurangnya semangat kepunyaan menjadi antara penyebab tandas awam menjadi kurang bersih, kerana individu yang menggunakan kemudahan itu tidak mengamalkan kebersihan seperti menjaga kebersihan tandas rumah sendiri.
Seorang penjaga tandas di Kuala Ibai, Mamat Mat Zain, 50, berkata, tugas seorang penjaga tandas adalah memastikan tandas awam yang dijaga sentiasa bersih, bukan sahaja dari segi kotoran tetapi juga bau untuk memberi keselesaan kepada pengguna.
“Namun, apa yang dikesalkan, ada segelintir pengguna tandas awam yang tidak bertanggungjawab mengabaikan aspek kebersihan selepas menggunakan tandas awam ini termasuk tidak ‘flush’ (mengepam) tandas yang telah digunakan.
“Walaupun tandas yang digunakan telah dibayar dengan 50 sen, tetapi tidak semestinya mereka boleh berbuat sesuka hati termasuk membuang sampah ke dalam mangkuk tandas atau menyelit tuala wanita di belakang pintu sesuka hati mereka.
“Kita kesal kerana jika tandas di rumah mereka boleh siram air di kawasan digunakan dan tidak dibiarkan kotor, kenapa amalan ini tidak dipraktikkan apabila mereka menggunakan tandas awam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Mentaliti perlu diubah
Seorang lagi penjaga tandas, Andersen Robert, 25, turut mengakui memang tugas mereka adalah memastikan tandas bersih tetapi kerjasama daripada pengguna juga diperlukan agar keadaan tandas sentiasa bersih kerana ia turut digunakan orang lain.
Menurutnya, imej tandas awam yang biasanya dikatakan kotor perlu diubah, apatah lagi setiap agama mementingkan penjagaan kebersihan di kalangan penganutnya.
“Sikap buruk yang paling ketara adalah tidak mengepam tandas selepas digunakan dan membuang tisu, sampah dan sebagainya ke dalam mangkuk tandas dan bukannya dibuang ke dalam bakul sampah yang disediakan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna, Mohd Zukee Mohd Ragam berkata, penjagaan kemudahan awam yang disediakan adalah tanggungjawab bersama antara pengguna dan pihak yang mengelenggarakan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Dari segi penyelenggaraan memanglah terletak kepada mereka yang ditugaskan untuk menjaganya, tetapi pengguna juga perlu bertanggungjawab iaitu memastikan keadaan tandas yang digunakan bersih selepas digunakan.
“Mentaliti atau sikap masyarakat yang kurang kesedaran sivik telah meletakkan tanggungjawab kepada tukang cuci sepenuhnya, dengan alasan mereka telah menjelaskan bayaran masuk ke sesebuah tandas awam perlu dikikis,” katanya.
Beliau berkata, kebersihan tandas awam mencerminkan peribadi individu, dan adalah pelik jika mereka boleh meninggalkan amalan penggunaan tandas yang betul di luar, sedangkan di rumah mereka mengutamakan kebersihan tandas awam.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment