ONEXOX
BannerFans.com

Punca asal usul Hari Mantai terjawap dengan jayanya

on Tuesday, July 21, 2015



MALAM itu, satu kampung jadi riuh-rendah. Lampu 'lip lap' bergemerlapan sana-sini bak pesta keramaian. Sepanjang jalan dilimpahi cahaya pelita minyak tanah.

Mana tidaknya, esok umat Islam akan menyambut hari raya.

Kelihatan anak-anak kecil tertawa keriangan bermain bunga api di luar rumah bersama sanak saudara.

Lelaki dewasa pula sedang berhempas-pulas menundukkan sang kerbau yang ditambat bawah pokok ketapang untuk disembelih.

Di dapur, ibu-ibu becok bergosip tatkala menyediakan bahan untuk membuat rendang dan sup tulang. Tidak kurang juga yang membakar lemang untuk juadah seisi keluarga. Semua sibuk dengan tugas masing-masing.

Panorama sebegini merupakan satu kebiasaan bagi warga Negeri Sembilan, setiap kali menjelang Aidilfitri dan Aidiladha. Malah tradisi 'menumbang' kerbau atau lembu turut dilakukan sehari sebelum Ramadan tiba.

Aktiviti bergotong-royong menyembelih, melapah dan memasak daging kerbau, lembu atau kambing ini dikenali sebagai Hari Mantai.

Persoalannya, tahukah anda asal usulnya? Sejak bila tradisi ini mula bertapak di Negeri Sembilan?

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr Rais Yatim ada jawapannya.

Menurut beliau, rata-rata generasi masa kini tersalah anggap bahawa Hari Mantai hanya untuk meraikan ketibaan Aidilfitri.

Walhal, tradisi berkenaan juga diamalkan untuk menyambut Ramadan serta Aidiladha.

“Sebenarnya, ‘Mantai’ berasal dari perkataan ‘Bantai’ yang bermaksud menjatuhkan seekor kerbau, lembu atau kambing untuk tujuan kudus agama.

“Mengikut sejarah, amalan ini merupakan dari zaman purba sebelum pra Islam. Pada masa itu, daging tersebut akan dipersembahkan kepada dewata sebagai penghormatan,” katanya.

Beliau berkata, amalan dipraktikkan secara meluas di Pagar Ruyung sebelum era pemerintahan Raja Adityawarman lagi yang menguasai rantau Sumatera tengah antara 1347 hingga 1375 Masihi itu, kemudian dibawa masuk ke Negeri Sembilan.    

“Hari Mantai bermula di Naning, kemudian dituruti di Rembau. Ketika itu, Naning masih lagi sebahagian Negeri Sembilan sehingga tahun 1833 apabila British memasukkannya ke dalam Melaka.

“Apabila Islam berkembang di Negeri Sembilan kira-kira seperingkat selepas Melaka sekitar 1413, maka tradisi tersebut mula disesuaikan supaya menepati syarak dan sebutannya turut diubah dari ‘Hari Bantai’ kepada ‘Hari Mantai’ mengikut istilah penduduk tempatan,” katanya.

Rais berkata, tiga perkara paling signifikan dapat dilihat pada Hari Mantai iaitu memuliakan ALLAH, berpuasa untuk memanfaatkan Ramadan serta membantu masyarakat yang tiada habuan daging.

“Lazimnya Tok Sidang akan mencari bahan (haiwan) yang sesuai untuk disembelih, kira-kira tiga minggu sebelum ketibaan Hari Mantai.

“Pada prinsipnya, mesti ada nisbah untuk fakir miskin dan Tok Sidang perlu menyampaikannya sendiri kepada mereka. Contoh terbaik dapat dilihat sekitar era 50an di Jelebu,” katanya.

Berbeza dengan zaman sekarang, kata beliau, dahulu, daun pisang atau daun palas digunakan semasa menyembelih pada Hari Mantai.

“Keempat-empat kaki haiwan yang hendak disembelih akan ditanjur dengan tali. Seterusnya kedua-dua kaki depan ditarik ke kiri, manakala kedua-dua kaki belakang ke kanan menyebabkan kerbau, lembu atau kambing itu hilang keseimbangan lalu jatuh.

“Sebelum disembelih, sehelai daun pisang atau daun palas akan dibantai ke seluruh tubuh haiwan itu termasuk bahagian urat merih dengan tujuan supaya nyawa dan jasad berpisah dalam keadaan damai. Dari situlah datangnya perkataan ‘bantai’,” katanya.

Bagi kerbau pula, kata Rais, situasinya lebih istimewa berikutan mesti ada empat daun pisang atau empat daun palas digunakan.

“Di Minangkabau, kerbau lebih dihormati kerana dianggap sebagai elemen utama dalam mencari rezeki. Dalam hal ini, membantu membajak di sawah.

“Bagaimanapun, budaya memukul menggunakan daun ini semakin dilupakan sekitar 50an dan tidak diamalkan lagi pada 1960. Pada waktu itu, fungsi kerbau mula berkurangan disebabkan kewujudan jentera pembajak. Sekali gus, masyarakat juga hilang pautan animisme,” katanya.

Menurutnya, keadaan tersebut jelas ketara di Rembau, Kuala Klawang dan Johol manakala di Sungei Ujong melibatkan kawasan Kuala Sawah dan Kampung Pantai.

“Tambahan pula golongan tua banyak sudah tidak ada, sedangkan golongan muda enggan meneruskan tradisi sedemikian. Maka tinggallah Hari Mantai yang dapat kita lihat pada hari ini. Rasanya, tidak sampai 10 peratus yang tahu asal usul Hari Mantai.

“Lagipun, Hari Mantai ini hanya dianggap sebagai amalan sipi. Melalui kedatangan Islam, hukum syarak lebih diutamakan berbanding adat. Sebab itulah sering disebutkan yang adat bersendikan syarak, syarak pula bersendikan Kitabullah,” katanya mengakhiri bicara.

Sumber

PERINGATAN: AANS tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri

Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment



 
© AANS BLOG All Rights Reserved