ONEXOX
BannerFans.com

Peniaga Taman Seri Cempaka terkilan, ruang berniaga terlalu sempit

on Friday, June 12, 2015



NILAI – Peniaga Taman Desa Cempaka, di sini terkilan berikutan bangunan gerai yang dibina oleh Majlis Perbandaran Nilai (MPN) ibarat ‘hidup segan, mati tak mahu’.

Difahamkan, gerai berkeluasan 20 kaki persegi itu tidak sesuai bagi mereka yang menjalankan perniagaan makanan, kerana ia terlalu kecil dan sempit menyebabkan mereka tidak dapat menerima ramai pelanggan.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan Cawangan Seremban Barat, Mohamad Yusof, peniaga tidak mempunyai pilihan untuk berniaga di gerai lain kerana ia adalah punca pendapatan mereka.

“Bukan sahaja tempat yang disediakan MPN itu terlalu kecil, bahkan peniaga tidak dibenarkan membuka payung atau khemah tambahan di luar kedai yang ditetapkan.

"Hanya empat meja sahaja yang boleh letak dalam kedai ini. Kalau peniaga tidak dibenarkan membuka payung atau khemah tambahan di luar kedai, bagaimana mereka mahu menjalankan perniagaan?.

“Paling mengecewakan apabila penguatkuasa MPN bertindak membuka serta merampas payung dan khemah peniaga pada 6 Jun lalu, sekitar jam 4 pagi, ketika semua peniaga sedang tidur di rumah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Mohamad, masalah tersebut  telah diajukan kepada pihak berkenaan dan juga kepada wakil rakyat.

“Namun sehingga ke hari ini, tiada sebarang perkembangan, sebaliknya notis untuk membuka khemah dan payung pula yang peniaga terima. Walau pun MPN telah merampas payung mereka, namun peniaga tidak ada pilihan dan terpaksa membeli payung baru untuk meneruskan perniagaan.

“Kalau tidak ada payung, macam mana orang nak datang makan, bagaimana pula jika hari hujan atau panas terik, tak kan kita nak biarkan,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang ingin dikenali Mazilah, 47, memberitahu, khemah yang dipasang bersebelahan dengan lot gerainya telah dirampas oleh MPN, pada kejadian 6 Jun lalu.

“Bayangkanlah macam mana peniaga kedai makan seperti saya nak berniaga, kalau MPN tidak benarkan kami membuka payung atau khemah tambahan.

“Kalau nak harapkan lot gerai yang disediakan itu tidak cukup, hanya empat ke lima meja sahaja boleh dimuatkan, bagaimana pula dengan tempat untuk memasak, membasuh pinggan mangkuk dan membuat air. Ruangnya terlalu sempit.

“Oleh sebab itulah, kami terpaksa meletakkan meja ke luar gerai, dengan memasang payung bagi keselesaan pelanggan. Kalau itu pun kami tidak boleh buat, lebih baik kami kekal kepada gerai asal,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPN, Datuk Abd Halim Abd Latif ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti isu yang berbangkit sebelum mengambil tindakan lanjut.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved