Kuala Lumpur : Pemohon baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta membuat permohonan mulai 1 Disember depan manakala penerima sedia apa perlu mengemas kini semula maklumat peribadi bagi memastikan proses bayaran berjalan lancar.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, proses permohonan baharu dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat melalui portal rasmi BR1M Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) iaitu https://ebr1m.hasil.gov.my/ sehingga 31 Disember.
Proses tersebut juga boleh dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01) atau Borang Kemas Kini dan dikembalikan ke mana-mana cawangan/pusat khidmat hasil/Pusat Transformasi Bandar LHDNM atau pejabat daerah.
"Kerajaan telah menghantar surat mulai 1 November ini untuk meminta penerima sedia ada mengemas kini maklumat peribadi merangkumi pasangan/tanggungan; alamat terkini untuk memastikan tidak berlaku keciciran semasa proses pengeposan surat.
"...maklumat tepat akaun bank pemohon memandangkan pembayaran BR1M akan dibayar sebanyak tiga kali setahun dan maklumat waris pemohon di bawah kategori isi rumah serta warga emas bagi tujuan pembayaran khairat kematian," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.
Selain itu, bagi memudahkan penerima sedia ada, kerajaan akan menghantar Borang Kemas Kini mengikut alamat dalam rekod mulai 24 November ini.
Pemohon atau penerima yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 (LHDNM) atau 03-8882 4565/4566 (Kementerian Kewangan) serta emel ke br1m@treasury.gov.my.
Pembayaran BR1M 2015 akan dibayar tiga kali setahun kepada penerima di bawah kategori isi rumah manakala bagi penerima di bawah kategori individu dengan pendapatan RM2,000 ke bawah, bantuan sekali bayaran sebanyak RM350 akan diberi mulai 28 Januari 2015.
Bagi kategori isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, nilai BR1M adalah sebanyak RM950 dan bayaran pertama sebanyak RM300 akan dibuat pada 28 Januari, RM300 (28 Mei) dan RM350 (28 September).
Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000 nilai BR1M adalah sebanyak RM750 dengan bayaran pertama sebanyak RM200 pada 28 Januari, RM200 (28 Mei) dan RM350 (28 September).
"Pembayaran BR1M 2015 secara berperingkat diharap dapat membantu meringankan belanja bulanan dan merancang perbelanjaan isi rumah," katanya.
Ahmad Husni berkata, memandangkan masih terdapat ramai penerima yang belum membuat penuaian BR1M 2014, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh penuaian sehingga 30 November 2014.
"Penuaian boleh dilakukan terus di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara dan penerima hanya perlu mengemukakan kad pengenalan asal untuk tujuan pengesahan serta semakan," katanya.
Sementara itu, bagi Skim Perlindungan Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M), sehingga kini sebanyak 16,540 tuntutan telah diluluskan dan waris boleh membuat tuntutan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2015.
Borang tuntutan boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.malaysiantakaful.com.my atau menghubungi hotline i-BR1M di talian 03-27152716 atau emel ke i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my.
Sumber
PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment