Gua Musang : Seorang pencuri lembu bernasib malang apabila dia maut selepas terkena tembakan rambang dari salah seorang pemilik lembu yang membuat rondaan di lading kelapa sawit, Sungai Terah, Gua Musang jam 6.05 pagi tadi.
Mangsa yang ditembak mati dikenali sebagai Mohd. Khairul Anuar Abd. Ghani berumur 33 tahun dan berasal dari RKT Kesedar Paloh 2.
Sementara itu, seekor lembu yang telah mati dalam keadaan kaki terikat dipercayai disuntik bahan pelali turut dijumpai dalam kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai milik mangsa.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saifulbahri Abdullah berkata, pada jam 2.00 pagi tadi pemilik lembu yang juga seorang anggota Rela berusia 48 tahun telah membuat rondaan bersama penduduk kampung ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda memasuki kawasan ladang ternakan lembu.
Pada jam 6.05 pagi pula, dia sekali lagi terserempak dengan suspek di tengah jalan ladang kelapa sawit tersebut.
Pemilik lembu terbabit telah keluar dari kenderaannya dan menahan kenderaan suspek menyebabkan pemandu itu membuat pusingan 'U' untuk melarikan diri.
Anggota Rela terbabit telah mengejar suspek dan apabila tiba di satu selekoh kenderaan suspek telah terbabas dan pemandunya melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit.
Seorang lagi suspek di bahagian penumpang telah menuju kearah pemilik lembu dengan sebilah parang dan melibaskan parangnya beberapa kali ke arah pemilik lembu terbabit menyebabkan dia melepaskan satu das tembakan rambang ke arah suspek.
Tambah Saifulbahri, suspek mempunyai 3 rekod jenayah narkotik dan dia juga sedang diburu kerana kegiatan mencuri lembu di sekitar Gua Musang.
Pemilik lembu yang mempunyai lesen menggunakan senapang telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang pemilik lembu yang pernah menjadi mangsa kecurian lembu, Raja Azmi Ramli, berkata kejadian curi lembu yang kerap kali berlaku di ladang ini menyebabkan penduduk kampung berpakat untuk menyiasat siapa dalangnya.
Mayat suspek kini ditempatkan di Hospital Gua Musang, manakala rakan suspek berjaya melarikan diri dan pihak polis sedang giat memburu suspek berkenaan.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment