ONEXOX
BannerFans.com

'TAK PERLU PUJI ROSMAH'

on Friday, May 22, 2015



“RAKYAT Malaysia mempunyai tradisi dan budaya tersendiri. Sejak kecil lagi kita telah diasuh untuk menjadi sopan dan menghormati orang tua.

“Saya sungguh terkejut apabila terbaca coretan bekas Menteri Undang-undang, Zaid Ibrahim yang telah lupa nilai-nilai moral. Komen beliau mengenai bagaimana isteri bakal Perdana Menteri sepatutnya berkelakuan hanya menggambarkan betapa ceteknya pemikiran beliau,” kata pegawai perdana menteri Rizal Mansor dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

“Igauan beliau secara tidak langsung mencerminkan bahawa beliau merupakan seorang cauvinis dan mencari publisiti murahan dengan mengkritik seorang wanita yang prihatin dan bersifat keibuan terhadap rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Menurut Rizal, sebagai seorang ahli politik ‘kangaroo’ Zaid cuba mengisi masa lapangnya dengan mereka cerita khayalan dan mitos.

“Saya pasti seorang yang waras tidak akan mengeluarkan kenyataan sebegini. Zaid mudah lupa. Beliau mungkin terlupa atau terlepas baca kisah salah seorang pelajar kita yang ditahan di Mesir selepas disyaki menjadi perisik.

“Datin Seri Rosmah Mansor, tanpa mengenali pelajar tersebut telah segera membuat panggilan kepada isteri presiden Mesir ketika itu (Suzanne Mubarak) dan dalam masa dua jam pelajar itu dibebaskan dan boleh pulang meneruskan pengajian.

“Sudah tentu, Zaid sebagai seorang peguam dan bekas Menteri Undang-undang akan melompat kangaroo dengan mengatakan bahawa perkara ini harus dilaksanakan oleh Kementerian Luar Negeri dan pegawai-pegawai yang berkenaan. Datin Seri mengambil inisiatif ini atas naluri keibuan beliau. Lebih-lebih lagi, perkara ini diselesaikan tanpa publisiti,” ujar Rizal.

Rizal menambah, semasa Ops Piramid pelajar-pelajar kita terkandas di Mesir kerana pemberontakan Arab. Datin Seri Rosmah telah menggunakan hubungan baik beliau dengan keluarga diraja untuk menghantar pelajar ke tempat selamat dalam masa yang singkat.

“Ini adalah senario luar biasa dan Datin Seri telah melaksanakannya kerana hubungan rapat beliau dengan keluarga diraja Arab.

“Kerajaan Arab Saudi telah menyediakan dua jet Jumbo untuk menghantar pelajar-pelajar kita ke Jeddah. Mereka dibenarkan masuk tanpa visa. Cuba bayangkan nasib pelajar Malaysia kalau terbengkalai di Mesir,” katanya.

“Kita tidak perlu memuji Datin Seri Rosmah, tapi sekurang-kurangnya janganlah dicemuh tanpa berhati perut.

“Datin Seri Rosmah telah memulakan program PERMATA, di mana ini merupakan satu program yang direka untuk kanak-kanak di bawah umur 4 untuk menawarkan mereka penjagaan dan bimbingan awal. Sistem ini adalah untuk merangsangkan keupayaan pemikiran anak-anak dan memupuk eksperimentasi, eksplorasi dan pengalaman pada usia yang sangat awal.

“Idea ini lahir dari inisiatif Datin Seri Rosmah.  seorang ibu, dia memahami akan keperluan pendidikan awal dan proses ini bakal melahirkan warga Malaysia yang lebih relevan dan berdaya saing pada masa akan datang.

“Bagaimana Zaid telah melupakan perkara-perkara ini, beliau lupa atau hanya bertungkus lumus mencari perkara negatif untuk diketengahkan?” soal beliau.
Rizal seterusnya berkata bahawa dalam proses melangsaikan dendam peribadi beliau terhadap Datin Seri Rosmah, Zaid tidak seharusnya lupa bahawa dia sedang mencemuh seorang wanita yang prihatin dan penyayang. Kesejahteraan rakyat Malaysia adalah keutamaan Datin Seri Rosmah.

“Datin Seri Rosmah adalah seorang yang bijak dan berani. Beliau juga sungguh vokal dan bijak dalam menjalinkan hubungan rapat dengan individu-individu kenamaan antarabangsa; demi memasyurkan nama negara di pentas dunia, salah ke perbuatan ini, saudara Zaid?

“Sudah tibalah masanya untuk Zaid keluar dari bawah tempurung dan menerima hakikat bahawa isteri PM anda adalah seorang wanita Islam yang berani dan bijak. Adakah anda cuba mengetengahkan bahawa wanita hanya perlu menjadi pasif dan duduk di dapur?

“Wahai Zaid, ini adalah tahun 2015 dan wanita mempunyai kaliber dan keupayaan sama setanding dengan lelaki. Rakyat Malaysia patut berbangga dengan isteri PM yang merupakan seorang wanita yang berani, bijak dan turut membantu suami dalam melaksanakan tugas-tugasnya secara tidak langsung.

“Zaid perlu berhenti mengkritik seorang wanita yang sedang melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Beliau perlu lebih fokus kepada perkara positif

dan berusaha berbuat sesuatu demi masyarakat Malaysia, tanpa hanya duduk mereka cerita-cerita mitos,” akhiri Rizal, sebagai mengulas mengenai artikel

“The people’s PM” yang disiarkan pada 18 Mei 2015 di laman blog Zaid Ibrahim.

*Rizal Mansor adalah pegawai kepada Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri Najib Tun Razak.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved