ONEXOX
BannerFans.com

Ladang kuda resahkan penduduk Taman Rasah Jaya

on Thursday, February 26, 2015



Aktiviti memotong pokok di plot tanah didakwa kepunyaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk digunakan sebagai ladang kuda, berdekatan flat Taman Rasah Jaya, menyebabkan penduduk resah.

Kawasan yang berdekatan SK Taman Rasah Jaya dahulunya dipenuhi pokok, kini menyakitkan mata penduduk di situ yang bimbang kerana ladang itu akan dibuat berdekatan dengan menara pencawang.

“Sekarang ini semuanya sudah botak sedangkan dahulu tempat ini sangat hijau,” kata seorang penduduk, Ershad Ali Mohamed Ali, 31, kepada The Rakyat Post.

Ershad Ali mempersoalkan keperluan menebang pokok sedangkan cuaca kini semakin panas dan lokasi ladang itu juga tidak sesuai kerana berdekatan longkang besar dan jalan raya.

Seorang pengusaha bas, Chia Ching, 67, berkata bau busuk dari ladang itu meresahkan penduduk.

“Apabila hari hujan bau busuk boleh dihidu di rumah saya,” katanya.

Dakwanya, pembersihan kawasan itu bukan dibuat oleh pemilik ladang saja tetapi oleh TNB juga.

“Kenapa potong pokok? Kawasan ini dahulunya berangin saja tetapi sejak pokok ditebang angin semakin kuat,” katanya.

Romesh Choudhry, 43, juga mempunyai pendapat yang sama.

“Sekiranya TNB membenarkan orang perseorang membuka ladang dekat dengan menara transmisi, maka saya juga boleh buka kebun sesuka hati saya. Tidak perlu ada berat sebelah.”

Dia turut menggesa Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan untuk masuk campur.

“Saya tidak kisah kalau ada yang mahu membuka ladang kuda, tetapi kenapa perlu tebang pokok? Dan mengapa lokasinya di sini?” soalnya.

The Rakyat Post turut menyiasat keadaan ladang itu dan mendapati ia berbau busuk dan hampir semua pokok telah ditebang.




Penjaga ladang, Norazmi Zainuddin mendakwa tanah berkenaan kepunyaan TNB tetapi pemilik tanah membelinya dari syarikat utiliti elektrik beberapa bulan lalu.

“Tetapi kami tidak menebang pokok. Pembersihan tanah ini dibuat oleh ranjer Jabatan Hutan Negeri Sembilan dan TNB,” dakwanya.

Tambahnya lagi, ladang itu akan dibuka kepada orang awam yang mahu belajar menunggang kuda dalam beberapa bulan lagi.

“Kami turut menyediakan kuda untuk majlis perkahwinan dengan harga RM890 untuk empat jam,” katanya dan menambah mereka mempunyai 20 ekor kuda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hutan Negeri Sembilan Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata jabatan tidak memberi kelulusan untuk pembersihan tanah, tetapi mengeluarkan permit untuk membuang pokok yang ditebang.

“Tanah itu bukan terletak di kawasan hutan simpan, maka jabatan bertanggungjawab adalah Jabatan Tanah.

“Projek itu adalah projek Majlis Perbandaran Seremban. Jabatan kami hanya mengeluarkan permit untuk membuang pokok yang ditebang,” kata Ahmad dan menambah akan menghantar anggota ranjer untuk memantau kawasan itu.

The Rakyat Post kemudian menghubungi Jabatan Tanah dan Daerah Seremban tetapi jurucakapnya enggan memberi sebarang komen dan meminta supaya menghubungi MPS.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Mambau (DAP) Yap Yew Meng, mendakwa tanah itu dipunyai oleh sebuah kolej tempatan.

“Tiga bulan lalu ladang kuda itu berpindah ke sini kerana terdapat aduan mengenai mereka,” katanya.

Yap berkata dia tidak menerima sebarang aduan dari penduduk tetapi berjanji akan ke lokasi untuk menyiasat.

“Saya akan bertemu dengan ketua kolej dan akan memberi laporan terbaru,” katanya lagi.

Sementara itu TNB, walaupun enggan memberi sebarang komen, berjanji akan menghantar pegawainya untuk menyiasat dakwaan berkenaan.

Sumber


PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri




Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved